Berita

Kerajaan BN tambah hutang demi kekal kuasa

KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER: Ketidakmampuan kerajaan BN mengurus hutang negara yang menjadikannya bertambah dari RM229 bilion pada tahun 2005 kepada RM501 bilion pada tahun 2012 di bawah pemerintahan Perdana Menteri Najib Razak meletakkan negara dalam keadaan bahaya.

Menurut para penganalisa ekonomi, hutang yang tidak seimbang dengan hasil kutipan kerajaan kurang satu peratus ini dilihat boleh meletakkan negara dalam situasi kritikal.

Malah, belanjawan yang diumumkan 28 September lalu menjelaskan segalanya apabila Najib mengambil jalan pintas dan terdesak dengan memperuntukkan RM251.6 bilion berbanding RM232.8 bilion pada belanjawan tahun lalu dengan menumpukan kepada pemberian ‘one-off’dalam bantuan kepada rakyat.

Tindakan ini menurut Penganalisa Politik DAP Dr. Ong Kian Ming adalah tindakan Najib untuk memenangi hati rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke 13 akan datang.

“Apa yang dilakukan ini merupakan dasar jangka masa pendek dan tidak akan memberi impak besar kepada perkembangan ekonomi negara dalam jangka masa yang panjang.

“Berbanding dengan Belanjawan Pakatan Rakyat 2013, ia menumpukan kepada sebuah kerangka dasar ekonomi jangka panjang yang akhirnya akan menambahkan pendapatan negara dan seterusnya rakyat,” katanya dalam Forum Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 di Petaling Jaya Selasa lalu..

Kumpulan ‘target’ Najib beli undi

Menurut Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dalam perbahasan belanjawannya semalam pula, hutang yang terkumpul dalam tempoh enam tahun kebelakangan ini merupakan hutang tertinggi berbanding hutang yang terkumpul dalam 48 tahun selepas merdeka.

“Ini berlaku kerana kurangnya ketelusan dan penafian terhadap hakikat yang berlaku. Membeli undi seperti telah menjadi matlamat tertinggi tanpa mengambil kira kesan ekonominya kepada negara.

Tambah Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timor, pilihan raya umum antara 1998 dan 2008 didahului dengan belanjawan yang ‘enak rasanya’ bagi mencipta ilusi segalanya dalam keadaan baik.
“Tetapi kekalahan teruk BN pada 2008 telah mengubah cara dana awam digunakan. Belanjawan terkini yang diberikan Najib dilihat menumpukan kepada kumpulan penyokong penting kumpulan pengundi dan segmen-segmen masyarakat terpilih.”

Antara kumpulan sasaran Najib termasuklah golongan berpendapatan rendah, kakitangan awam dan pasukan keselamatan, golongan yang berpencen dan keluarga dengan anak-anak yang bersekolah. – Roketkini.com