Budaya

Ucapan Debat Kebudayaan 1968 Oleh Lim Kit Siang – Bahagian 3

Petikan ucapan Setiausaha Penyelaras DAP (pada waktu itu), Sdr. Lim Kit Siang pada Debat Kebudayaan antara DAP-Gerakan di Auditorium MARA pada 24 November 1968 jam 10 pagi. Ucapan ini dipetik daripada buku tulisan Ooi Kee Beng, yang diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi; ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ – Lim Kit Siang, Sebuah Lakaran Biografi.

Mazhab Persuratan Cina Malaysia menegaskan bahawa penulis Cina di Malaysia seharusnya menjadi sebahagian daripada persekitarannya dan bahawa tanggungjawab ialah terhadap tanah yang didiaminya, serta bahawa tidak sepatutnya menulis sebagai orang luar, pemimpin gerakan persuratan Cina Malaya, En Fang Hsiu menyimpulkannya seperti berikut:

“Di Malaya terdapat jutaan orang Cina, kebanyakan mereka telah berkurun-kurun berada di sini, mengambil bahagian dalam pertumbuhan sejarah Malaya. Mereka telah memainkan peranan dalam ekonomi negeri, dalam urus tadbirnya: keterikatan perasaan mereka dengan negeri ini telah terbukti; dengan batang tubuh mereka, mereka mempertahankan Malaya, menumpahkan darah mereka menentang penceroboh, kerana mereka menganggap Malaya sebagai Tanahair mereka.

“Bagaimanapun, dengan segala kesetiaan mereka, usaha mereka, nenek moyang mereka, dan pernolakan mereka terhadap sebarang perkaitan dengan China sebagai tanah leluhur, mereka masih menafikan tempat yang wajar dan setara dalam tubuh politik negeri ini; mereka masih dianggap seperti orang luar, kesetian mereka diragui…”

“Mereka mahu menjadi warga Malaya, bukan Cina Perantau, tetapi kerajaan mendiskriminasi mereka dari sudut ini dalam cara yang menyebabkan mereka terus-menerus merasa terasing. Mereka mahu hidup aman, harmoni, dan berteman dengan kaum-kaum lain di Malaysia, tetapi tembok-tembok yang telah dibina…”

“Persuratan  mencerminkan realiti, dan dalam realiti, orang-orang Cina di Malaya telah berusaha dan menulis untuk mencapai keharmonian kaum…”

“Persuratan mempengaruhi peristiwa, dengan menulis dan meluahkan rasa hati kami, harapan kami, kami ingin berhubungan dengan kaum-kaum lain, untuk mencapai saling-persefahaman… Kami mahu setiap orang tahu bahawa meski pun kami menggunakan bahasa Cina, ini tanahair kami…”

“Di China, persuratan berperanan membebaskan rakyat China. Di sini, di Malaya, persuratan bahasa Cina-Malaya, kami berperanan meransang dan mengukuhkan perpaduan, saling-persefahaman, dan harmoni di antara tiga kaum Malaya yang terbesar. Inilah sifat keistimewaan dan khusus persuratan Cina-Malaysia.”

Mazhab persuratan Cina Malaya mencapai kejayaan dan mazhab persuratan Cina Perantau telah berkubur. Namun muncul Syed Naguib-Syed Naguib, Gerakan-Gerakan, Senu-Senu, pelampau-pelampau, yang mendakwa bahawa tidak kira bagaimana isi dan kesetiaan mereka, mereka bukan sebahagian daripada persuratan Malaysia.

Mari kita lihat tentang penulisan Tamil. Jika, misalnya En. V. David tersentuh oleh dewi-dewi Muse dan menulis Tamil yang cemerlang bertemakan Malaysia, apakah Gerakan akan mengetepikannya sebagai persuratan bukan ke-Malaysiaan?

Kita tahu En. V. David tidak mempunyai denyut atau kecenderungan puitis, namun sebagai satu andaian, kita tetap mahu Gerakan dan En. V. David menjawab pertanyaan ini.
Apakah kita akan melihat Tamil Nesan Murasu, dan akhbar-akhbar berbahasa Tamil lain telah membuka ruang untuk penulis-penulis muda Tamil sebagai wahana persuratan dan luahan bukan-Malaysia?

Mari kita lihat bahasa Inggeris. Sebahagian karya persuratan terbaik dalam renaisans kebangsaan India, dalam kedua-dua sisi politik dan kebudayaan renaisans tersebut, ditulis dalam bahasa Inggeris.

