Berita

Projek LRT Ampang: Dedah semua dokumen untuk yakinkan rakyat

KUALA LUMPUR, 3 OGOS – DAP hari ini mendesak kerajaan dan Syarikat Prasarana Negara untuk mendedahkan semua dokumen tender dan minit mesyuarat bagi membuktikan bahawa konsortium George Kent-Lion Pacific sememangnya layak untuk anugerah projek penyambungan LRT Ampang.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua dalam kenyataannya berkata, pendedahan dokumen itu selaras dengan program transformasi kerajaan yang dipimpin oleh PEMANDU bagi mengembalikan ketelusan dan akauntabiliti dalam  proses pemerolehan kerajaan.

“Ia merupakan satu-satunya cara untuk memperbaiki hasil kajian oleh PEMANDU melibatkan 71 peratus aduan “tidak ada ketelusan dan keterbukaan” oleh syarikat-syarikat korporat dalam penganugerahan kontrak kerajaan sepertimana laporan dalam GTP Roadmap2010 yang diterbitkan,” katanya..

Sejak pendedahan dibuat awal bulan ini, syarikat konsortium George Kent- Lion Pacific telah menerima kritikan keras dari pimpinan Pakatan Rakyat dan rakyat Malaysia berikutan skandal melibatkan anugerah RM1.18 billion kontrak untuk projek Penyambungan LRT Ampang.

Tambah Pua, pendedahan tersebut menunjukkan konsortium George Kent gagal secara teknikal seperti yang telah dijalankan oleh Halcrow Consultants.

“Dalam satu laporan Halcrow yang bocor, ia telah menyatakan bahawa konsortium tersebut telah dibenarkan untuk ke peringkat seterusnya di atas “arahan” dari Prasarana,” ujar Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu.

“Ini amat mengejutkan. Lebih lucu lagi apabila George Kent terpaksa membuat kenyatan kepda umum untuk menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan tidak berasas bahawa GKLP-JV gagal memenuhi penilain teknikal dan komersial.”

Menjelaskan lagi kenyataannya, Pua berkata pihak yang hanya boleh menjawab persoalan ini ialah Prasarana dan Jawatankuasa Kementerian Kewangan sendiri.

“Tidak ada siapapun dari George Kent mempunyai locus standi (hal untuk menyatakan) dan kapasiti untuk memberitahu rakyat Malaysia bahawa mereka merupakan syarikat terbaik dengan harga rendah yang boleh menyiapkan projek tersebut.” tambahnya.

Menurutnya, kenyataan tersebut terpaksa menambah bahawa George Kent mempunyai rekod yang baik dalam industri pembinaan dan berjaya dalam banyak projek yang canggih serta “berjaya menyiapkan projek besar berdasarkan bajet, seperti merekabentuk dan pembinaan hospital baru Kuala Lipis bernilai RM100 juta…”.

Menjawab perkara itu, Pua berkata, tidak ada siapa yang mempersoalkan kebolehan George Kent, sama ada untuk untuk menyiapkan hospital bernilai RM100 juta serta membekalkan peralatan.

“Isu sebenarnya ialah, adakah George Kent merupakan syarikat terbaik yang memenuhi syarat kepakaran teknikal untuk projek rel ini berbanding pembida yang lain dengan harga yang terbaik untuk menyiapkan projek prasarana?” soalnya.

Untuk menyelesaikan masalah ini, beliau mahu kerajaan bertanggungjawab untuk membuktikan bahawa tidak berlaku amalan kronisme, salah guna kuasa dan kontroversi yang melanggar peraturan.

“Cara terbaik bagi kerajaan untuk menyingkirkan tuduhan terhadap kronisme dan pilih kasih ialah dengan mendedahkan kesemua dokumen berkaitan melibatkan anugerah tersebut dari dokumen tender dan penyerahan untuk projek termasuk juga kertas penilaian yang dijalankan oleh Prasaranan bersama panel penasihatnya begitu juga dengan minit mesyuarat melibatkan keputusan yang dilakukan oleh kementerian kewangan.

“Kami mencabar Datuk Seri Najib Razak untuk meyakinkan kami dengan bukti fizikal bahawa pengilang paip air dan meter George Kent merupakan pilihan terbaik untuk membina system LRT dari syarikat lain yang terbukti lengkap mempunyai rekod dalam pembinaan landasan,” katanya. – Roketkini.com