Rencana

Pojok : Utusan Malaysia kutuk usaha Guan Eng martabatkan nama P. Ramlee?

Geli buah pinggang saya setiap kali terpaksa membaca tulisan-tulisan akhbar propaganda milik United Malays National Organisation, Utusan Malaysia. Saya sebut ‘terpaksa’ kerana saya bukan manusia yang berahi mahu menyentuh akhbar jijik itu.

Hari ini kedua-dua belah buah pinggang saya bagai digeletek apabila membaca usaha terbaru lidah parti UMNO itu yang terpaksa berhempas pulas mencari bukan Melayu daripada Barisan Nasional untuk menghentam usaha memartabatkan nama seniman agung Tan Sri P. Ramlee oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Ini saya kira sudah terdesak tahap tinggi. Ya lah, tak dapat cari Melayu UMNO untuk kutuk usaha memartabatkan nama seniman kelahiran Pulau Pinang itu, penyudahnya terpaksa guna sahaja apa serpih dan cebis politikus BN negeri untuk mengutuk usaha Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Guan Eng telah mencadangkan supaya Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas yang masih dalam proses naik taraf itu diberi nama Lapangan Terbang Antarabangsa P. Ramlee sebagai mengenang jasa seniman tersebut.

Pastilah tidak ada mana-mana Melayu yang berakal waras akan membantah cadangan terbabit. Tambah-tambah kalau Melayu Pulau Pinang, silap-silap tak boleh keluar pulau kalau sanggup membantah ide yang amat baik itu.

Malah saya berpendapat bahawa pemimpin UMNO Pulau Pinang sendiri pun tersenyum gembira dengan cadangan Guan Eng itu. Bertahun lama tidak ada siapa pun yang ke hadapan membawa ide sebaik itu. Penyudahnya ‘Cina DAP’ pula yang proaktif mencadangkan perkara tersebut kepada Kerajaan Persekutuan.

Namun disebabkan Barisan Nasional Pulau Pinang ini masih baru menjadi pembangkang, ia masih merangkak mempelajari selok-belok menjadi pembangkang yang baik. Tidak hairan kenapa perkara begini pun mahu dibangkangnya.

Ini politik kelakar tahap budak tadika. Saya yang membaca bukan sahaja tambah menggeleng kepala, malah perlu bergegas ke tandas kerana rasa terkucil yang amat membara.

Demi memperkecilkan usaha dan nawaitu Guan Eng, puak-puak serpih lagi tidak signifikan ini hanya mampu membalas dengan soalan seperti “Saya ingin bertanya Guan Eng sama ada beliau tahu siapa nama penuh P. Ramlee” atau “Saya juga mahu tahu, berapa kali beliau melawat galeri P. Ramlee”.

Itukah sahaja respon yang mampu diberikan oleh Barisan Nasional?  – Roketkini.com