Berita

Gig ‘Malaysia Milik Kita Bersama’ didik anak muda sayangkan negara

KUALA LUMPUR, 18 SEPTEMBER: Konsert Malaysia Milik Kita Bersama telah berjaya mengumpulkan anak-anak muda Kuala Lumpur dalam suasana meriah sambil mengingati hari terbentuknya Persekutuan Malaysia.

Program anjuran Roketkini di Dewan Perhimpunan Cina KL & Selangor itu menarik minat anak-anak muda yang meminati muzik keras dan bermesej jelas daripada kumpulan Second Combat, serta kelompok yang meminati muzik hip hop persembahan 5forty2.

Pengunjung yang datang berkesempatan menyaksikan sendiri bagaimana kelompok anak muda yang sering disalah erti menyambut Hari Malaysia dengan muzik yang menganjurkan supaya menjauhi salahguna dadah, alkohol dan rokok serta menyampaikan mesej-mesej hak asasi dan keadilan sosial.

Menurut Ein, vokalis bersuara nyaring daripada kumpulan punk-rock Second Combat, anak muda yang mengikuti perkembangan muzik mereka sering disalah fahami sebagai kelompok yang jahat dan tidak berakhlak. Namun hakikatnya jauh menyimpang dari andaian itu.

“Kita nyanyikan tentang isu pemerdagangan manusia, penderaan kanak-kanak, sistem pendidikan kita, buruh kanak-kanak, hak orang asli, globalisasi, kapitalisme dan sebagainya dimana banyak band-band lain tidak ketengahkan,” kata Ein dalam wawancara bersama Roketkini.

Majlis pada malam tersebut dibuka oleh kumpulan hip-hop 5forty2 yang memperdengarkan lagu terbaru mereka ‘Lawan Tetap Lawan’ yang mengajak supaya melawan kezaliman dan menegakkan keadilan.

Kombinasi hip-hop dan punk-rock pada malam tersebut meski pun dilihat janggal, telah berjaya meraikan kepelbagaian muzik dan menyatukan anak muda dari pelbagai lapisan masyarakat untuk sama-sama membangkitkan semangat cintakan negara. – Roketkini.com