Wawancara

Prof Tajuddin Rasdi: Hal-Ehwal Pelajar (HEP) patut dikendalikan oleh mahasiswa sendiri – Bahagian Akhir

Wawancara wartawan Roketkini Hafiz Zainuddin bersama dengan pakar seni bina Prof Dr Mohd Tajuddin Rasdi mengenai isu-isu akademik dan politik negara

Bagaimana dengan campurtangan universiti dan kepedulian mahasiswa?

Saya sebagai seorang ahli akademik dan saya cuma bergerak kepada fakta yang saya dapat. Saya bukan seorang yang menyiasat samada ada wujud tangan-tangan yang menyentuh tentang pilihan raya pelajar. Saya tak ada bukti dan saya tak cari pun bukti. Saya cuma perhatikan apa yang ada di depan mata saya. Selama 25 tahun di dalam UTM saya tidak tengok apa-apa semangat pilihanraya kampus yang besar pun. Kalau dulu ada jugak bising-bising tetapi kemudian lama-lama dia senyap. Sehinggakan di Fakulti Alam Bina mereka kena lakukan cabutan bertuah supaya pelajar datang mengundi.

Saya rasa pelajar pun dah tak percaya kepada sistem perwakilan ini. Bila saya tanya pelajar saya kamu kenal ke wakil pelajar kamu? Mereka jawab tak kenal. Saya tanya lagi, mereka (wakil pelajar) pernah tak datang ke Fakulti Alam Bina untuk tunjukan program mereka, manifesto mereka, pelajar saya jawab pun tak pernah. Saya sendiri juga tak pernah melihat aktiviti pelajar yang kita boleh kata sebagai politik matang.

Mungkin jadi begitu sebab kurikulum ketat?

Apapun ia berbalik kepada objektif university. Kalau objektif universiti mengagungkan kerjaya lebih daripada penghasilan insan, itulah yang terjadi seperti kurikulum Senibina di UTM. Boleh kata 80 peratus adalah subjek Senibina. 20 peratus pula barulah subjek yang boleh menjadikan seorang pelajar itu ‘insan’. Akan tetapi subjeknya pula semua kena ambil subjek Tamadun Islam, saya kata kenapa tak diajar juga tamadun-tamadun lain? Biar mereka pilihlah. Kenapa perlu dipaksa cuma Tamadun Islam? Di UIA ada subjek yang ajar berkenaan semua agama. Bagi saya kalau saya seorang bukan Islam, saya nak juga tau pasal Islam yang lebih mendalam.

Saya dapat tahu kadang-kadang ia diajar dengan cara menghina agama lain satu hal juga, itu saya dapat dari pelajar saya sendiri. Kata mereka ada ustaz yang mengajar Tamadun Islam seolah-olah menghina agama Kristian, memperlekeh dan memperkecilkan. Saya rasa itu bukanlah salah UTM tapi salah pengajar itu sendiri.

Saya memilih untuk menjadi seorang Muslim sebab Islam memberi satu perspektif kepada semua agama. Kalau kita faham dalam Islam, ia memberi satu naratif daripada Adam; jadi kita boleh ada satu perasaan bahawa orang Yahudi itu juga saudara kita, orang Nasrani juga saudara kita, agama Samawi. Malahan Hamka juga pernah berkata bahawa kemungkinan besar, Siddartha adalah seorang nabi. Jadi di sini, Islam sebenarnya memberi perspektif keseluruhan bahawa kita semua sebenarnya adalah adik beradik bagi saya.

Apa pandangan saudara mengenai kerangka pemikiran mahasiswa?

Saya tak tahu mengenai mahasiswa di universiti lain, apa yang saya lihat kita tak bercampur dengan orang. Macam saya dari American system, dalam sistem itu kita mempunyai jabatan kita Department of Architecture, tapi bila kita kena ambil subjek dalam kemanusiaan dan perkara-perkara lain, kita kena pergi ke tempat orang.  Di UTM dan mungkin sesetengah universiti lain ia tidak begitu. Kalau di situ, situlah sampai bila-bila pun sebab pensyarah luar dipanggil ke situ.

