Berita

DAP cadang anugerah untuk Lee Chong Wei

KUALA LUMPUR, 7 OGOS: DAP meminta kerajaan memberi penghormatan dan pengiktirafan kepada Lee Chong Wei sebagai Ahli Sukan Terbaik Malaysia Untuk Dekad Ini atas kemampuan pemain badminton negara itu mengulangi kejayaannya meraih pingat perak dalam sukan Olimpik 2012.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang berkata, walaupun rakyat jelas hampa dan kecewa dengan kegagalan Chong Wei untuk memenangi pingat emas pertama untuk Malaysia dalam perlawanan akhir badminton perseorangan lelaki, tiada ahli sukan negara pernah memperolehi dua pingat perak berturut-turut dalam dua sukan Olimpik.

“Sebenarnya, tiada siapa yang lebih kecewa daripada Chong Wei sendiri, dia telah berusaha dengan bersungguh-sungguh dengan azam dan keberanian untuk memenangi pingat emas tersebut,” katanya.

Chong Wei meraih pingat perak dalam sukan Olimpik Beijing pada tahun 2008 dan Olimpik London baru-baru ini.

“Penganugerahan dan pengiktirafan “Malaysian Sportsperson of the Decade” harus diberikan kepada Chong Wei bersempena Hari Kemerdekaan yang Ke-55/Hari Malaysia Ke-49 pada 31 Ogos dan 16 September yang akan datang.

“Ini merupakan satu pengertian yang amat penting dan unik, sebagai simbol kesepakatan rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama atau negeri,” ujar Kit Siang. – Roketkini.com