Berita

PAS bidas ‘fatwa’ Utusan yang kata haram sokong DAP

KUALA LUMPUR, 8 OGOS: Fitnah Utusan Malaysia melalui kenyataan seorang guru pondok yang juga penceramah pro-UMNO adalah salah kerana berasaskan fakta yang salah dan melanggar bidang kuasanya tanpa mengikut hukum-hukum Islam.

Ketua Penerangan PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, membidas kenyataan guru pondok itu yang disiarkan di muka depan Utusan hari ini kerana ia dibuat tidak mengikut hukum tetapi untuk menyenangkan hati para pemimpin UMNO.

Sepatutnya (keluar hukum itu) bawah Majlis Fatwa Kebangsaan. Kenyataan beliau tidak berdasarkan maklumat yang tepat, hanya (berdasarkan) satu pihak sahaja untuk mengelurkan hukum.

Kalau kita lihat, penentangan MCA tentang hudud lebih hebat daripada DAP sehingga beri amaran kepada UMNO (jika menyokong hudud),” katanya, sebagaimana yang dilaporkan oleh Malaysiakini hari ini.

Tuan Ibrahim yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang menganggap kenyataan guru pondok pro-UMNO itu sebagai tidak bermaklumat serta tidak sahih dan tidak perlu bagi PAS untuk melayannya.

Dalam perkara serupa, Pengarah Urusetia Penerangan Kerajaan Negeri Kelantan, Ustaz Abdul Rahman Yunus mengingatkan guru pondok tersebut supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang “boleh diketawakan oleh orang kampung”.

Menurut laporan Harakahdaily, beliau yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kubang Kerian turut menyebut, “Kenyataan yang dikeluarkan itu sudah jelas menggambarkan UMNO benar-benar kepupusan idea untuk berdepan dengan PAS dan Pakatan Rakyat.”

Utusan Malaysia sebagai lidah rasmi UMNO dalam laporan muka depannya memetik kenyataan guru agama pro-UMNO itu sebagai mendakwa DAP sebagai kafir harbi kerana “secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta perlaksanaan hudud.”

Laporan Utusan itu bagaimanapun menyatakan bahawa MCA sebagai “bukan kafir harbi kerana tidak membawa kemudaratan kepada kedudukan Islam dan umatnya”.

Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek telah beberapa kali dilaporkan oleh media arus perdana sebagai menghina hukum hudud yang dikatakannya akan membawa kemusnahan kepada Malaysia kerana ia adalah hukum yang kejam. – Roketkini.com