Berita

Belanjawan 2013: ‘Bonus one shot’ beli untuk undi-Penganalisis politik

KUALA LUMPUR 29 SEPTEMBER: Menyifatkan Belanjawan 2013 ini memperlihatkan niat sebenar kerajaan untuk ‘membeli undi’, penganalisis politik DAP, Dr. Ong Kian Meng berkata, pengumuman yang dibuat Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sekadar bersifat politik biarpun beliau menafikannya.

“Rakyat kini lebih bijak menilai tindak-tanduk kerajaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Justeru tambah beliau, apakah dengan dengan beberapa bentuk insentif ‘one shot’ yang bersifat sementara seperti bantuan BR1M 2.0 dan sebagainya akan mampu meningkatkan kualiti dan taraf hidup rakyat secara konsisten?

“Kos sara hidup tinggi tetapi tiada pelan bersepadu kerajaan untuk menstrukturkan semula ekonomi negara.”

“Kerajaan juga tidak mengumumkan sebarang dasar untuk menyelaraskan gaji pekerja-pekerja di Malaysia seperti dasar gaji minima yang dibentangkan dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.”

Katanya, apa yang berlaku ialah kerajaan sekadar mengulangi dasar belanjawan tahun lalu dengan beberapa imbuhan tambahan untuk mendapatkan sokongan rakyat.

“Memang rakyat akan mendapat imbuhan tertentu tetapi apakah ia akan berkekalan dan realistik? Apakah imbuhan atau bantuan yang diberikan tersebut akan berterusan memberi manfaat kepada rakyat jika tiada sebarang pelan yang konstruktif,” soalnya.

“Kita mahukan sebuah pelan yang kukuh untuk menjana daya saing ekonomi negara dan rakyat secara berterusan tapi kerajaan seolah tidak menunjukkan sebarang minat serius ke arah itu.”

Ditanya mengenai perlaksanaan GST, Dr. Kian Meng menjelaskan tidak mungkin kerajaan akan umumkan mengenai perlaksanaan cukai perkhidmatan tersebut kerana ia pasti akan mempengaruhi pengundi.

“Tetapi kita dapat melihat tanda-tanda mereka akan melaksanakannya cuki perkhidmatan kerajaan tersebut sekiranya memenangi pilihanraya umum akan datang.” ujar beliau.-Roketkini.com