Budaya

“ Peluang saksama ?.. kau nak mampus? ” Oleh : Asi Dani – Cerpen –

“ Rajin betul kau ni Asi, kan musim hujan ni, buat apa nak cuci kereta, buat penat aje ”, Abang Lan menegur aku.

“ Ha abang Lan..” Aku tidak terkejut dengan kehadirannya, memang aku sudah perasan dari tadi dia berjalan menuju datang.

“ Tak apalah bang, sengaja cuci biar nampak tak berlapuk, lagi pun air di Selangor ni free, musim hujan pulak tu, melimpah ruah.” Aku menyambung sambil tersenyum, mata aku masih tidak memandang abang Lan yang berdiri dibonet kereta.

“ Hah..ambil kesempatan kau ya.” Pendek kata abang Lan sambil menghampiri aku.

“ Kerja kau ok? ”, tiba-tiba Abang Lan menyoal aku.

Sambil memerah kain mengelap kereta, aku berjalan menuju ke pili air untuk menutup paip. Bimbang juga kalau asyik berbual sampai air terbiar mengalir. Terasa sejuk benar air ini, barangkali paip yang mengalir dari bawah tanah telah disejukan dek suhu tanah yang lembap ketika musim hujan ini. Segar sekali jika dapat mandi dengan air sebegini, bisik hati aku ketika itu.

“ Ok je bang, biasa la kerja mesti ada turun naik”, aku menjawab pendek.

“ Awal bang Lan balik hari ni, ke ambil setengah hari? ” Aku menyoal beliau.

Sambil menggaru-garu kepalanya dia menjawab, “ Aku balik awal, tak ada mood nak kerja,” nadanya seakan mengeluh.

Selepas memerah kering kain lap kereta, aku menyidainya ke pagar tepi rumah. Aku memandang abang Lan dengan wajah penuh persoalan. Barangkali ada sesuatu yang beliau ingin kongsikan.

“ Ha, pasal apa tak ada mood? Bertengkar lagi dengan supervisor? ” Soal aku.

Abang Lan seorang juruteknik disebuah kilang kain, lama dia belajar dipoliteknik dalam jurusan kejuruteraan. Kini bidang kerjanya sesuai benar dengan kemahirannya. Tetapi masih mengeluh dengan kerja, beliau sering juga merungut tentang hal dan keadaan tempat kerjanya. Sebagai kawan, aku melayan saja rungutan beliau itu.

“ Entahlah, aku menyampah dah dengan sistem tempat kerja aku ni, dah merepek.”

Kecewa benar nada abang Lan. Tetapi aku sudah lali dengan perangainya. Aku hanya diam tak bercakap, hanya membiarkan dia bersuara meluah rasa hati yang membengkak.

“ Ada ke patut budak baru masuk, baru saja confirm jawatan, dah dapat pergi training jauh-jauh, aku ni kena tunggu tiga tahun baru dapat pergi.” Abang Lan mula meluahkan sakit hatinya.

Aku menyuakan bangku buat dia duduk, abang Lan terus bersandar ditepi dinding. Aku terus diam menunggu dia meluahkan segalanya.

“ Kau rasa patut ke Asi? ”, tiba-tiba abang Lan menyoal aku, barangkali dia tidak selesa kerana aku hanya berdiam diri dari tadi.

Aku membetulkan tempat duduk sambil menyalakan api rokok, dengan berbual begini barangakali sempat juga menunggu sehingga air dikereta kering, selepas itu lebih mudah aku nak mengelapnya.

“ Tak tahu la saya bang Lan, tapi kalau ikut kata bang Lan tu, mungkin juga tak berapa adil, tapi rasanya tak ada masalah sangat kot, masing-masing dengan peluang masing-masing kan? ” aku menjawab sambil mengagak kekusutan fikiran abang Lan.

