Budaya

Malam Merdeka bersama Kacang Phool dan Ghasan Kanafani Oleh Izmil Amri

Menulis, tidak ada banyak beza dengan memasak. Sebagai seorang yang menulis dan juga memasak, persamaan antara keduanya agak jelas bagi saya. Sama halnya dengan kemahiran di ranjang. Itu juga hampir sama, tetapi itu cerita lain. Cukup sekadar kita sebutkan bahawa semua kemahiran di atas berkongsi keperluan sensasi yang sama.

Apabila kita membaca sesuatu tulisan, adalah mudah untuk kita tentukan baik atau tidak bahasa tulisan itu dengan sekadar merasa lemak manisnya di hujung lidah apabila dituturkan. Contohnya tulisan ini. Kalau dibaca kuat dan ada manis dan lazat yang dirasakan di hujung lidah, maka sedap dan baiklah tulisan ini. Dan jika sebaliknya dirasakan, maka buruklah.

Seperti masakan, perlu ada cukup garam gulanya. Mesti lengkap lemak masinnya. Jika tidak hasilnya akan hambar dan memualkan.

Namun memasak ini memerlukan keadaan ekonomi yang bagus. Jika tiada wang dan sumber yang mencukupi, biarlah punya kemahiran seperti tukang masak istana pun tiada gunanya.

Lain dengan menulis. Kerja tulis menulis ini cukup dengan segala yang tidak lengkap. Lebih terseksa dan tidak lengkap kadangkala membuatkan tulisan lebih sempurna. Malah ada teman saya yang pernah tulis sesuatu pada kertas tisu kedai makan dengan pena yang dipinjam untuk dijual buat beroleh wang. Bahkan perut yang lapar membuahkan revolusi dalam bahasa yang mengungkap indah lazat apa yang diidamkan hati.

Contohnya seperti saya sekarang ini, miskin bandar yang dikekang limitasi kewangan untuk mencuba makanan lazat seperti manusia selebihnya di bandar ini yang memandu kereta mahal dan memakai baju yang bagus kerja buatnya.

Saya sekarang sedang menulis tentang makanan dalam keadaan perut agak kelaparan. Dan dalam lapar itu saya mengidamkan makanan yang lazat-lazat, malah makanan yang tidak mungkin kedapatan dalam radius sepuluh minit perjalanan dari tempat duduk sekarang.

Ekonomi memerah derita dari perut yang tidak berisi nasi, dan melahirkan kegusaran terhadap miskin dan lapar itu dalam bahasa yang mengiurkan pembacanya. Itu manifestasi kelaparan dan kelazatan nikmat makan melalui medium bahasa dan tulisan.

Dalam keadaan ekonomi yang kegawatan dan angka-angka perbankan yang kelihatan merunsingkan, saya berdiam di dapur hampir lepas waktu senja dan menggeledah apa yang tersorok dan tersimpan di kabinet kayu yang dipasang tuan rumah yang saya sewa bersama teman.

Kacang Parang

Ternyata di situ saya ketemu satu tin kacang parang yang saya beli dulu, waktu keadaan ekonomi tidak begitu mengundang titis air mata.

Dalam keadaan lapar, saya fikir panjang apa yang boleh saya hasilkan dengan satu tin kacang parang dan apa lagi khazanah marhaen yang tersimpan di ceruk dapur yang sudah sebulan tidak berasap dek kerana bulan Ramadan. Justeru bertemu pula saya dengan bawang putih, bawang besar dan kiub pati daging Knorr.

Di kabinet bawah, ada sedikit minyak zaitun milik orang yang pastinya akan menjadi mangsa korban perut insan kelaparan ini. Jadi itu juga saya keluarkan dan susunkan elok-elok.

Periuk sup saiz sederhana dibawa ke atas dapur, sedikit minyak zaitun dititiskan ke dalam. Bawang yang tadi ketemu sudah dipotong dadu. Bawang putih bertemu nasibnya dengan sisi pisau dapur, dilenyek dan dipotong halus. Keduanya tercampak bersama ke dalam periuk tadi.

Tin kacang parang dibuka rapi, namun tidak juga berjaya sebenarnya. Cubaan membuka penutup tinnya itu akhirnya berkesudahan dengan air dan cebisan kecang menghambur ke muka. Tetapi tak apa, perlahan-lahan saya kopak penutupnya dan saya tuang habis isinya ke periuk. Dalam dua puluh saat, mulalah kandungannya menggelegak dan melepaskan aroma-aroma indah.

Untuk sedikit bantuan, saya campakkan beberapa cubit oregano kering, daun herba Itali yang entah apa namanya dalam mazhab Tanah Melayu. Saya hanya tahu yang daun ‘basil’ itu rupa-rupanya daun selasih kurang setahun lalu. Mungkin salah televisyen sehingga saya bodoh ramuan masakan Melayu.

Dalam peti sejuk ada dua keping daging burger. Saya kopak sekeping dan campakkan atas kuali leper dengan sedikit minyak, garam dan lada hitam dengan api kuat supaya bahagian luarnya mula garing dan masak. Daging itu kemudiannya saya potong dadu halus sebelum saya campak dan gaul bersama kacang parang tadi.

