Budaya

Ucapan Debat Kebudayaan 1968 Oleh Lim Kit Siang – Bahagian 2

Petikan ucapan Setiausaha Penyelaras DAP (pada waktu itu), Sdr. Lim Kit Siang pada Debat Kebudayaan antara DAP-Gerakan di Auditorium MARA pada 24 November 1968 jam 10 pagi. Ucapan ini dipetik daripada buku tulisan Ooi Kee Beng, yang diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi; ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ – Lim Kit Siang, Sebuah Lakaran Biografi.

Dr. Naquib Alatas menegaskan lagi pendiriannya tentang persuratan Malaysia dalam sebuah wawancara dengan Malay Mail sebulan kemudiannya, menunjukkan bahawa ucapannya di forum sebelum itu bukan semata-mata kegiatan akademik. Pada 13 Ogos, Malay Mail melaporkan:

“Dalam sebuah wawancara, Dr. Alatas mengatakan bahawa masa depan kebudayaan Malaysia harus diasaskan atas bahasa Melayu.

“Memandangkan semua kaum di Malaysia telah memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, maka mereka mesti mematuhi persetujuan tersebut.

“Semangat dan ideal-ideal sesebuah bangsa tercermin pada persuratan dan beliau tidak merasa bahawa persuratan Malaysia dapat ditulis dalam sebarang bahasa lain selain bahasa Melayu. Penulisan tentang Malaysia dalam bahasa asing mencerminkan ideal-ideal dan nilai-nilai yang dilihat dari sudut pandang asing kerana ia ditulis untuk orang asing . Persuratan Malaysia yang tulen, ujar beliau, ditulis dalam bahasa Melayu oleh orang-orang yang tidak semestinya Melayu tetapi telah menyerap tradisi dan kebudayaan di kepulauan Melayu.”

Dalam pernyataan kedua, Dr. Syed Naguib terang-terangan menganjurkan supaya kebudayaan Malaysia diasaskan atas bahasa Melayu.

Dalam satu laporan berasingan tentang forum pada 10 Julai itu, Eastern Sun (12 Julai) memetik Dr. Syed Naguib sebagai mengatakan bahawa ‘tidak ada persuratan dapat berkembang secara terpisah daripada semangat kebangsaan’ dan bahawa ‘persuratan mencerminkan nilai, kebangsaan dan maruah bangsa.’

Berasaskan dua pernyataan beliau, saya membincangkan dasar kebudayaan Gerakan dalam sebuah ceramah bersempena ulang tahun pertama Cabang Wanita DAP Klang pada 8 September 1968. Ucapan ini kemudiannya diterbitkan dalam Opinion 20 September-20 Oktober.

Dalam ucapan di Klang itu, saya mengatakan bahawa dasar yang didukung oleh Dr. Syed Naguib Alatas itu adalah percubaan jelas untuk meng-Indonesiakan kebudayaan Malaysia dan menafikan kedudukan setara bagi kebudayaan Cina dan India dalam perkembangan arus kebudayaan Malaysia ke arah menjadi kebudayaan Malaysia yang mengadunkan segala yang terbaik daripada keempat-empat kebudayaan agung yang bertemu di Malaysia.

Saya juga telah bertanya kepada pakar kebudayaan Gerakan itu samada Gerakan serius dalam mengajukan bahawa orang Indonesia yang menulis berasaskan cita dan kehidupan Indonesia mencerminkan ‘nilai, kebanggaan dan maruah’ bangsa dan kehormatan Malaysia; dan juga sama ada Gerakan merasa persuratan Indonesia berdedikasi terhadap pertumbuhan semangat kebangsaan Malaysia yang jamak-budaya.

Saya berpegang teguh dengan ucapan saya di Klang dan mencabar beliau untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan yang telah dikemukakan, serta membuktikan bahawa saya telah menyelewengkan kenyataan beliau [seperti yang telah didakwanya].

Dasar kebudayaan yang didukung oleh Dr. Syed Naguib Alatas dalam dua pertanyaan umum berkenaan perlu dikaji lebih teliti kerana ia merupakan dasar yang amat jelek dan berbahaya, sarat dengan pelbagai mudarat. Dasar sedemikian perlu didedahkan dan ditolak secara tegas, kerana jika tidak dicabar ia akan mengekang pertumbuhan sebuah bangsa Malaysia yang bersatu serta menuai benih salah-faham dan konflik perkauman.

Hanya mereka yang tidak memberi tempat kepada bahasa-bahasa lain di Malaysia yang akan mengambil pendirian bahawa persuratan Malaysia semestinya ditulis dalam bahasa Melayu. Ini sejajar dengan penolakan Gerakan terhadap dasar jamak-bahasa.

Pernyataan Dr. Syed Naguib Alatas selari dengan perkara-perkara yang diperjuangkan oleh puak pelampau dalam UMNO. Menteri Penerangan dan Penyiaran Inche Senu bin Abdul Rahman, dilaporkan oleh Malay Mail pada 5 September 1966 sebagai berkata: “Jika Malaysia ingin memiliki persuratan yang boleh dikenal pasti sebagai bercirikan Malaysia dari segi bentuk dan isi, maka wahana pengungkapannya tidak dapat tidak haruslah Bahasa Kebangsaan.”

