Rencana

Adakah dasar DAP bertentangan dengan nilai Islam? Oleh Mazir Ibrahim

Gambar ehsan Unit Penerangan Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang

13 OGOS – Kempen-kempen politik yang menggunakan elemen perkauman dan agama merupakan langkah nyata politik UMNO, sebuah parti yang pada zahirnya memperjuangkan nasib kaum Melayu. Oleh kerana sejarah (yang secara langsung ditulis oleh UMNO sendiri sebagai kerajaan yang memerintah) yang telah mengasiosasikan bangsa Melayu dengan Islam, maka dengan wajah tidak malunya UMNO turut mendakwa mereka turut memperjuangkan Islam.

Yang dimaksudkan sebagai ‘langkah nyata’ politik UMNO ini adalah menepati fakta bahawa matlamat perjuangan parti ini sudah menjadi rasis dan ekstrem, berbeza dengan perjuangannya sewaktu Merdeka dahulu yang bertujuan melindungi hak orang Melayu. Kini kempen-kempen perkauman dan keagamaan telah digunakan sebagai langkah terdesak demi mengekalkan survival masa depan politik mereka.

Dan, ‘langkah nyata’ ini juga merupakan satu indikasi bahawa UMNO sudah hilang kelayakan untuk memimpin satu bangsa yang dinamakan sebagai bangsa Malaysia (Malaysian nation) yang di dalamnya penuh dengan kepelbagaian kebudayaan. UMNO juga gagal membawa aspirasi seluruh rakyat Malaysia yang berbilang bangsa dan agama menjadi satu simbol kesatuan warga bernegara.

Baik UMNO, MIC, MCA, PAS atau mana-mana parti sekalipun tidak dapat lari dari fakta bahawa Malaysia bukan didirikan atas satu hasrat dari satu kaum atau agama sahaja. Malaysia adalah kristal dari rangkuman impian pelbagai bangsa, budaya dan agama. Fakta ini seolah-olah tidak dipedulikan oleh parti-parti yang berasaskan bangsa/agama, khususnya UMNO.

Entiti Malaysia dari fakta sejarah

Kepelbagaian ini sudah diterima sebagai alamiah, tidak perlu kita menyalahkan penjajah British dalam soal kedatangan kaum Cina dan India ke semenanjung tanah air ini, kerana sebelum kedatangan penjajah barat sekalipun, tanah ini sudah mula menerima kedatangan pedagang Arab, India dan Cina berkurun sebelum zaman penjajahan berlaku. Mengapa fakta ini tidak disadap hingga menjadi akses politik kita dalam dunia moden hari ini?

Dalam aspek budaya juga begitu, lihat saja dengan seni tradisi Melayu, apakah yang dikatakan muzik Melayu? Tiada. Sebaliknya, apa yang kita anggap sebagai Ghazal, Zapin, Keroncong, Wayang Kulit, Barongan, Main Puteri, Gamelan dan pelbagai lagi adalah rangkuman dari pelbagai budaya dan tamadun bangsa yang lebih awal dari Melayu. Dalam aspek instumen muzik, Melayu hanya berjaya menghasilkan gendang, lain-lain bukan. Ini kajian imperikal pengkaji etnomuzikologis (ethnomusicologist).

Sebelum kedatangan Islam juga, tanah ini sudah lama ada agama Hindu, Buddha dan animisme. Jadi mengapa kita perlu berpura-pura seolah-olah mendirikan negara Islam (yang tiba-tiba menjadi kebisingan UMNO hari ini) adalah hasrat utama dari kaum majoriti di Malaysia?

Hegemoni kaum

Adakah dengan nisbah jumlah kaum Melayu atau Islam melebih dari kaum dan agama lain, maka kita boleh mendakwa kita ada hak untuk mendirikan hasrat (negara Islam) itu? Apa akan jadi jika ditakdirkan suatu hari nanti jumlah yang bukan Melayu atau bukan Islam pula melebihi jumlah kaum Melayu dan Islam?

Jika melihat pada alasan nisbah atau jumlah, sudah tentu kaum lain atau agama lain juga akan menuntut bentuk negara mengikut selera mereka juga bukan? Jika ini berlaku siapa boleh halang?

Atau, oleh kerana jumlah bangsa atau agama menjadi alasan untuk mencapai hasrat itu, pasti selepas ini akan wujud perlumbaan menambah jumlah kaum dan agama hingga terjadinya perlumbaan yang boleh mendatangkan persaingan yang tidak sihat.

Maka, semua bangsa akan mula curiga-mencurigai, sabotaj-mensabotaj, tuduh-menuduh, perebutan dan pelbagai lagi masalah sosial dan budaya, semua itu atas hasrat nak tambah jumlah ahli keluarga atau jumlah penganut agamanya agar kaum/agamanya lebih ramai dari kaum lain. Maka itu menjadi dorongan agar mereka boleh mendominasi kaum atau agama lain.

Pemutusnya, apakah penghujung jalan atas keadaan ini? Adakah bentuk politik sebegini yang kita inginkan?

Nilai (isi) atau imej lebih utama?

Mengapa kita yang beriman ini terlalu sombong dengan kepercayaan kita? Seolah-olah, jika tidak membawa logo atau tanda nama (tagline) Islam atau Melayu, maka kita dianggap munafik atau murtad? Jika masjid tidak cukup besar dan canggih maka kita dianggap tidak cukup Islamik? Atau jika kubah dan permaidani masjid tidak cukup mahal maka itu tanda kita tidak kuat beribadah?

