Berita

Lagi syarikat kroni dapat tanah kerajaan di Brickfield?

KUALA LUMPUR 17 OGOS: Pembinaan pusat komersial bercampur dengan dua blok pangsapuri di atas dua bidang tapak bekas Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield yang berusia 30 tahun telah menimbulkan tanda tanya kerana ia melibatkan urusan tukar milik tanah kerajaan kepada sebuah syarikat swasta.

Syarikat Primamuda Holding Sdn. Bhd. tersebut dimiliki oleh Ketua UMNO Bukit Bintang Senator Mariyani Yit yang merupakan pengarah syarikat terbabit.

Bercakap kepada pemberita dalam satu sidang media di tapak pembinaan tersebut, Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun berkata beliau akan mengajukan perkara ini ke pihak SPRM untuk mengetahui samada proses tukar milik tanah tersebut mengikut prosedur dan harga pasaran.

“Kita tidak mahu melihat kalau harga pasaran RM800 sekaki persegi tetapi mereka menjualnya dengan harga RM200 kaki persegi. Secara tidak langsung kerajaan mengalami kerugian.

“Saya sangat berharap agar SPRM menyiasat penjualan tanah ini. Kalau di Imbi, harga tanah ialah sekitar RM2000 sekaki persegi. Disini pula mungkin sekitar RM800 kaki persegi. Rakyat perlu mengetahui harga sebenar tanah disini. Kita tidak mahu sebarang penyelewengan berlaku.” ujar beliau.

Turut bersama menghadiri siding media ini ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng dan wakil-wakil penduduk.

Menurut Nurul Izzah, jawapan dari Ketua Pengarah, Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian berkata bahawa kerajaan tidak lagi memiliki tanah ini.

“Bukankah pindah milik tanah ini bertentangan dengan dasar Pelan Struktur Kula Lumpur 2020?” soalnya.

“Pada tahun 2005, cadangan pindah milik tanah ini melibatkan Lot 55 di Jalan Travers, tetapi apabila penduduk di Bukit Persekutuan membantah,
Menteri Wilayah akhirnya memberi balasan dengan tanah ini.”

“Sekiranya pindah milik tanah terdahulu tidak bersesuaian untuk penduduk di Bukit Persekutuan, mengapa ia pula ‘sesuai’ di kawasan ini yang
sememangnya sesak dan padat?” Nurul dalam kenyataannya mahu menteri yang bertanggungjawab mendedahkan semua urusan tukar milik tanah awam (tanah kerajaan) dan perancangan yang telah dilakukan.

Kemarahan dan kekecewaan penduduk

Bagi S.Raymond yang telah menetp di Brickfield selama lebih 20 tahun, beliau melahirkan rasa sangat tidak puas hati terhadap projek yang akan dibangunkan ini.

“Mengapa pihak kerajaan tidak membina kompleks IPD yang baru (menggantikan yang lama dengan baru) seperti di Jalan Dang Wangi, Sentul, IPK
Kuala Lumpur, Bukit Aman dan juga seperti tempat lain di seluruh negara?

“Paling menghairankan,mengapa Ibu Pejabat Polis Brickfield yang telah bertapak lama disini dipindahkan ke kawasan yang jauh iaitu sekitar 20
kilometer dari sini?” katanya.

Menurut beliau, sekarang segalanya telah diluluskan tanpa mengambil pandangan dan persetujuan penduduk setempat.

“Disini saya mewakili penduduk yang lain tidak bersetuju dan mengutuk tindakan yang telah dilakukan dan memohon agar kerajaan menjamin keselamatan kami semua dengan membina Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfield yang baru di
tapak yang sama.-Roketkini.com