Wawancara

Sabah dikhianati BN setelah 49 tahun memerintah

Pengkhianatan kerajaan BN terhadap negeri dan rakyat Sabah tidak boleh diselindungkan lagi. Ketidak seimbangan pembangunan, masalah kebanjiran PATI, kemiskinan, semuanya tertumpu di Sabah yang merupakan negeriyang kaya dengan pelbagai sumber asli dan keindahan alam. Ikuti wawancara eksklusif wartawan Roketkini.com Hafiz Zainuddin bersama Pengerusi DAP Sabah YB Jimmy Wong Sze Phin membincangkan pelbagai isu dan dilemma yang menimpa rakyat negeri ini. Foto oleh Tzyy Ang.

Bagaimana keadaan Sabah sekarang menurut pandangan saudara?

Di  Malaysia Sabah merupakan negeri yang termiskin walaupun ia merupakan negeri yang kaya dengan hasil bumi. Pada tahun 1963 hingga 1980, Sabah adalah nombor dua terkaya di Malaysia berbanding Singapura. Tanah yang luas, kayu balak dan gas dan minyak. Tapi apa yang telah berlaku sekarang apabila dikuasai UMNO-BN?

Apa yang BN telah lakukan?

BN tipu rakyat Sabah. Mereka beri 5% royalti minyak tapi rakyat masih tidak tahu berapakah jumlah sebenar dari 5% tersebut. Apa yang BN dah buat selama 49 tahun daripada Sabah negeri terkaya dan akhirnya menjadi negeri termiskin kerana mereka hanya mengutamakan rasuah. Kos hidup di Sabah pula amat tinggi tetapi gaji yang diperoleh paling rendah di Malaysia.

Purata pendapatan isi rumah di Semenanjung lebih kurang USD10 ribu atau RM30 ribu setahun tetapi di Sabah hanya USD3500 setahun atau lebih kurang RM 12 ribu iaitu 1/3 daripada pendapatan untuk sebuah rumah. Inilah yang berlaku.

Harga barang di sini pula adalah 20-40 peratus lebih tinggi berbanding di Semenanjung.

Masalah infrastruktur di Sabah

Semua pun teruk, jalan raya, jalan air, elektrik semua pun teruk. Kita sendiri telah mendengar aduan penduduk-penduduk kampung yang datang memberitahu sehingga sekarang pun masalah air, elektrik merupakan masalah besar.

Banyak kampung pun tidak ada elektrik dan air di kampung amat teruk, walaupun sudah dipasang tiang tetapi tidak ada bekalan elektrik, paip dipasang sehingga hari ini masih tiada bekalan air. Di kawasan bandar pun masih kekurangan air dan elektrik.

Bagaimana keadaan penduduk yang tinggal di pedalaman?

Di kawasan kampung, mereka lebih susah kerana purata pendapatan mereka RM300-400 sahaja sebulan.

Apa pula tindakan BN?

Langsung tidak ada, hanya sekadar janji kosong. Kalau dapat dilihat rumah-rumah dikampung sini lagi susah; tidak akan dilihat seperti rakyat di Semenanjung. Ada rumah yang dibuat sendiri menggunakan buluh dan kayu-kayu yang seperti zaman British dahulu.

Kini, kita boleh lihat ramai pendatang yang datang ke Sabah terutamanya di Kota Kinabalu. Pulau Kayan dan pulau-pulau lain ramai pendatang tanpa izin. Mereka utamakan PATI sahaja. Bila mereka bina penempatan haram, mereka tidak akan kacau tetapi jika orang tempatan buat, mereka akan kena halau. Ada kes sehingga rumah mereka dibakar. Di sini banyak laporan begitu boleh kita dapati.

Bagaimana dengan sokongan rakyat Sabah terhadap Pakatan Rakyat

Orang kampung yang dahulu menyokong Barisan Nasional yang hampir 50 tahun sudah melihat bahawa Barisan Nasional telah kerat leher rakyat Sabah, tipu rakyat Sabah, tanah di rampas seperti di Tawau, Sungai Menteri, padahal penduduk telah duduk di situ lebih kurang 40 tahun.

Kerajaan juga ada memberikan barang-barang keperluan untuk membina rumah dan penduduk ada yang bercucuk tanam dan boleh hidup mewah hasil usaha yang diperolehi lebih kurang 5-6 tahun. Kini mereka datang kembali untuk merobohkan segala usaha yang mereka usahakan. Rakyat dituduh penceroboh pula.

Bagaimana pula sokongan Bumiputera kepada DAP

Kali ini akan ada kelainan dari PRU-12 kerana jika dahulu mereka masih menyokong Barisan Nasional yang selepas pekerjaan mereka dan perniagaan mereka (Bumiputera tempatan) telah dirampas oleh pendatang tanpa izin. Mereka makin sedar dan mahu berubah. Bayangkan, teksi, bas, lori dan perniagaan kecil juga telah dirampas oleh PATI. PATI ini mudah mencari makan, di kaki lima dan boleh membuka perniagaan tetapi mengapa tidak diganggu oleh pihak berkuasa.

PATI ganggu ekonomi rakyat tempatan

Orang tempatan Bumiputera yang memohon lesen kena tunggu sehingga bertahun-tahun. Mereka juga perlu membayar RM150 untuk mendapatkan lesen tersebut sedangkan lesen itu hanya RM25. Kesian orang kampung yang terpaksa datang dari jauh dan memerlukan kos untuk naik bas lebih kurang RM10-20 dan turun naik turun naik pun belum tentu dapat lesen.

