Berita

Pakatan Rakyat tubuh Pasukan Khas Pendidikan kaji masalah pendidikan negara

KUALA LUMPUR, 14 SEPTEMBER: Pakatan Rakyat hari ini melancarkan penubuhan Pasukan Khas Pendidikan Pakatan Rakyat (PET) untuk mengkaji dan memberi respon kepada Pelan Tindakan Pendidikan Baru Kerajaan 2013-2025 yang masih memperlihatkan banyak kelompongan.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua, pihak kementerian perlu memberi akses kepada umum untuk meneliti kesemua laporan yang dikeluarkan oleh empat badan penyelidikan iaitu Laporan UNESCO, Laporan Bank Dunia, laporan panel Independent Malaysia Review dan laporan panel International Review.

“Dari situ kita akan tahu keseluruhan maklumat dan bukan hanya sekadar laporan yang terpilih,” kata Tony mengulas tindakan kerajaan yang tidak mendedahkan laporan tersebut secara keseluruhan.

Dalam perkara berkaitan, Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat Nurul Izzah Anwar berkata,   pelan tindakan pendidikan kerajaan masih tidak memperlihatkan situasi pendidikan negara yang sebenar, dan memerlukan perbincangan mendalam mengenai masalah-masalah yang dihadapi.

“Pelan tindakan yang disediakan ini tidak memadai dan kita tidak yakin ia merupakan sebuah pelan tindakan yang terbaik untuk masa depan,” kata beliau.

Bagi penganalisis politik Dr. Ong Kian Ming, Malaysia berhadapan dengan banyak masalah pendidikan samada melibatkan infrastruktur mahu pun pencapaian akademik.

Menurutnya, walaupun kerajaan membelanjakan jumlah yang besar dalam Rancangan-rancangan Malaysia, masalah pendidikan negara masih tidak selesai.

“Kita ambil contoh, sehingga kini terdapat 15 peratus dari 10,000 sekolah yang tidak mendapat bekalan air minuman yang wajar,” kata beliau sambil menyebut bahawa ini termasuklah masalah makmal computer, keciciran dikalangan pelajar lelaki, jurang jantina yang tinggi di IPTA maupun IPTS dan pelbagai masalah lagi.

Bagi Pengerusi Biro Pendidikan PKR Pusat, Tuan Hj. Abbas Awang, Malaysia berhadapan dengan masalah kekurangan modal insan yang tidak dipedulikan oleh kerajaan.

“Kita perlu memberi fokus kepada pembangunan spiritual pelajar dan bukan sekadar pembangunan emosi maupun IQ semata-mata. Penekanan nilai harus diberikan pada setiap subjek pelajaran,” ujar beliau.

Pasukan Khas Pendidikan Pakatan Rakyat (PET) ini membariskan sembilan orang panel terdiri dari tiga orang panel dari setiap parti iaitu; Nurul Izzah Anwar, Naib Presiden PKR, Tony Pua, Setiausaha Publisiti DAP, Che Uda Che Nik, Ahli Parlimen Sik, Dr. Dzulkefly Ahmad, Ahli Parlimen Kuala Selangor, Chong Eng, Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Dr. Halimah Ali, Exco Pendidikan Selangor dan ADUN Selat Klang, Hj. Abbas Awang, Pengerusi Biro Pendidikan PKR, Dato’ Abu Bakar Chik, Lujnah Pendidikan PAS Pusa, dan Dr. Ong Kian Meng, Penganalisis politik.

Menurut Pua, kajian dan sebarang cadangan pasukan khas ini akan diserahkan kepada Kementerian Pendidikan menjelang Oktober nanti. – Roketkini.com