Berita

Mahasiswa tolak propaganda kabinet bayangan

KUALA LUMPUR, 5 OKTOBER: Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM) menggesa polemik Kabinet Bayangan yang ditimbulkan individu tertentu dari kalangan parti pemerintah mahupun oposisi dihentikan kerana membelakangkan rakyat dalam sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini.

Semalam, lidah rasmi UMNO-BN, Utusan Malaysia dalam muka depannya mengetengahkan isu “Kabinet bayangan pakatan pembangkang” sebagai tajuk utama muka depan mereka.

Prihatin dengan isu yang timbul, SMM menggesa individu-individu dan blok-blok politik yang terlibat dalam polemik ini untuk mengembalikan kuasa membuat keputusan memilih pemimpin dalam kabinet kepada rakyat.

Menurut wakil SMM, Adam Adli, “Mahasiswa melihat bahawa situasi yang berlaku ini secara tidak disedari telah pun membelakangkan rakyat,”

“Hak dan peranan rakyat wajib dihormati dan tidak dipermainkan. Percaturan politik, perebutan jawatan dan kuasa yang terang-terangan membelakangkan rakyat perlu dihentikan segera dan setiap keputusan perlulah dirunding terlebih dahulu dengan rakyat.” ujar beliau.

Mainan politik; Mahasiswa makin sedar

Mengulas isu tersebut, Ketua Pemuda DAP Kebangsaan Anthony Loke ketika dihubungi berkata, ia merupakan rekaan dan mainan politik pihak lawan semata-mata.

“Sebelum ini pun kita tidak pernah buat apa-apa perbincangan mengenai kabinet bayangan. Ini merupakan perangkap semata-mata,

“Fokus kita sekarang adalah menang dalam pilihanraya. Soal jadi menteri adalah perkara kedua.” katanya.

Loke yang juga Ahli Parlimen Rasah melihat wujud peningkatan kesedaran mahasiswa terhadap situasi politik semasa negara.

“Mereka pemimpin masa depan. Kita sangat berharap golongan mahasiswa ini ambil berat dan mengambil bahagian dalam menjadi sebahagian dari proses pendemokrasian negara ini walaupun tidak semestinya menyertai mana-mana parti politik,

Justeru tambah beliau, “Paling penting adalah kesedaran, ambil berat dan kepedulian mereka terhadap negara dan berdaftar sebagai pengundi. Masa depan negara terletak ditangan golongan muda.” – Roketkini.com