Sedangkan pendatang tanpa izin mereka tidak perlukan sebarang lesen dan tidak akan ganggu oleh pihak berkuasa dan ada yang menggelarkan mereka ini sebagai Bumiputera Baru dan bagi mereka yang menerima MyKad ini adalah bumipitera kelas pertama dan bumiputera yang sedia ada seperti bumiputera kelas kedua. Seolah Bumiputera tempatan adalah pendatang tanpa izin di negeri sendiri. Kalau kita tidak ubah bagaimana pula kita hendak mengubah nasib kita

Sebagai wakil rakyat di Sri Tanjung, apakah masalah utama disana?

Sri Tanjung merupakan bandar ketiga terbesar di Sabah selepas Kota Kinabalu dan Tawau. Tetapi masalah infrastruktur di sini seperti longkang tersumbat kadang kala boleh mengakibatkan banjir jika hujan lebat. Walaupun bandar besar, ia berhadapan dengan masalah bekalan air yang secukupnya.

Banyak aduan yang diterima setiap hari kerana kekurangan bekalan air dan elektrik. Walaupun sudah 25 tahun dibina paip air tapi masih tidak dibetulkan kerana bocor, kerajaan kata ada peruntukkan 4 juta tapi masih tidak mampu menampung masalah paip bocor ini. Semua ini projek ini mengutamakan rasuah, masalah rundingan tender.

Hubungan Pakatan Rakyat negeri ini

Hubungan kita lebih baik dari 2008 jika dibanding dahulu. Kalau dulu, agak sukar mendapatkan sokongan bumiputera tetapi kini mereka juga meminta bantuan daripada kita.

Sebagai Pengerusi DAP Sabah, bagaimana penerimaan orang Sabah kepada DAP?

Saya fikir PR atau DAP sendiri, bila kita pergi melawat ke kawasan bandar mahupun di kampung, kita dapat melihat rakyat lebih percaya kepada DAP. Kami juga tidak punya masalah untuk masuk ke kampung-kampung. Kita dapat lihat sendiri seperti di Keningau, Tenom, Ranau, Kemabong, kita mendapat sambutan yang baik. Kalau dahulu hanya 20 atau 30 orang sahaja, tapi sekarang ada beratus orang yang menerima kehadiran kita dan ini menunjukkan pemikiran mereka sudah berubah.

Apabila PATI terlalu ramai, apa masalah utama yang dihadapi?

BN sebenarnya punya agenda yang tersendiri  kerana mereka tidak mendapat sokongan orang ramai, jadi mereka mengaharapkan PATI dan menjadikan PATI sebagai ‘fix deposit’ untuk menyokong mereka. PATI hanya perlu pandai bertutur dalam Bahasa Melayu dan berjanji akan memberi undi kepada BN. Ramai dikalangan mereka diberikan kad pengenalan tidak kira apa bangsa pun.

Sebenarnya saya secara peribadi berasa agak kasihan kepada PATI kerana mereka diperguna dan diperbodohkan oleh BN, dan BN ajar kalau perlu air atau elektrik hanya perlu curi sahaja. BN pun sebenarnya tidak membantu mereka. PATI ini sebenarnya tidak dihiraukan oleh kerajaan BN pun. Kalau mereka sakit dan tidak ada wang untuk bayar kos rawatan, menurut laporan yang diberitahu oleh doktor sendiri, jika tidak memberikan rawatan kepada mereka, mereka mengugut untuk membunuh. Lihatlah, betapa beraninya orang-orang PATI ini.

Di Sabah mempunyai jutaan orang PATI dan ada juga yang memengang kad pengenalan. Bukan semua mereka mempunyai wang. Tiap-tiap tahun, ada laporan mengatakan tidak kurang RM10 juta ubat di hospital maupun di klinik-klinik kerajaan diambil tanpa membuat bayaran. Jadi ini semua akan dibayar oleh rakyat Sabah kerana mereka bayar cukai.

Apa harapan YB untuk Pilihanraya yang akan datang

Harapan saya, Pakatan Rakyat perlu sedikit bersabar. Rakyat perlu diingatkan apa yang telah dilakukan oleh BN adalah hanya membodohkan mereka dan mengutamakan rasuah. Sudah 49 tahun kerajaan BN tidak mampu menyediakan infrastuktur yang baik kepada penduduk Sabah. BN tidak menepati janji mereka kepada rakyat. Memang telah lama terbukti!

Saya juga berharap, PR mampu memberikan harapan yang baru dan menunaikan janji. Jika PR menjadi kerajaan persekutuan, royalti minyak akan dinaikkan sehingga 20 peratus dan selesaikan masalah PATI yang sudah sekian lama berlaku. PR akan menubuhkan RCIII bagi menyelesaikan masalah ini dan menyiasat mereka yang pecah amanah kerana telah menjual maruah rakyat dan mengenakan hukumanan yang keras kepada mereka yang menjual maruah Malaysia.

Sokongan Bumiputera kepapa PAS, DAP dan KEADILAN telah meningkat khasnya dari suku kaum  Kadazan, Dusun, Murut, Bajau dan Iban. Nasib kita tidak akan berubah jika kita tidak berani. Berani untuk ‘Katakan Tidak’ kepada yang tidak betul dan ‘Katakan Ya’ kepada yang benar. Setelah lebih 50 tahun, benarlah kata Tun Mahathir ‘ini syaitan yang dikenali’, kerajaan yang rasuah, makan duit rakyat dan pecah amanah. – Roketkini.com