Berita

Rakyat Pulau Pinang tidak rela hak negeri diambil oleh kroni BN

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

GEORGE TOWN, 6 OGOS: Rakyat Pulau Pinang menuntut kerajaan persekutuan Barisan Nasional serta kroninya Seaport Terminal (Johor) Sdn Bhd mendedahkan kepada umum terma-terma perjanjian untuk mengambilalih Pelabuhan Pulau Pinang daripada pemilikan negeri.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata rakyat Pulau Pinang mahu mengetahui dengan jelas dan telus sama ada kerajaan BN telah, sedang atau akan:

1. Mengadakan tender terbuka secara kompetitif dan bukannya tender yang terhad kepada mereka yang dijemput untuk membuat tawaran.

2. Menjelaskan penafian Menteri Kewangan (UMNO) dan Menteri Pengangkutan (MCA) terhadap dakwaan Pengerusi Penang Port Commission, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang juga Presiden MCA, bahawa Pelabuhan Pulau Pinang akan dijadikan pelabuhan penghantar yang akan memainkan peranan sokongan kepada dua pelabuhan lain, iaitu Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) dan Pelabuhan Pasir Gudang di Johor.

3. Melaksanakan segera peruntukan RM353 juta untuk mengorek saluran pelabuhan kepada sekurang-kurangnya 15-17 meter dengan segera sebelum penswastaan dijalankan.

4. Mengadakan rundingan awam sepenuhnya dengan pihak-pihak yang berkepentingan di dalam industri perkapalan, kerajaan negeri Pulau Pinang dan rakyat Pulau Pinang.

5. Mendedahkan butiran dan pelan yang lengkap serta jumlah pelaburan Seaport, dan bagaimana penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang ini boleh memberi manfaat kepada penduduk Pulau Pinang dan mengembalikan status Pelabuhan Pulau Pinang kepada pelabuhan komersial serantau yang bertaraf dunia.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, rakyat Pulau Pinang bimbang masalah besar, termasuk kesan ekonomi dan pekerjaan serta perniagaan akan terjejas jika BN terus mengamalkan sistem ekonomi kroni yang membelakangkan kepentingan rakyat.

“Semua pembohongan, janji separuh benar dan janji-janji kosong ini adalah bukti bahawa penswastaan Pelabuhan Pulau Pinang akan diteruskan tanpa mendedahkan mana-mana maklumat.

“Juga tiada jaminan bahawa kerja-kerja pengorekan RM353 juta akan dijalankan seperti yang telah dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke-9 dan ke-10.

“Sekali lagi, kerajaan persekutuan Barisan Nasional telah gagal untuk menjaga kepentingan penduduk Pulau Pinang dengan meneruskan penswastaan Pulau Pinang tanpa memberikan jaminan bahawa ia tidak akan berakhir dengan satu lagi pelanunan demi keuntungan peribadi dan mengorbankan kepentingan awam,” ujar beliau. – Roketkini.com