Budaya

Tiga lauk, tujuh lauk atau sponsor saja? – Oleh Asi Dani

Gambar Hiasan roketkini

Soal tiga lauk dan tujuh lauk untuk majlis berbuka puasa yang sedang kami rancangkan sudah agak buntu.

“Aku tak setujulah, kalau tiga lauk pun dah cukuplah, Pi’e. Yang penting masak elok. Ini kalau sampai tujuh lauk, siapa nak masak? Sedap ke kalau dah banyak sangat ni? Dan siapa pula nak makan berlebihan tu?” Lajim yang dari tadi hanya mendengar, kini mula bersuara dalam perbincangan kami.

“Aku bukan suruh kita buat sampai membazir, tapi apa salahnya buat lauk lebih, yang nak makan pun jiran-jiran kita. Kau ni Lajim, mentang-mentanglah baru dapat giliran jadi pengerusi majlis, nak ikut kau saja,” selamba saja jawapan Pi’e.

Kami berenam tersengih-sengih memandang mereka berdua. Sudah hampir sejam kami berbincang tentang masakan apa nak disediakan petang ini, tapi masih tiada persetujuan dapat dicapai. Kami  adalah ahli-ahli yang aktif, kuat beraktiviti di kampung kami ini. Jika tak ada kami, pasti suasana tidak meriah.Setidak-tidaknya itulah yang kami dengar apa yang orang ceritakan tentang kami.

Sponsor

Tiba-tiba suara Abang Noh menarik perhatian kami. “Lauk banyak, lauk banyak, apalah salahnya, bukan selalu. Lagipun tak kisahlah berapa lauk pun, aku boleh sponsor la, tapi nak masak lauk apa? Aku boleh sponsor kelapa, ikan, ayam, daging, udang…”

“Eh, masak lemak sedap tu,” tiba-tiba Abang Bung menyampuk ketika Abang Noh belum habis bercakap lagi. Pecah ketawa kami melihat gelagat Abang Bung. Semua sudah maklum, bab makanan memang Abang Bung pandai memilih. Maklumlah, dia pernah bercita-cita ingin menjadi chef, tetapi khabarnya tak kesampaian dek kerana selera makannya melebihi dari kemampuannya memasak.

Abang Noh pula memang banyak tanah dan ladang, dia membuka kebun dan kolam ikan dan udang di sana-sini. Beliau memang terkenal dengan hasil tani dari ladangnya.

“Tak payah la kau seorang yang sponsor Noh, ini majlis jiran-jiran, biarlah seorang bawa sedikit, kita kongsi. Itu sebab aku kata, kita hanya perlu masak lauk asas saja, tiga jenis dah cukup, yang penting masakan tu bagus. Jadi yang lain bolehlah bawa lauk-lauk yang dia orang masak di rumah,” tegas saja suara Lajim menjelaskan cadangannya.

Untuk semua

Lajim memang berperangai begitu, dia tak suka seseorang ingin mendominasi sesuatu majlis. Padanya, apa-apa majlis yang melibatkan jiran-jiran, biarlah berikan peranan kepada semua. Jangan seorang saja yang mendominasi, maklumlah kali ini dia dilantik menjadi pengerusi majlis, dia mahu jiran-jiran puas hati dengan keputusan bersama ini.

“Eh, salahkah aku nak sponsor? Aku nak bersedekah bulan Ramadhan ni,” Abang Noh menjawab kembali dengan muka serius.

Kelihatan perbincangan seakan menjadi tegang. Aku hanya memandang muka Nazri. Kami masih ingat tahun sudah, Abang Noh beria-ia sponsor buah-buahan pada majlis yang sama, tapi setengah buah-buahan itu dah rosak. Kami taklah menyalahkan Noh, biasalah bila dah banyak ni, memang ada yang busuk. Dan kami hanya diam saja, tidak mahu memanjangkan hal ini.

“Betul tu, kalau dah Noh nak sponsor, biarlah. Kita tak payah nak beli ayam lagi, janganlah sombong sangat sampai nak halang orang bersedekah, tahulah kau tu pengerusi majlis,” pedas sekali sindiran Pi’e kepada Lajim.

“Aku pun tahu kau rakan niaga dengan Noh, tetapi bukan itu maksud aku Pi’e, janganlah salah sangka,” Lajim menjawab cepat.

“Dah la tu, jangan gaduh-gaduh pasal nak buat majlis. Ni majlis buka puasa, nak jamu orang makan,” Nazri mula mencelah perbincangan. Dia mungkin dapat menghidu arah perbincangan ini. Nazri ni memang terkenal dalam menyelesaikan konflik, tetapi, kadangkala dia juga ada menambah konflik. Tapi kami ok saja, maklumlah beliau ini seorang peguam.

Apa pemutusnya?

“Kalau macam tu, apa pemutusnya?” aku menyoal Nazri.

“Aku seorang tak boleh nak putuskan. Cuba tanya Abang Sabu, Eng dan Amin tu, dia dari tadi senyap je, kita kena sama-sama putuskan. Aku bukan hakim,” seru Nazri dengan nada tegas.

“Hah kau Amin, diam saja dari tadi, cakaplah, jangan segan-segan. Nanti lepas majlis kau juga yang bising-bising,” Suara Noh seakan tenggelam selepas mendengar nasihat dari Nazri sebentar tadi.

“Aku tak kisah la bang, tapi cadangan pengerusi majlis tu ada praktikalnya juga. Biar jiran yang bawa, dia tau selera dia, kita cukupkan yang asas saja,” pendek jawapan Amin. Maklumlah, Amin ni budak baru dalam kelompok kami, mungkin dia masih segan, tapi sesekali dia bersuara, boleh tahan juga lantangnya.