Membaca dikalangan mahasiswa dan rakyat; adakah kempen membaca budaya kita itu seolah-olah gagal?

Saya bagi contoh, saya sekarang ada 14 buah buku manuskrip dihantar kepada Dewan bahasa selain dari UTM, dan Dewan Bahasa sangat gembira menerima manuskrip tersebut. Sebab bagi mereka sekarang ini memang sukar untuk dapat pensyarah-pensyarah menulis buku. Kenapa? Sebabnya dikatakan bahawa markah untuk jurnal luar negara kalau satu tulisan pun sudah dikira besar. Buku pula markahnya tak setimpal sangat. Dan kalau kita nak tahu, pensyarah lebih mudah tulis jurnal sebab dia yang menyelia pelajar.

Bila terjadinya seseorang pensyarah itu boleh naik pangkat kerana penulisan yang dihasilkan, dan baru-baru ini di UTM seorang profesor yang menang tokoh penulisan, sebelum ini saya, dan saya lihat penulisan beliau mirip kepada bidang beliau sahaja. Tidak ada mengenai masyarakat, jadi itu satu aspek yang menunjukkan tidak ramai orang yang berminat untuk menulis buku. Bila tidak ada yang menulis buku maka bagaimana nak galakkan pelajar membaca buku kalau tidak ada. Buku luar memanglah banyak tetapi maksud saya buku-buku tempatan.

Ada seorang profesor dari Norway pernah datang dia kata “Tajuddin, get your student to read more on others” katanya supaya pelajar kita membaca perkara yang di luar daripada bidang. Seperti saya, saya banyak membaca tentang agama, tentang Islam, Buddisme, Hinduisme dan sebagainya yang mana semua ini telah memandu saya untuk lebih menyelami dan faham tentang senibina demokrasi, Malaysian multiculturalism dan juga tentang senibina Islam yang bukan sahaja kita boleh buatkan ia diterima oleh masyarakat Islam tetapi semua masyarakat. Kuncinya membaca.

Apa pandangan saudara mengenai keprihatinan dunia akademik dengan keadaan politik Malaysia?

Saya suka menjawab soalan ini juga berkaitan dengan universiti. Bagi saya universiti merupakan ujian kepada negara (the test of the first nation). Bermakna universiti itu sama ada dari segi kampusnya, dari sudut pentadbirannya, dari sudut pensyarah dan pelajarnya, bagi saya ia merujuk kepada keseluruhan sesebuah negara.

Kalau pelajar yang menjadi rakyat di dalam universiti itu, contohnya dalam isu perkauman, masih lagi berlaku pengasingan contohnya dalam tugasan bila berkumpulan ia akan berlaku mengikut kaum, ras. Di sini kita sudah dapat perhatikan.

Kalau mereka gagal untuk faham memahami antara satu sama lain, gagal untuk menghormati satu sama lain, dan paling tinggi sekali mereka sepatutnya mempunyai rasa sayang terhadap satu sama lain. Bila kita tengok apa yang diajar dalam ajaran sufi, ia memandu kita untuk sampai ke peringkat kasih sayang. Rasulullah SAW pun ada bersabda bahawa orang yang beriman itu adalah orang yang kasih kepada semua manusia. Bukan kasih kepada orang Islam sahaja tetapi kasih kepada semua. Kasih sayang merupakan tonggak yang paling penting dalam ketamadunan. Bawah sedikir adalah menghormati, kemudian toleransi.

Kalau negara ini dikatakan gagal mecapai matlamat, apakah ia boleh dikata kegagalan universiti?

Saya gunakan universiti tadi sebagai contoh. Kepimpinan harus memahami perkara ini. semasa kita merdeka dulu kita kena bertoleransi. Kita ada pelbagai kaum. Oleh kerana British telah membentuk geo-politik masyarakat yang telah menyebabkan segolongan kaum menjadi kaya dan sebagainya itu dia telah lakukan dan kita pula telah mewarisinya.