Jika dasar ini diterima, maka tidak ada ruang untuk warga Malaysia yang menggunakan bahasa Cina dan Tamil meluahkan nasionalisme, cita, pergelutan, harapan, dan ratapan bangsa Malaysia, melainkan jika dia berfikir dan menulis dalam bahasa Melayu. Konsep sebegini berasaskan kepada premis bahawa bahasa-bahasa lain, Cina, Tamil, dan Inggeris, bukan merupakan wahana pengungkapan yang layak atau sesuai bagi nasionalisme, nilai, cita, sudut pandang dan harapan Malaysia.

Atau secara lebih kasar, bahasa Cina, Tamil dan Inggeris dianggap sebagai bahasa-bahasa tidak ke- Malaysiaan  dan hanya boleh menjadi pengungkapan yang tidak ke-Malaysiaan. Dengan itu ia secara  borong menolak wahana penulisan Malaysia non-Melayu. Saya takut untuk memikirkan tentang perkembangan  dan kesan-kesan yang logiknya akan terhasil akibat sikap yang sedemikian sempit dan tidak toleran.

Jika kita menyimpulkan bahawa Inggeris, Cina, dan Tamil adalah bahasa-bahasa tidak ke- Malaysiaan, maka kita mesti juga menyimpulkan bahawa tidak ada alasan untuk terus mengekalkan atau membenarkan penggunaannya dalam kehidupan kebangsaan Malaysia, sama ada di radio, televisyen, akhbar, atau panggung wayang.

Malah, hal ini membentuk tiga daripada tujuh poin dalam rancangan perpaduan kaum yang dicadangakn oleh penulis kakitangan Utusan Melayu pada 9 April 1968, iaitu:

  • Haramkan semua bahasa selain Bahasa Kebangsaan dan haramkan semua filem yang menggunakan bahasa selain Bahasa Kebangsaan melainkan filem-filem berkenaan dialih- bahasa ke dalam Bahasa Kebangsaan;
  • Haramkan semua bentuk tulisan selain tulisan Kebangsaan daripada dipakai di tempat-tempat awam atau papan tanda kedai; dan
  • Haramkan semua akhbar yang tidak memakai Bahasa Kebangsaan, seperti akhbar-akhbar Cina dan Tamil.

Pendirian Dr. Syed Naguib Alatas terang-terangan bertentangan dengan peruntukan Perlembagaan dalam perenggan (1)(a) bagi Perkara 152:

“Bahasa Kebangsaan ialah bahasa Melayu yang hendaklah dalam tulisan yang diperuntukkan melalui undang-undang oleh Parlimen Dengan syarat bahawa-

(a)   tiada seorang pun boleh dilarang atau dihalang daripada menggunakan (selain bagi maksud rasmi), atau daripada mengajar atau belajar, apa-apa bahasa lain.”

Apa maknanya menggunakan bahasa-bahasa lain jika ia diharamkan bukan saja daripada digunakan dalam urusan rasmi malah juga ditolak sebagai wahana yang absah bagi luahan bangsa Malaysia?  Tragedi di sini ialah bahawa ada orang yang mahu menjadikan bahasa Melayu sebagai satu-satunya bahasa di Malaysia sehingga meminggirkan dan menindas bahasa-bahasa lain.

Pendirian bahawa hanya karya-karya persuratan yang ditulis dalam bahasa Melayu sahaja akan dianggap sebagai persuratan Malaysia sama sekali tidak dapat dipertahankan. Persuratan Malaysia tidak boleh dibataskan hanya setakat karya-karya yang ditulis dalam satu bahasa tertentu sahaja di Malaysia benar-benar sebuah negara yang berbilang kaum dan bahasa.

Persuratan Malaysia harus merangkumi semua penulisan, sama ada drama, novel, cereka pendek, naskhah pementasan atau puisi yang ditulis oleh  warga Malaysia dengan emosi, pengenalan diri, pengembaraan, latar serta penglibatan sosialnya berkaitan dengan Malaysia, sama ada ditulis dalam bahasa Melayu, Cina, Tamil atau Inggeris.

Selepas tahun 1945, timbul kontroversi besar di antara dua mazhab penulisan Cina Malaysia. Satu mazhab persuratan Cina Perantau (Overseas Chinese) dan satu lagi mazhab Cina Malaysia.

Mazhab Cina Perantau berpendirian bahawa penulisan orang-orang Cina di luar Tanah Besar China, tidak kira bagaimana isinya, adalah sebahagian persuratan Cina. Penulis-penulis ini sepenuhnya berorientasikan negara China dan tidak memberi perhatian kepada suasana lingkungan mereka.

Ikuti bahagian seterusnya daripada petikan ucapan debat kebudayaan Lim Kit Siang ini pada minggu hadapan. – Roketkini.com