Berita

Kontroversi filem Tanda Putera: Kencing di bawah tiang bendera dan gambar 1984 digunakan untuk fitnah 13 Mei 1969

Keterangan gambar: Insiden Lim Kit Siang dilarang masuk ke Sabah pada 1984 dijadikan gambar fitnah untuk tragedi 13 Mei 1969

KUALA LUMPUR, 6 OGOS – Filem Tanda Putera mengenai tragedi 13 Mei yang bertujuan membangkitkan kebencian rakyat terhadap DAP sekali lagi mencteus kontroversi apabila dikatakan memuatkan adegan Lim Kit Siang kencing di bawah tiang bendera Selangor pada 1969.

Filem yang belum ditayangkan itu tetapi telah disebarkan adegan-adegan yang terkandung di dalamnya di laman-laman internet membuktikan fitnah baru yang sedang dicipta oleh mereka yang benci kepada perpaduan kaum di negara ini.

Fitnah kencing di bawah tiang bendera

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang menafikan sekeras-kerasnya dakwaan karut dan bohong itu yang telah dipaparkan dalam laman sosial  Facebook bagi filem Tanda Putera kononnya beliau telah kencing di bawah tiang bendera Selangor di rumah kediaman Menteri Besar Selangor semasa rusuhan 13 Mei.

Beliau menjelaskan bahawa fitnah itu tidak masuk akal sama sekali kerana beliau tidak pernah berada di Kuala Lumpur mulai 10 Mei hingga 13 Mei 1969, malah sewaktu rusuhan berlaku, beliau berada di Kota Kinabalu, Sabah.

Sebelum ini, laman-laman web dan Facebook pro-UMNO telah menyebarkan fitnah dengan mendakwa Kit Siang memaki hamun orang Melayu di Kampung Baru, Kuala Lumpur di antara 11 Mei dan 13 Mei 1969, walau pun hakikatnya beliau tidak ada di Kuala Lumpur pada masa tersebut.

Menurut Kit Siang, pada tahun 1969, beliau tidak tahu di mana letaknya kediaman rasmi Menteri Besar Selangor, apatah lagi kewujudan tiang bendera yang “terletak di dalam perkarangan rumah MB yang dipagari dan dikawal oleh ‘jaga’”.

“Tulisan ini mendedahkan fitnah, kepalsuan dan pembohongan bahawa saya atau sesiapapun boleh kencing di bawah tiang bendera rumah Menteri Besar Selangor – apabila ianya jelas tidak boleh dilakukan kerana ianya berada dalam kawalan dan pengawasan keselamatan,” jelas beliau.

Kit Siang menjelaskan bahawa kedua-dua ‘Kertas Putih’ yang telah dikeluarkan oleh Majlis Gerakan Negara (Mageran) pada 9 Oktober 1969 yang bertajuk “The May 13 Tragedy” serta buku Perdana Menteri pertama Tunku Abdul Rahman “May 13 – Before & After”  tidak pernah membuat apa-apa rujukan pun kepada insiden kencing di rumah Menteri Besar Selangor.

“Ini merupakan satu skandal “Urine-Gate” atau “Pee-Gate” Malaysia.

“Rakyat Malaysia mesti menyiasat terlebih dahulu “siapa, bila dan apa” berhubung dengan asal-usul tipu helah insiden “kencing” di bawah tiang bendera di rumah Menteri Besar Selangor yang telah mencetuskan rusuhan 13 Mei 1969 – kerana sekiranya tiada apa-apa unsur kebenaran dalam dakwaan tersebut, ianya mesti dikuburkan sekarang juga,” tambah beliau.

Fitnah gambar 1984 yang dikatakan diambil pada 13 Mei 1969

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, ada satu lagi tulisan yang membuat fitnah 13 Mei 1969 yang dipaparkan dalam laman rasmi Facebook Tanda Putera tetapi menggunakan gambar lain, iaitu pada 26 Ogos, 1984 di terminal lama lapangan terbang Kota Kinabalu

Katanya, beliau ke Kota Kinabalu pada pagi tersebut melalui Sandakan untuk  menyahut cabaran Ketua Menteri Sabah pada masa itu, Datuk Haris Salleh untuk mengulangi ucapannya pada 23 Julai 1984 di luar Parlimen tanpa perlindungan hak istimewa Parlimen berhubung dengan penyalahgunaan kuasa Ketua Menteri Sabah terutamanya dengan perbuatan Haris menyerahkan Labuan kepada kerajaan persekutuan.

“Akan tetapi di Lapangan Terbang Kota Kinabalu, saya tidak dibenarkan masuk diatas arahan Ketua Menteri Sabah yang pada awalnya telah mencabar saya untuk mengulangi ucapan Parlimen saya terhadapnya di Sandakan pada pagi hari yang sama jua!” ujarnya.

Beliau menjelaskan bahawa pihak imigresen Sabah telah memaksa beliau meninggalkan Sabah dan memaksa beliau duduk atas kerusi roda serta diangkat masuk ke dalam kapal terbang.

“Gambar tersebut merupakan gambar yang diambil pada tahun 1984 di Kota Kinabalu dimana ianya telah disalahgunakan dalam laman Facebook rasmi Tanda Putera sebagai salah satu gambar 13 Mei 1969,” tambah beliau.

Katanya, amat menyedihkan kerana semua usaha menjelang sambutan Kemerdekaan yang ke-55/Hari Malaysia Ke-49 sepatutnya berfokuskan perpaduan yang diversif dan berbilang kaum.

Namun, ujar beliau, ada elemen-elemen anti-nasional yang mengapi-apikan syak wasangka buruk diantara kaum dan memporak-perandakan keharmonian di negara ini dengan penyebaran kepalsuan dan fitnah berhubung dengan sejarah tanahair ini. – Roketkini.com