Berita

Faisal Mustafa, Penerbit Teater Teo Beng Hock di tahan JAIS : Mahu jawab soalan di Mahkamah.

SHAH ALAM, 29 OGOS: Penerbit teater ‘Beng Hock’ dan aktivis politik-seni, Faisal Mustaffa akan didakwa di bawah Seksyen 215 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003 kerana enggan menjawab soalan ketika disiasat oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini.

Faisal memilih untuk menjawab soalan-soalan di Mahkamah sepertimana yang diperuntukkan oleh Seksyen 113, Kanun Acara Jenayah. Namun undang-undang tersebut kelihatan seperti tidak terpakai dalam ruang lingkup JAIS.

Sebaliknya, menurut Seksyen 215 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 2003; keengganan menjawab soalan apabila disoal siasat adalah satu kesalahan yang jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM2,000 atau penjara tidak lebih setahun atau kedua-duanya sekali.

Seksyen 215 memperuntukkan bahawa, “Barang siapa, yang terikat di sisi undang-undang untuk menyatakan yang benar mengenai apa-apa hal kepada mana-mana pegawai agama, enggan menjawab apa-apa soalan tentang hal itu yang dia dikehendaki menjawabnya oleh pegawai itu semasa pegawai itu menjalankan kuasanya di sisi undang-undang adalah melakukan suatu kesalahan.”

Faisal ditahan JAIS awal pagi ini atas kesalahan didakwa memiliki buku karangan Irshad Manji berjudul Allah, Kebebasan dan Cinta yang telah diwartakan haram oleh kerajaan.

JAIS sebelum ini pada 14 Julai lalu telah pun menggeledah dan merampas buku kontroversi tersebut di rumah Faisal, dan menyoal siasat beliau pada hari yang sama.

Menurut peguamnya Afiq Noor, Faisal telah disoal siasat selama dua jam setengah sejak jam 10.30 pagi. Malah apabila Faisal berkata bahawa beliau mahu menjawab soalan JAIS di Mahkamah, empat lagi pegawai dibawa masuk untuk cuba menakut-nakutkan beliau.

“Pegawai peguatkuasa JAIS Sharom B Maarof memaksa @faisalmustaffa untuk jawab soalan,” kata pengamal undang-undang itu melalui akaun Twitternya. Dia kemudiannya dihalau keluar oleh pegawai penyiasat ketika anak guamnya disoal siasat.

Peguam Lawyers For Liberty, Fadiah Nadwa pula berkata, JAIS telah bertindak bertentangan dengan peruntukan Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan apabila menafikan hak guaman kepada Faisal dan menafikan haknya untuk berdiam diri dari menjawab soalan-soalan yang boleh menyabitkannya dengan sebarang pertuduhan jenayah.

Faisal dibenarkan ikat jamin sebanyak RM2000 dengan seorang penjamin. Di akaun Facebooknya, Faisal menyebut, “Utk jaminan kes di JAIS, anda mestilah penjawat awam dan seorang muslim.” Beliau kemudian dibawa semula ke pejabat penguatkuasa JAIS untuk disiasat atas pertuduhan baru bawah Seksyen 215 atas pilihannya untuk menjawab soalan siasatan di Mahkamah. – Roketkini.com