Budaya

Sedekah Pok Nik Oleh – Asi Dani

Kau ni Asi, asyik kerja nak mengkritik saja, semua benda tak kena pada kau”.

Masih terngiang suara Pok Nik menjawab kritikan aku pada suatu petang, hari pertama kami berpuasa. Menyinga mukanya bila aku membicarakan soal sedekah di bulan Ramadhan. Anggapannya seolah-olah aku telah mempertikai amalan bersedekah itu.

Aku hanya menyuarakan pandangan, tidaklah sampai mahu mengkritik amalan itu mahupun dirinya. Tak sangka pula Pok Nik terasa sangat dengan pandangan aku itu.

“Kenapa kau cakap macam tu? Kita bersedekah bulan Ramadhan ni besar pahalanya tahu?” luah Pok Nik kepada aku.

“Bukan macam tu Pok Nik, saya cuma terfikir kenapa kita memilih-milih bila bersedekah? Kenapa hanya beri sumbangan pada orang Melayu saja? Kenapa tidak kaum lain dari agama lain? Bila cakap pasal beri sumbangan orang-orang tua, hanya bagi pada orang Melayu, kalau bagi pada budak-budak, hanya budak-budak Melayu, mesti macam tu ke?” aku menyoalnya kembali.

Niat

Kali ini, suara Pok Nik agak tinggi, dia mendengus, “Kita kena utamakan dulu orang Melayu kita ni, mereka orang susah juga, bukannya tak boleh bagi pada bangsa lain, itu kau kena faham la”.

“Saya tak berapa setuju la Pok Nik. Konsep ibadah ni tak ada pun kata kena tolong bangsa sendiri dulu. Yang saya tahu, sesiapa di kalangan komuniti kita yang susah, kena diutamakan, niat nak tolong kenalah tolong semua, itu aje, tak kata pun syaratnya bangsa dulu,” aku cuba membawa perbualan kami lebih jauh.

Ketegangan suara Pok Nik mula reda, dia tersengih-sengih hingga menampakan gigi kapaknya, dia menjawab sinis. “Kau ingat kalau kau buat macam tu kau dah cukup adil?”.

Aku tersenyum mendengar sindiran Pok Nik itu. “Habis tu, utamakan bangsa sendiri dengan tak peduli orang lain yang sama susah…lebih adil?” aku menyoalnya kembali.

“Aku rasa kau ni dah keliru antara kemampuan dengan keperluan. Kalau kau ada sepuluh ringgit, tengah jalan kau jumpa dua orang susah, mereka perlu duit untuk makan, jadi takkan kau nak bagi duit tu pada mereka berdua, habis nanti kau nak makan apa?

“Jadi, dalam situasi macam tu kau kena buat pilihan, mesti salah seorang yang dapat atau kalau kau tak nak salah seorang tak dapat, kau tak payah bagi terus pada kedua-duanya, kan senang dan adil. Ibadah ni jangan buat main-main, kita buat ikut kemampuan, kita nak tolong jangan sampai ada yang kecil hati, barulah berkat sedekah kau,” serius muka Pok Nik memberi perumpamaan mengikut lojiknya.

Pilih jalan tengah

“Ish Pok Nik, cara ni simplistik sangatlah,” aku memulakan pandangan balas. “Konsep ibadah ni asasnya kena ikhlas, kenapa mesti pilih cara yang sukar sedangkan kalau kau betul-betul nak bersedekah, belilah makanan, makan sama-sama dengan dua orang tu, kenapa perlu bagi duit sedangkan kita pun tak ada lebih,” tutur aku sambil memandang tepat ke mukanya.

Bila aku lihat dia diam, aku teruskan lagi.

“Itu lebih baik daripada tak beri langsung atau hanya beri pada seorang. Walaupun itu hak kita untuk nak bagi atau tak, tapi pada saya masih ada jalan tengah yang boleh diambil, jalan yang menguntungkan semua pihak. Jadi kenapa mesti nak pilih jalan mati? Inikan ibadah, selagi kita ikhlas, buat saja”.

Riak wajah Pok Nik masih tidak berpuas hati. Senyumannya tawar sekali. Sebelum dia berlalu pergi, aku menutup hujah padanya.

“Kalau sayalah Pok Nik, duit sepuluh ringgit tu saya boleh gunakan beli makanan, makan bertiga dengan orang susah tu. Walaupun saya tahu itu tak akan cukup dan tak boleh puaskan kami bertiga, tak apalah, kita pun bukan orang yang senang sangat kan?

“Jadi apalah salahnya untuk saya bermujahadah sikit, itu lebih beri kesan pada diri sendiri, sebab kita sanggup rasa susah orang lain, tak kiralah apa kaum dia pun, asalkan memang dia susah dan dia amat memerlukan.”

Kau ni Asi, asyik kerja nak mengkritik saja, semua benda tak kena pada kau,” luah Pok Nik sambil berlalu pergi. – Roketkini.com