Ada pula botol-botol rempah paprika, lada sulah dan sebotol rempah tidak diketahui dalam botol Nescafe tersorok di rak paling bawah sebelah peti sejuk. Itu juga saya ambil sedikit dan campak masuk.

Menjelang lima minit dalam proses memasak benda yang rupanya nampak macam kacang phool ini, wap dan baunya mula semerbak sehingga sampai ke beranda dan membikin perut semakin berlagu.

Daging yang tadi separuh masak sudah masak sepenuhnya di dalam cairan kacang yang saya lenyek dengan alat yang sering digunakan penjual burger untuk memaksa minyak dan cairan keluar dari daging burger, konon supaya burger cepat masak. Alangkah salah perbuatan itu.

Bawang yang tadi lebih segenggam sudah tidak nampak rupa bawang, kecuali seakan cebisan intan permata samar-samar menjengah dari balik kuah coklat muda yang tidak begitu menyelerakan. Buat penambah perasa dan warna, saya capai tin Milo dari rak atas dan taburkan sesudu besar serbuk coklat itu ke dalam periuk dan gaulkan sebati.

Tiga minit kemudian kandungan periuk tidak lagi nampak seperti cecair pelik tetapi nampak betul macam kacang phool. Saya sebut jelas, ‘macam’ kacang phool. Saya tidak mendakwa mahupun mengaku bahawa apa yang saya masak itu benar-benar kacang phool. Malah saya tidak tahu pun bagaimana ejaan sebenar masakan tersebut.

Memasak dan menulis: Rumit

Demikian rumitnya penyediaan makanan. Sama rumit malah mungkin berlebihan lagi rumitnya dengan kerja menulis. Walau barangkali tidak serumit hidup penulis seperti Ghasan Kanafani, pujangga Palestin yang terbunuh dalam tragedi pengeboman kereta di Beirut tanggal 8 Julai 1972.

Ghasan seorang penulis yang barangkali pernah menjamah hidangan kacang phool versi resepi Arab, tanpa digaul daging, serbuk coklat dan segala rempah; selain direbus dengan sedikit garam dan dituang beberapa sudu minyak zaitun; buat dimakan dengan roti.

Ghasan juga dikenal orang sebagai sang komando yang tidak pernah menembak senjata, kerana yang menjadi senjatanya ialah mata pena. Mesin taip juga barangkali dia tidak punya. Namun yang penting ialah insan ini yang pertama mencipta terma ‘Resistance Literature’ atau sastera perlawanan, sebagai alat memunggal imperialisme dan ketidakadilan yang sering membungkam suara rakyat tertindas.

Apabila politik bungkam, sastera bersuara. Itu faham kami, kelompok manusia yang merantai kaki tangan ke meja tulis saban hari berfikir tentang derita bangsa yang sakit dan sehingga kini menjelang lebih setengah abad Merdeka masih belum ketemu penawarnya.

Sastera perlawanan barangkali aktiviti melawan tingkat rendah. Dengan langgam dan puisi, kebuntuan dipecahkan dan akal fikir yang kebuluran dihidang dengan zat pengetahuan dan pencerahan. Namun derita bangsa tidak terubat dengan penulisan semata-mata. Perut tetap perlu diisi. Hutang tetap perlu dibayar, jika tidak bekalan api dan air dipotong pemerintah. Malah kini ia giat mengacah, memeras wang demi menjual hak manusia dengan alat kapitalisme.

Melawan bungkam

Penyair popular, Pyanhabib ada pernah bermadah; dan madahnya kini diconteng-conteng orang ke dinding ibu kota: `kemerdekaan sebenar adalah apabila setiap usus perut rakyat berisi nasi!’ Dan ini benar. Malah rakyat yang mendapati perutnya tidak berisi nasi malam ini perlu bertanya kepada diri kenapa perutnya tidak berisi nasi, dan siapa yang menghalang nasi daripada sampai ke perutnya. Dan orang yang menjadi halang itu, bolehkah pula tindak tanduknya dipersoal dan dikritik; ini asas revolusi kelaparan.

Sama halnya dengan saranan Voltaire untuk mencari siapa dia yang kita tidak boleh kritik untuk mengetahui siapa dia yang memerintah dan menginjak kita.

Dan sambil soalan itu kita pertanyakan dengan mengunyah kacang phool dan membaca tulisan Gasan Kanafani, akan ada sekelompok manusia di Bukit Jalil sana yang berteriakan menyambut Hari Merdeka seolah-olah itu hari lahirnya parti United Malays National Organisation; dengan nyanyian dan laungan diiringi letupan-letupan menjengkelkan anak kecil yang baru mahu lena di kaki lima berpayungkan kotak kadbod yang baru tadi petang ibunya curi dari belakang kedai runcit.

Merdeka? Terjajah? Lapar? Miskin? Rasuah? Susah? Peduli?

Janji ditepati? – Roketkini.com