Berita

Membaiki persepsi jenayah: Cubaan ‘brainwash’ dan menipu rakyat

KUALA LUMPUR, 3 OKTOBER: Kerajaan BN cuba membohongi rakyat dengan peruntukan sebanyak RM272 juta untuk memperbaiki ‘persepsi’ jenayah melalui iklan atau strategi pemasaran oleh perunding persepsi.

Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan Tony Pua dalam kenyataan medianya menyifatkan langkah ini sebagai cubaan ‘brainwash’ yang hasilnya mungkin tidak akan berubah.

“Saya benar-benar tidak percaya apabila membaca satu laporan berita yang memetik Datuk Seri Hishamuddin sebagai berkata, “kerajaan mengalih tumpuan kepada menguruskan persepsi umum dalam fasa kedua Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk mengurangkan kebimbangan rakyat” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata  kontroversi berkaitan isu ‘jenayah indeks’ dan ‘jenayah bukan indeks’ jelas menunjukkan stastistik jenayah yang dimanipulasikan.

“Dengan cara mengklasifikasikan semula kejadian jenayah kepada ‘jenayah bukan indeks’ yang tidak disiarkan, ia dilihat bertujuan menampakkan penurunan ‘jenayah indeks’ katanya lagi.

Respon polis terhadap kontroversi manipulasi statistik jenayah yang didakwa seorang ‘whistleblower’ kata Tony, telah diketahui ketika ‘jenayah indeks’ dikatakan telah menurun sebanyak 24.7% daripada 2007 sehingga 2011, pada masa yang sama ‘jenayah bukan indeks’ pula meningkat sebanyak 68.7%.

“Angka ini bukti jelas terhadap manipulasi statistik oleh pihak berkuasa untuk mencerminkan pencapaian yang lebih baik berbanding realiti dihadapi rakyat di luar sana.”

Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara ini juga tidak menolak dakwaan Menteri Dalam Negeri bahawa  isunya adalah berkaitan jenayah “bukan indeks” yang telah dimanipulasi dan dikaburkan hingga menyembunyikan keadaan sebenar.

Tegas Tony lagi, jenayah bukan lagi isu yang rakyat Malaysia perlu bimbangkan, tetapi “jenayah indeks” dan “jenayah bukan indeks”, telah sama-sama turun kadarnya pada tempoh yang sama.

“Sepatutnya Menteri Dalam Negeri menumpukan usaha kementeriannya terhadap pencegahan jenayah dan bukannya persepsi rakyat yang hanya merupakan simtom-simtom”. – Roketkini.com