Berita

Isu air di Selangor: Rakyat didahulukan, kroni BN diketepikan

Gambar ehsan Pejabat Menteri Besar Selangor

SUBANG JAYA, 6 OGOS: Rakyat negeri Selangor akan mendapat keuntungan dan manfaat yang besar apabila pengurusan air dikembalikan sepenuhnya daripada SYABAS kepada kerajaan negeri melalui pemilikan ekuiti dan saham.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mahu memastikan sebarang usaha pengambilalihan air sebagai milik negeri tidak akan melibatkan kenaikan harga air.

Dengan cara itu, katanya, rakyat Selangor dapat membayar perkhidmatan air secara telus dan menjimatkan serta mereka sendiri mempunyai kepentingan di dalam pengurusan air negeri.

Beliau berkata demikian dalam satu majlis berbuka puasa bersama pihak media dan majlis sumbangan hari raya kepada 20 orang anak-anak yatim dari  Institut Taufiq Islami Jalan Kebun di sebuah hotel di sini Jumaat lalu.

“Sekiranya penyusunan semula air ini dapat dilakukan, kita akan dapat memulangkan semula pemilikan industri air kepada rakyat Selangor melalui pembelian ekuiti-ekuiti ataupun saham-saham syarikat yang mengendalikan air.

“Dengani cara itu rakyat bukan sahaja akan menerima perkhidmatan air tetapi juga memiliki saham supaya dapat keuntungan,” ujar beliau.

Beliau menambah, rakyat negeri tidak perlu bimbang kerana isu air di Selangor itu adalah ‘cerita’ yang sengaja dipolitikkan dan ia akan berterusan menjadi modal berita oleh UMNO-BN sehingga pilihanraya umum akan datang.

Mengulas isu Talam yang sering diputarbelitkan media UMNO-BN, Khalid yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak dan ADUN Ijok berkata, beliau tidak akan membuat kenyataan akhbar mengenainya sehingga selesai menjalani audit.

“Hari ini saya dapati lebih daripada sepuluh pegawai audit sudah mula melakukan audit dan tak lama lagi saya akan umumkan beberapa hasil awal audit mereka supaya semua orang tidak payah bertengkar ataupun berkempen,” katanya.

Disebabkan isu ini diperbesar-besarkan, menurutnya, ramai di kalangan media dan blogger melawat tapak tersebut dan mengambil gambar di tanah-tanah milikan Talam.

“Saya anggap itu sebagai sesuatu yang positif sebab ia merupakan ‘iklan’. Kalau dulu orang tidak kenal Talam, sekarang sudah kenal. Kalau dulu orang tidak tahu bagaimana mengutip hutang, sekarang orang tahu bagaimana cara hendak mengutip hutang.

“Dulunya pentadbiran dibuat secara rahsia, tapi sekarang pentadbiran dibuat secara terbuka,” ujar beliau.

Beliau berharap standard yang dilakukan oleh kerajaan negeri itu akan diteruskan kerana ia memberi satu nafas baru dalam usaha pentadbiran yang terbuka.

Katanya, rentetan dari isu SYABAS dan isu pembayaran semula hutang dari Talam ini, ia membuktikan kerajaan Pakatan Rakyat berpegang pada janji untuk melaksanakan pentadbiran secara terbuka dan telus.

“Dengan cara yang terbuka rakyat boleh mengetahui dan menilai keupayaan serta keikhlasan kerajaan negeri dalam memberi khidmat kepada seluruh rakyat Selangor,” ujar beliau. -Roketkini.com