Berita

Pendedahan 13 Mei 1969 oleh Lim Kit Siang

KUALA LUMPUR, 15 OGOS: Rakyat Malaysia yang obsesi dengan peristiwa berdarah 13 Mei 1969 diseru untuk mendengar penjelasan kisah sebenar dengan fakta mengenai insiden tersebut melalui rakaman eksklusif  bersiri dengan tokoh DAP Lim Kit Siang.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, siri rakaman eksklusif itu adalah untuk menepis semua tomahan dan menolak semua fitnah yang telah dijaja oleh media dan bloger pro-UMNO berhubung DAP dan juga Lim Kit Siang berkaitan peristiwa berdarah 13 Mei 1969.

“Fitnah yang mendakwa Lim Kit Siang dan DAP sebagai dalang yang mencetuskan peristiwa lampau tersebut adalah karut dan boleh mengundang rasa curiga antara kaum,” ujarnya.

Katanya, DAP percaya bahawa tindakan oleh kelompok-kelompok UMNO ini adalah persediaan akhir sebelum pilihanraya umum ke 13 diadakan, malah ia merupakan sebagai promosi kepada sebuah filem yang akan ditayangkan kelak yang dilaporkan mempunyai elemen-elemen hasutan perkauman.

“Tuduhan-tuduhan ini juga digunakan hanya dengan memetik beberapa kenyataan MAGERAN yang tidak jelas butir laporannya, malah gambar yang digunakan sebagai bukti juga adalah salah dan tidak benar sama sekali.

“Untuk menjawab segala fitnah ini, DAP telah merakamkan siri rakaman eksklusif  buat semua rakyat Malaysia untuk menjelaskan kedudukan sebenar atas semua dakwaan palsu oleh media dan bloger pro UMNO,” ujar Pua.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, rakaman tersebut akan memaparkan beberapa persoalan yang tidak pernah diberi perhatian oleh media arus perdana berhubung fakta kejadian dan realiti bahawa Lim Kit Siang tidak pernah berada atau terlibat dengan mana-mana rapat umum atau demonstrasi di Kuala Lumpur sebelum, semasa dan selepas peristiwa berdarah itu.

“Anda semua dialu-alukan menyaksikan siri rakaman ini melalui rangkaian laman web yang disediakan.”

Rakaman ini diterbitkan oleh roketkini.com dan ia mengandungi enam episod yang dimuatnaikkan ke https://www.youtube.com/user/roketkinidotcom dan akan disiarkan di laman-laman rasmi media DAP iaitu:
1.         dapmalaysia.org/;
2.         ubah.my/;
3.         http://roketkini.com/;
4.         http://www.therocket.com.my/;
5.         https://www.facebook.com/DAPMalaysia ;
6.         https://www.facebook.com/roketkini;
7.         https://www.facebook.com/therocket.com.my

Bagi Pua, dengan adanya siri rakaman eksklusif ini, ia akan membantu generasi baru rakyat Malaysia untuk menilai peristiwa ini secara objektif dan tidak sekali-kali termakan dengan fitnah semberono UMNO dan konco-konconya.

“DAP amat konsisten bahawa jika UMNO benar-benar ingin menyelak kembali tragedi ini, maka kita sarankan agar sebuah Suruhanjaya Diraja ditubuhkan untuk menyiasat secara terperinci dan menyeluruh tentang peristiwa 13 Mei 1969,” ujar beliau. – Roketkini.com