UMNO, MCA, MIC, PAS dan sebagainya masing-masing kena jaga ‘masyarakat’ dan kepentingan mereka. Kepimpinan masa itu kita boleh kata bergerak atas dasar toleransi, tetapi kita perlu bergerak dari toleransi kepada hormat-menghormati dan kemudian terus kepada kasih sayang antara satu sama lain. Ini masih belum dan perlu dicapai.

Tonggak kita, negara bukan sekadar memperkukuh ekonomi. Ada pemimpin asyik bercakap soal ekonomi dan ekonomi. Betul. Sebagaimana kita makanlah, makan dan makan. Tetapi itu sahaja tidak mencukupi. Manusia ada dua makanan iaitu makanan perut dan makanan spiritual. Makanan perut tu dah lebih sekarang ni sampai jadi penyakit. Bagi makanan spiritual bukanlah kata anda sebagai Muslim kena bergerak seislam-islamnya dari sudut ritual Islam, kalau kita baca, dia sebenarnya bergerak akhirnya menuju kepada kasih sayang untuk semua.

Bukan berpegang pada falsafah untuk makan, tetapi sepatutnya makan untuk hidup, yang kita buat sekarang ni hidup untuk makan.  Lepas kerja dapat duit dengan kereta dengan rumah itu dan ini kemudian timbul masalah mental, masalah masyarakat dan sebagainya. Bagi saya kurikulum universiti gagal menghasilkan keinsanan manusia. Gagal total sebab kita terlalu fokus pada kerjaya. Kita tengok, macam di sekolah ada bengkel 8A tetapi kenapa tak ada bengkel toleransi antara satu sama lain?

Adakah isu pentadbiran universiti yang melahirkan budaya takut, struktur pentadbiran dan aktiviti pelajar?

Saya bukanlah pengurus yang baik sebab mungkin saya tidak belajar mengenai pengurusan dan pentadbiran. Saya ingin mengaitkan pengalaman saya dengan anak angkat saya sendiri, iaitu Dr. Nakula, bila saya ke Indonesia untuk memberikan syarahan disana, semua persiapan seminar telah dilakukan oleh pelajar sendiri. Saya ingat yang buat persiapan adalah pensyarah tetapi rupanya pelajar.  Dr. Nakula juga ketika itu seorang wakil pelajar dan beliau menunjukkan kepada saya apa yang berlaku di kampus. Seperti Universitas Indonesia, katanya, pelajar sendiri yang menguruskan hal-ehwal mereka. Di sini kita ada Hal-Ehwal Pelajar di bawah Timbalan Naib Canselor. Tetapi di sana para pelajar mempunyai autonomi penuh untuk mengumpul dana dan sebagainya. Sebab itu mereka menganjurkan seminar dan kenakan sedikit bayaran. Sama juga apabila orientasi pelajar. Ia tidak dilakukan oleh HEP tetapi oleh pelajar sendiri.

Bagi saya, di Malaysia juga, kita kena biarkan pelajar sendiri menguruskan hal ehwal mereka dari pihak HEP sendiri. Bukan sekadar itu tetapi sikap juga mainkan peranan. Dari maklumat yang di ambil dari pelajar sendiri, kakitangan sokongan seperti pengawal keselamatan, kerani, dikatakan tidak menghormati pelajar. Mereka tidak faham yang sebab adanya pelajar inilah mereka ada kerja di universiti. Mereka juga tidak faham bahawa orang yang mereka layan ini adalah generasi yang bakal memimpin negara kita. Tindakan mereka itu juga sedikit sebanyak akan menyebabkan pelajar kita kurang keyakinan diri.

Contohnya pengawal keselamatan saya rasa di UTM pengawal keselamatan agak garang. Mereka tak perlu marah-marah kalau pelajar tak bawa kad pelajar. Tak bolehkah beritahu elok-elok? Saya tahu pengawal keselamatan bertujuan untuk jaga keselamatan tetapi dengan gaya ala tentera mereka, cara mereka kendalikan, bagi saya tak sesuai.

Di University Wisconsin sendiri saya tak melihat pun ada pengawal kselamatan, begitu juga di universiti-universiti luar yang saya pergi. Seorang pengawal keselamatan pun saya tak pernah lihat. – Roketkini.com