Mari kita terlebih dahulu melihat kepada khazanah persuratan politik yang telah mengilhami gerakan kemerdekaan India. Tilak dan Aurobindo, dua pendahulu agung bagi Ghandhi dan Nehru, telah menggunakan bahasa Inggeris sebagai wahana pengungkapan mereka yang utama.

Setelah itu seluruh generasi pemimpin-pemimpin revolusi kebangsaan India, termasuk orang-orang seperti Ghandhi, Nehru, Sabbas Chandra Bose, C. R. Das, dan lain-lain, telah mengungkapkan nilai-nilai dan tuntutan-tuntutan nasionalisme India menerusi wahana bahasa Inggeris tanpa mengurangkan kedudukan mereka sebagai gergasi nasionalisme India di mata masyarakat mereka sendiri dan malahan di mata seluruh dunia.

Dalam soal renaisans kebudayaan India juga gergasi-gergasi persuratan, falsafah dan kesenian telah menemukan dalam bahasa Inggeris wahana pengucapan yang berkesan.

Wali-filasuf seperti Vivekananda telah menyalakan imiginasi orang India dengan kemegahan dan kehebatan kebudayaan India silam- dan kebanyakan syarahan dan penulisannya dibuat dalam bahasa Inggeris. Penyair agung India, Rabindranath Tagore, menulis menggunakan bahasa Inggeris semahir dia menulis menggunakan bahasa ibundanya, Bengali, tetapi India tidak menolak karya-karya beliau yang berbahasa Inggeris sebagai bukan sebahagian daripada persuratan India.

Penyair wanita India Sarojini Naidu yang beberapa tahun dipenjarakan lantaran penglinbatan dalam perjuangan kebangsaan India menulis semua puisinya dalam bahasa Inggeris, Dr. S. Radhakrishnan, bekas Presiden India, menulis semua karyanya tentanf falsafah India dalam bahasa Inggeris, tanpa berhenti menjadi seorang India. Filasuf dan penyair India, Sri Aurobindo, menulis  semua karya agungnya, prosa dan juga puisi, dalam bahasa Inggeris- begitu pun di India beliau dianggap sebagai salah seorang wali agung India, digolongkan bersama wali-wali penulis kitab Veda, Unpanishad dan seterusnya.

Semua ini menegaskan satu prinsip asasi, iaitu: Bahasa dalam keadaan demikian adalah satu wahana neutral. Yang penting ialah orang yang menggunakan wahana itu.

Bahasa Inggeris, diterima di India sebagai salah satu bahasa India kerana kenyataannya terdapat berjuta-juta bangsa India menggunakannya, diiktiraf sebagai salah satu wahana yang layak untuk mengungkapkan nilai-nilai dan tuntutan-tuntutan nasionalisme India seperti juga bahasa-bahasa pribumi India yang lain. Hal ini membawa kita kepada satu lagi poin penting yang mungkin dapat memberi manfaat kepada kita yang hidup dalam Malaysia yang jamak kaum dan jamak bahasa.

Persuratan berorentasikan kebangsaan yang dengan mudah dapat diikitiraf sebagai persuratan India terus ditulis dalam bahasa Hindi, Bengali, Tamil, Malayalam, dan Gujerati, tanpa ada sesiapa di India memdakwa karya-karya persuratan yang dihasilkan dalam pelbagai bahasa ini tidak ke-Indiaan.

Hanya cauvinis, sama ada cauvinis berselindung atau terang-terangan, yang mendakwa bahawa keseragaman kebahasaan adalah satu asas yang wajib bagi perpaduan kebudayaan. Hakikatnya, seperti yang dapat dilihat pada India, Switzerland, dan beberapa negara berbilang kaum dan bahasa yang lain, kepelbagaian kebahasaan dalam luahan kebudayaan berperanan menyuburkan kekayaan budaya masyarakat sesebuah negara.

Kepelbagaian bahasa tidak membawa kepada pemiskinana budaya, sebaliknya pemiskinan budaya terjadi akibat penekanan secara sempit terhadap keseragaman bahasa, dan inilah yang tidak kena pada gagasan-gagasan seperti- ‘persuratan Malaysia mesti diasaskan atas bahasa Melayu.’

Jika perkara-perkara sedemikian ditekankan di India, nescaya tidak akan pernah berlaku renaisans kebudayaan atau politik India. Mujur bagi India kerana universiti-universitinya tidak menghasilkan Syed Naguib-Syed Naguib.

Ikuti bahagian seterusnya daripada petikan ucapan debat kebudayaan Lim Kit Siang ini pada minggu depan. – Roketkini.com