Budaya

Ucapan Debat Kebudayaan 1968 Oleh Lim Kit Siang – Bahagian 4

Petikan ucapan Setiausaha Penyelaras DAP (pada waktu itu), Sdr. Lim Kit Siang pada Debat Kebudayaan antara DAP-Gerakan di Auditorium MARA pada 24 November 1968 jam 10 pagi. Ucapan ini dipetik daripada buku tulisan Ooi Kee Beng, yang diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi; ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ – Lim Kit Siang, Sebuah Lakaran Biografi.

Persuratan Malaysia mesti merangkumi persuratan Indonesia

Hujah Dr. Syed Naguib yang mengatakan bahawa persuratan Malaysia mesti merangkumi persuratan Indonesia yang telah mendorong saya untuk mengatakan bahawa ini adalah sautu dasar untuk meng-Indonesiakan kebudayaan Malaysia.

Pada pengetahuan saya, bahkan pelampau-pelampau UMNO tidak pernah membuat dakwaan sedemikian.

Kita di sini bukan untuk menilai bagus atau tidaknya penulis-penulis dan penyair-penyair Indonesia. Tetapi apabila dihujahkan bahawa penulis-penulis Indonesia mesti dirangkumkan dalam persuratan Malaysia dan pada masa yang sama seorang rakyat Malaysia yang menulis dalam salah satu bahasa bukan-Melayu dipinggirkan…yang kita dengar bukan nasionalisme Malaysia, sebaliknya suara Melayu Raya.

Apabila Sukarno melancarkan dasar konfrontasi, beliau sebahagiannya cuba untuk menghidupkan semula konsep Melayu Raya dan kegemilangan Nusantara-hari-hari gemilang di mana Kepulauan Melayu berada di bawah satu pemerintahan, di zaman empayar Sriwijaya dan Majapahit. Dalam konsep Melayu Raya, titik tumpu kesetian bukannya nasionalisme Malaysia, sebaliknya solidarity semua saudara-sedarah dalam kepulauan Melayu.

Melayu sebagai asas kebudayaan Malaysia

Dr. Naguib menyeru supaya Melayu menjadi asas kebudayaan Malaysia. Sekali lagi, inilah yang didukung oleh Setiausah Eksekusif UMNO Inche Musa Hitam pada Julai 1966. Inche Musa Hitam mengatakan semua orang Malaysia mesti menerima kebudayaan Melayu sebagai kebudayaan mereka sendiri.

Di awal tadi saya menyebut tentang rancangan perpaduan yang mengandungi tujuh perkara yang disarankan oleh penulis Utusan Melayu. Tiga daripada saranannya ialah:-

·         Mengharamkan penggunaan semua simbol yang tidak bercirikan Malaysia, seperti simbol naga;
·         Mengharamkan pembinaan semua bangunan yang tidak bersenibina Malaysia;
·         Mengharamkan semua pakaian yang tidak ke-Malaysiaan.

Menteri Tanah dan Galian Inche Rahman Ya’aob sewaktu merasmikan sebuah seminar Persatuan Bahasa Unniversiti Malaya pada 29 Oktober 1966 berkata:
“Mereka yang berjuang untuk menjadikan bahasa Cina sebagai bahasa rasmi adalah golongan yang ingin memberikan tempat kepada Mao Zedong di Malaysia.

“Malaysia tidak bertanggungjawab terhadap kebudayaan-kebudayaan yang tidak berasal dari Malaysia, termasuk kebudayaan Mao Tse Tung.

“Kita hanya bertanggungjawab kebudayaan yang telah kita bentuk, kebudayaan yang dilahirkan dan dicipta di Malaysia.”

Saya telah sebutkan lebih awal tadi bahawa kebudayaan bererti semua kepercayaan, amalan dan lembaga warisan sesuatu kelompok manusia, termasuk lembaga-lembaga sosial, ekonomi dan politik mereka.

Penerapan secara ketat tuntutan untuk mengasaskan kebudayaan Malaysia di atas kebudayaan Melayu bererti pengujudan semula masyarakat Melayu pra-kapitalis, menolak sistem satu-orang, satu-undi, elektrik, radio, televisyen, motokar, demokrasi, sosialisme, dan perancangan pembangunan luar bandar, kerana semua ini asing bagi kebudayaan Melayu tradisional.

Naguib-Naguib, Musa Hitam-Musa Hitam, dan Rahman Ya’akob-Rahman Ya’akob tidak benar-benar memahami apa yang mereka maksudkan sewaktu mereka menuntut agar kebudayaan Malaysia diasaskan di atas kebudayaan Melayu.

Tetapi tidak diragui bahawa mereka dirasuk oleh sikap tidak toleran yang kental terhadap bentuk-bentuk kebudayaan lain dan mahu melihat kebudayaan-kebudayaan tersebut menghilang. Mungkin mereka memahami slogan ‘kebudayaan Malaysia mesti diasaskan atas kebudayaan Melayu’ secara yang dijelaskan oleh penulis Utusan Melayu berkenaan: Mengharamkan semua bahasa bukan Melayu, akhbar-akhbar bukan Melayu, simbol-simbol bukam Melayu, bagunan-bangunan bukan Melayu dan adat resam bukan Melayu.

Ikuti bahagian seterusnya daripada petikan ucapan debat kebudayaan Lim Kit Siang ini pada minggu depan. – Roketkini.com