Berita

Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 tingkat taraf hidup rakyat

KUALA LUMPUR, 27 SEPTEMBER: Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang dibentangkan akan membela golongan berpendapatan rendah dengan dasar-dasar membasmi kemiskinan dan menaiktaraf kualiti kehidupan rakyat yang kian ditekan lantaran kenaikan harga barang dan keterhutangan.

Dalam pengumumannya di Parlimen, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Pakatan Rakyat terus mengulangi iltizam untuk merealisasikan dasar gaji minima sebanyak RM1,100.

Selain memberi penekanan terhadap perlaksanaan gaji minima, Pakatan Rakyat juga beriltizam meningkatkan kualiti hidup golongan miskin dengan menaikkan bantuan Kebajikan dari RM300 kepada RM550 sebulan.

Langkah tersebut secara langsung akan membebaskan 84,000 keluarga di seluruh negara yang berada dalam kumpulan miskin tegar.

Menurut Datuk Seri Anwar lagi, belanjawan tersebut juga akan menubuhkan Lembaga Perumahan Nasional yang bakal bertanggungjawab membina 100,000 buah rumah mampu milik dalam harga rumah sekitar RM130,000 sehingga RM300,000.

Peruntukan sebanyak RM5 billion adalah dicadangkan bagi melaksanakan pelan perumahan mampu milik ini dengan perancangan supaya 50,000 buah rumah dibina bagi membolehkan rakyat dari kelompok berpendapatan sederhana rendah dapat memiliki rumah sendiri.

Belanjawan Pakatan Rakyat juga antara lain turut menawarkan untuk mengurangkan 20 peratus cukai ke atas semua jenis kereta secara berperingkat bermula pada tahun 2013. Jelas Anwar, penurunan cukai sebanyak 20 peratus ke atas kereta ini akan meningkatkan pendapatan boleh guna bagi setiap tida daripada empat buah keluarga di Malaysia.

Belanjawan tersebut diumumkan dua hari lebih awal berbanding belanjawan Barisan Nasional yang dijadual akan dibentangkan oleh Perdana Menteri Najib Razak petang esok di Parlimen. – Roketkini.com