Budaya

Forum Nusantara Siri 6 “55 Tahun Kemerdekaan: Ke Arah Mana Melayu Pulau Pinang?”

PENGENALAN

Forum Intelektual Nusantara merupakan satu siri forum awam yang mengetengahkan pandangan alam dan budaya fikir cendekia, sasterawan, budayawan dan institusi-institusi keilmuan yang ada kaitannya dengan Pulau Pinang dan hubungannya dengan kebudayaan Nusantara secara keseluruhannya.

Pulau Pinang yang suatu ketika dulu merupakan pusat pertembungan perdagangan, kebudayaan dan keilmuan yang sangat kosmopolitan sifatnya telah banyak mencambahkan benih perubahan dalam masyarakat.

Tidak mahu hanya dibelenggu oleh romantism silam Penang Institute (dahulunya dikenali sebagai SERI) mengambil langkah mula untuk mengembalikan fungsi Pulau Pinang sebagai hab intelektual Nusantara dengan menganjurkan siri forum ini. Justeru dengan kesedaran ini, Institut Pulau Pinang terpanggil untuk mengajak seluruh rakyat Pulau Pinang bersama-sama mengembalikan kegemilangan ini kepada kejayaan masa depan rantau Nusantara

LATAR PROGRAM

Sejarahnya, Pulau Pinang begitu akrab dengan perkembangan masyarakat Melayu di negara ini. Lebuh Acheh misalnya, merupakan tumpuan masyarakat Melayu Islam untuk berkumpul sementara menunggu kapal laut untuk ke Makkah. Pulau Pinang juga merupakan pusat penerbitan banyak akhbar dan majalah awal negara. Begitu juga dalam bidang pendidikan, pastinya tiada yang dapat menafikan peranan Pulau Pinang sebagai antara pelopor pendidikan moden di Malaysia.

Pulau Pinang juga merupakan negeri kelahiran ramai tokoh negara seperti Tun Abdullah Badawi (mantan Perdana Menteri), Anwar Ibrahim (Ketua Pembangkang), Haji Yusof Rawa (Tokoh Politik Nasional), Datuk Ahmad Nawab (pengubah lagu), P Ramlee (Seniman Negara) dan Nordin Ahmad (Hero filem klasik Melayu), serta  Dato’ Nordin Hassan dan Prof Muhammad Haji Salleh (Sasterawan Negara).

Setelah 55 tahun usia kemerdekaan negara ini, pastinya telah banyak pencapaian masyarakat Melayu Pulau Pinang yang layak untuk dibanggakan. Namun begitu, harus juga diinsafi bahawa kedudukan Melayu Pulau Pinang mampu untuk menjadi lebih baik daripada sekarang. Berdasarkan sejarah yang gemilang, masyarakat Melayu Pulau Pinang kini tidak harusnya berjiwa kecil bagi mendepani cabaran semasa.

Penang Institute percaya, polemik masyarakat Melayu tidak wajar dilihat daripada kaca mata politik kepartian semata-mata. Terdapat banyak dimensi lain yang boleh dilihat dan diusahakan untuk menambah baik situasi sedia ada. Maka, dengan keterbukaan pimpinan negeri kini dan sempena semangat bulan kemerdekaan, Institut Pulau Pinang mengambil inisiatif untuk menganjurkan forum bagi menilai pencapaian dan cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Melayu Pulau Pinang sepanjang sejarah negara.

Forum ini akan berlangsung di Hotel Seri Malaysia, Kepala Batas, 8 September 2012 jam 8.00 malam-11.00 malam.

Forum ini akan membariskan panelis iaitu YB Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa, Ahli Parlimen Parit Buntar, YB Senator Prof Madya Ariffin Omar, Senator Dewan Negara dan juga Pensyarah Universiti Pertahanan Nasional Malaysia, YB Nik Nazmi Nik Ahmad, Ahli Dewan Undangan Negeri Sri Setia dan turut membawakan wakil daripada UMNO, Dato’ Raja Munir Shah, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Tanjong. Forum ini akan dikendalikan oleh Prof Madya Dr Ahmad Fauzi Abdul Hamid, pensyarah dari Pusat Pengajian Jarak Jauh, USM.-roketkini.com