“Saya setuju, tapi bagi jiran-jiran yang kurang kemampuan macam keluarga Dolah, itu siapa lagi? Aaa…keluarga Koon, keluarga Subra, Mr. Soi punya famili, kena jemput mereka juga tapi mereka tak perlulah bawa makanan. Kesian sama dia orang, dia orang tengah susah sekarang,” Eng pula membuka mulut.

Gambar Hiasan roketkini

Bawa bungkus

“Dari tiga lauk tadi, kita sediakan sikit manisan. Tiga jenis lauk tu juga kita masaklah lebih sedikit, tak kisahlah hanya tiga lauk, tapi masak mesti sedap-sedap woo… boleh bagi keluarga ini bungkus bawa balik,” Eng menjelaskan dengan penuh yakin. Semua diam mendengar saranan Eng.

“Ye tak ye, kita dok sibuk cakap soal lauk lauk lauk, lupa pula nak fikir sedekah makanan untuk jiran bawa pulang, kita ni nak buat kebajikan, kenalah fikir hal selepas majlis juga,” Abang Mat menyampuk memecah suasana yang bungkam sebentar tadi.

“Noh dengan Pi’e kalau nak sponsor sangat, kau bawalah kotak kertas atau beg plastik nak bungkus makanan, dengan kau kau sekali aku bungkuskan nanti,” tersengih-sengih wajah Abang Mat bergurau dengan Noh dan Pi’e. Pi’e dan Noh hanya melihat Abang Mat dengan muka keringnya.

“Ok lah tu, saya setuju, biar semua dapat kongsi dan ada peranan,” Amin bersuara menyokong.

“Kalau fikir nak bagi bawa balik, aku pun boleh beri lebih sedekah aku tu,” dengan wajah yang memandang ke arah lain, Abang Noh juga bersetuju, tetapi nada suaranya sinis sekali.

“Eh, tak payah la Noh, kalau kau nak sedekah juga, selain beg plastik, kau sponsor sikit udang galah cukuplah, yang lain-lain tak payah,” Lajim mencadangkan sambil mengenyit mata memandang Eng.

“Ok ok macam ni lah senang. Apa-apa yang kau orang cadangkan tu, biar aku dengan Noh yang sediakan semua, udang galah, beg plastik, lauk tiga jenis, manisan dan segalanya. Aku dengan Noh akan tanggung semua, ok tak Nazri?” tiba-tiba Pi’e membuat satu cadangan baru.

Belum sempat Nazri menjawab, Eng mencelah, “Pi’e, awak tak faham-faham ka? Ini bukan awak punya majlis, ini kita punya, orang punya, jiran-jiran punya, jadi biar sama-sama putuskan,” suara Eng tegas membantah idea Pie.

“Kalau Noh dengan Pi’e nak sponsor sangat, bolehlah, tapi hang buat majlis di rumah hang, kami pakat pi ramai-ramai bagi perabih jamuan hangpa, amacam? Ok? ” Nada dan bahasa Abang Mat dah berubah.

Kami semua sudah lali dengan perangai Abang Mat ni, bila dia sudah tak senang, mulalah loghat utaranya keluar. Tapi Abang Mat akan tetap menyembunyikan rasa marahnya. Itulah kelebihan Abang Mat ini.

“Ya, nanti lain kali, lepas majlis ini, Noh dengan Pi’e boleh buat satu lagi majlis sendiri, kami tak halang pun,” Lajim menambah.

Demi jiran

“Kali ni biar keputusannya macam tu, ni untuk kebaikan semua jiran kita,” Amin turut mencelah.

“Ya, kita kena hormat sama jiran-jiran kita,” Eng turut bersetuju.

“Ok, saya rasa inilah caranya, kita buat tiga lauk, masak lebih sikit untuk jiran bungkus bawa balik dan sediakan sikit manisan, ok ringkas macam tu, Noh ok? Pi’e ok?” Nazri memintas perbincangan yang dah semakin melalut sambil bertanya kepada dua orang sahabat karib itu.

“Ikutlah Nazri. Orang sombong, kami nak buat macam mana, takkan nak paksa,” lemah saja suara Pie.

“Oklah kalau macam tu, aku minta diri dulu, nak ke kolam, nanti tak sempat nak jala udang dan hantar pada kau orang,” Noh bangun dengan muka serius sambil meminta diri.

“Jangan kecil hati ya Noh. Bukan tak nak kau sponsor semuanya, tapi lain kali la ya,” lembut nada suara Lajim memujuk Noh dan Pi’e.

“Oh ya Abang Bung. Nanti jangan lupa ajak Pak Berahim kawan kau tu datang sekali ya, kalau ada dia tu seronok juga, pandai buat lawak,” Abang Mat pula menyapa Abang Bung yang dari tadi hanya mendengar, dia juga nak beransur pergi.

Kami pecah ketawa lagi mendengar nama Pak Berahim. Memang betul, kalau tak jemput dia datang ke majlis kita, tak seronok sebab dia memang pelawak besar.

Walaupun di kalangan kami terdapat perbezaan pendapat, majlis tetap diteruskan. Majlis berbuka puasa hari itu begitu meriah tetapi sederhana sekali, semua jiran dapat dijamu. Syukurlah.

Kadang-kadang aku terfikir juga, nak tentukan jenis lauk berbuka puasa pun agak sulit, bagaimana pula pak menteri kita bermesyuarat untuk mementukan apa yang baik untuk kita sebagai rakyat. – Roketkini.com