Berita

PR Lancar ‘Wanita Berdaya Negara Sejahtera’

SHAH ALAM, 14 SEPTEMBER: Pelancaran Agenda Wanita Malaysia telah diadakan di Kompleks Belia & Kebudayaan Negeri Selangor, telah dirasmikan oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim di sini malam tadi.

Majlis turut mendengar amanat daripada pimpinan Wanita Pakatan Rakyat. Chong Eng yang juga merupakan Ketua Wanita DAP Kebangsaan berkata, matlamat utama agenda ini dipersetujui kerana Wanita Pakatan Rakyat memahami perbezaan gender dalam hal ehwal pentadbiran serta penggubalan dasar.

“Kita sedar walaupun setiap orang dilahirkan dalam keadaan fitrah dan mempunyai hak yang sama sebagai manusia, tetapi masih berlakunya ketidakadilan terhadap golongan wanita”, ujar beliau.

Menurut Chong  Eng lagi, jika dilihat dalam bidang kerjaya, golongan wanita masih kurang dalam ditangga yang lebih tinggi terutamanya dalam bidang korporat. Begitu juga dengan keseimbangan sosio-ekonomi yang tidak menguntungkan kaum wanita.

Beliau turut menambah bahawa, “Wanita Pakatan Rakyat telah sebulat suara untuk memastikan agenda yang ingin dibawa merangkumi masa depan yang lebih cerah kepada wanita di seluruh Malaysia ”.

Jelas Ahli Parlimen Bukit Mertajam ini lagi ketika berucap dalam majlis tersebut, wanita bukan sahaja tenaga kerja negara yang bernilai malah sebagai wanita, mereka mempunyai tanggungjawab yang berat. Lantas, setiap wanita di Malaysia perlu dipastikan dapat menikmati keseimbangan kerjaya dan kehidupan.

“Jika 55 tahun kerajaan UMNO Barisan Nasional memerintah mereka hanya menerima perlindungan ‘ekonomi formal’ tetapi Agenda Wanita Malaysia melancarkan caruman wanita Malaysia. Apabila kerajaan pusat menyumbangkan RM50 sebulan untuk tabung keselamatan sosial wanita dan caruman khas daripada suami yang bekerja sebanyak RM10 sehingga RM100.” Kata Chong Eng.

Turut berucap pada majlis yang sama, Ahli Parlimen Ipoh Timor Lim Kit Siang turut menjelaskan bahawa, setelah 55 tahun kita merdeka dan apabila kerajaan UMNO Barisan Nasional rancak menggunakan slogan ‘Janji Ditepati’ sebenarnya Perdana Menteri sendiri tidak menepati janji beliau dengan merampas hak wanita.

“Mengapa Perdana Menteri perlu memegang jawatan sebagai Ketua Wanita dan Masyarakat, adakah kita tidak punya wanita yang mampu atau layak menteri di Malaysia ini”. Kata Kit Siang dengan nada sindiran semasa dalam ucapannya.

Majlis diakhiri dengan gimik pelancaran buku ‘Wanita Berdaya Negara Sejahtera’ oleh wakil-wakil daripada pimpinan Pakatan Rakyat.-roketkini.com