“ Memang la peluang, tapi budak ni baru je confirm jawatan, tak sampai enam bulan dah dapat pergi, macam ni mana adil Si,”. Abang Lan menerangkan punca kekusutannya, aku tahu abang Lan ni memang rajin bekerja, tetapi dalam rajin-rajin itu, sikapnya yang suka membantah mungkin memberi kesan terhadap kerjayanya. Jadi aku sentiasa berhati-hati apabila keluhan sebegini datang dari abang Lan.

Pernah suatu waktu dia balik ke rumah secara tiba-tiba, katanya tak puas hati dengan urusan dikilang. Selepas diselidiki rupa-rupanya dia bertengkar dengan supervisornya tentang hari cuti, itu sahaja.

Menurut rakan-rakan abang Lan, dia memilih untuk mengambil cuti awal sedangkan dia diarahkan untuk bercuti selepas operator pengeluaran selesai dengan syifnya. Tapi abang Lan membantah. Itu saja sebabnya hingga beliau sanggup ponteng kerja.

“ Aku betul tak puas hati la, esok aku nak naik ke pejabat nak buat complain,” rungut abang Lan. Nampak gayanya, masalah ini akan berlarutan.

“ Eloklah kalau bang Lan nak pergi jumpa pihak pengurusan, hal macam ni kena clear betul baru boleh cakap betul atau tak,” pendek saja saranan aku.

“ Budak baru tu bagus ke buat kerja? ” Aku menyoalnya kembali.

Sambil menggaru-garu kepalanya abang Lan menjawab, “ Ok je nampaknya, setakat ni tak ada lagi mesin yang off line berjam-jam, buat kerja pun boleh kata cepat la, tapi itu pun mungkin sebab dia dapat pergi training awal, kalau aku dapat macam dia dapat tu, aku pun boleh.”

“ Aku tak puas hati dengan syarikat, sistem apa yang mereka guna, benda-benda tak adil macam ni patut ke aku report pada pejabat buruh Si ? ” Abang Lan menyoal aku.

“ Abang Lan dah tanya sebab apa budak baru tu dapat pergi latihan awal dan abang pula lewat ?” aku pula bertanya dia kembali.

“ Ah, malas aku nak tanya, nanti kalau aku tanya orang akan kata aku cemburu pula, lantaklah situ” keluh abang Lan.

“ Tak boleh macam tu, kalau tak puas hati elok bercakap dengan majikan, bukan ke tadi nak kata nak pergi jumpa pihak pengurusan. Tanyalah mereka kenapa jadi macam ni, kalau tak nak, terima je la hal ni, jangan mengeluh,” aku memujuk sambil menyindirnya.

“ Biarlah, ni bukan company bapak aku, entah-entah memang company saja nak kenakan aku, malaslah aku”, Abang Lan terus merungut.

“ Mungkin kilang abang Lan praktikan peluang saksama, jadi sekarang mana-mana pekerja baru terus dapat peluang latihan ”, aku cuba menduganya.

“ Peluang saksama apa macam ni, kau nak mampus?” mendengus sekali suara abang Lan.
“ Kalau peluang saksama, macam mana aku boleh dapat peluang latihan lambat? cuba kau bagi tahu aku?” Soal abang Lan.

“ Tapi bukan ke dulu abang Lan pernah beritahu saya, masa company suruh pergi buat latihan, abang Lan tolak sebab abang Lan kata abang Lan dah cukup training di politeknik dulu?” Aku menyoalnya kembali.

Dia seakan-akan terdiam seketika. Mukanya berkerut mengingatkan sesuatu, dia treus membisu dan termenung.

Perlahan dia menghela nafasnya. “ Dulu latihan tu aku rasa macam nak buli aku, kan aku baru keluar politek, tak kan nak kena pergi training lagi.” Dengan nada bersahaja abang Lan menerangkan kembali. Pasti dia sudah ingat peristiwa dahulu. Kini apa yang berlaku kepadanya aku sifatkan sebagai hukum alam. Peluang hanya datang sekali, sungguhpun ia peluang yang saksama. – Roketkini.com