Sebaliknya, adakah dengan mengutamakan nilai-nilai yang baik (isi yang termasuk juga dalam tuntutan Islam) seperti membanteras rasuah, membela yang dizalimi, membuat kebajikan, membanteras penyalahgunaan kuasa, menegakkan keadilan dan memberi layanan dan peluang saksama kepada semua insan maka kita dianggap tidak cukup Islamik? Tidak berjihad? Atau tidak kuat iman? Menentang Islam? Atau tiada jatidiri bangsa?

Adakah begitu dangkal faham kita pada agama sendiri?

Dan adakah semua dasar-dasar ini mengancam Islam dan penganutnya? Jika benar, mengapa pula dalam Islam, nilai-nilai ini diungkapkan berulang kali?

Kita tidak nafikan kewujudan istilah Negara Islam, dan jangan lupa isi tentang istilah negara Islam ini masih terus diperbahaskan, ini memang sesuatu yang menggalakkan kepada semua pihak. Tetapi, berbanding dengan nilai-nilai baik yang juga disebut dalam agama kita, mana lebih banyak diingatkan dan ditekankan oleh Islam? Namanya sebagai negara Islam atau nilai-nilai (isi) ajaran Islam yang menjadi amalan positif semua insan?

Dasar DAP sejagat

Tanpa perasaan angkuh dan takbur, DAP mengakui bahawa dasar-dasar politiknya tidak bertentangan dengan anjuran mana-mana agama mahupun cara hidup mana-mana bangsa atau budaya, lebih-lebih lagi dengan agama Islam.

Bezanya cuma DAP tidak menggunakan nama atau istilah khusus yang berkaitan dengan mana-mana agama kerana tidak mahu memperalatkan agama sebagai jalan politik, malah kita tidak mahu istilah itu dicampur-aduk yang mungkin membuka jalan kepada salah tafsir atau salah faham oleh rakyat yang pelbagai latar pendidikan.

Dan pada masa yang sama, kita juga akui bahawa apa jua sistem ciptaan manusia itu tidak akan dapat lari dari kelemahan. Oleh sebab itu ia perlu sentiasa diperhati dan diperbaiki. Perbezaan pendapat dalam kerangka yang waras, menjadi aspek penting dalam memelihara sistem ini. Ini amalan DAP.

Dan perlu diingatkan bahawa elemen perbezaan pendapat yang DAP amalkan ini tidak wujud sama sekali dalam UMNO. Jika wujud (perbezaan pendapat), maka lihatlah apa yang telah terjadi kepada Anwar Ibrahim, Tunku Abdul Rahman, Tengku Razaleigh Hamzah dan lain-lain yang menjadi mangsa kuasa yang tidak boleh ditegur apalagi dikritik.

Menurut ajaran Islam, manusia (kita) dikirim ke dunia berperanan sebagai khalifah (pemimpin) dengan tujuan utamanya untuk mentadbir dan mengurus manusia serta alam (sumber alam) dengan adil dan ikhlas. Jangan ingat bahawa gelaran “khalifah” menjadi lesen sebagai pembuat hukum untuk menghukum pihak lain, apatah lagi menjatuhkan hukuman atau menutup kebebasan kepada seteru politik kita atas nama agama atau Tuhan.

Justeru, jadilah pentadbir yang benar dan baik. Pentadbir politik atau pemimpin rakyat ini boleh datang dari mana-mana agama dari mana-mana bangsa, nilai yang baik bukan milik satu bangsa atau agama sahaja.

Tiada keyakinan diri punca sikap perkauman

Islam sebagai agama akhir zaman, telah hadir dengan cukup persediaan untuk menjawab semua perkara ini. Islam adalah jaminan Allah SWT dan tidak perlu “dipertahankan” oleh manusia-manusia kerdil. Malah cara “mempertahankan” Islam dengan baik adalah dengan mengamalkan segala ajaran dan nilai murninya – membanteras rasuah, membela yang dizalimi, membuat kebajikan, membanteras penyalahgunaan kuasa, menegakkan keadilan dan memberi layanan dan peluang saksama kepada semua insan.

Tetapi mengapa masih ada penganut Islam, khususnya mereka yang di tampuk kuasa hari ini, takut untuk menghadapi realiti ini?

Tidak kira ia Melayu, Cina atau India, Islam atau Kristian atau Buddha, jika mereka sebagai pentadbir (pemimpin) yang zalim atau tidak adil, mereka wajib ditentang. Yang ditentang bukan warna kulit (bangsa) atau anutan agamanya, tetapi nilai buruk yang diamalkannya.

Dan nilai dan amalan buruk wajib ditentang kerana ia membawa bencana kepada semua umat manusia tanpa mengira agama. Mungkin kerana masih ada kalangan kita yang tidak cukup percaya dan yakin dengan apa yang telah kita pelajari dengan agama kita sendiri.

Maka ketakutanlah yang mengisi kelompongan itu. Dan ketakutan itu kadang-kadang diterjemahkan dengan perbuatan terhegeh-hegeh membenci kaum dan agama lain, semata-mata untuk menutup kejahilan diri sendiri.

Syukurlah semakin ramai umat Islam di Malaysia menyedari apa yang makruf, apa yang mungkar. Hanya segelintir pemimpin UMNO dan pecacai upahan mereka yang belum sedar diri dan masih cuba membangkitkan api perkauman melalui hasutan. – Roketkini.com