Budaya

Ucapan Debat Kebudayaan 1968 Oleh Lim Kit Siang – Bahagian Akhir

Petikan ucapan Setiausaha Penyelaras DAP (pada waktu itu), Sdr. Lim Kit Siang pada Debat Kebudayaan antara DAP-Gerakan di Auditorium MARA pada 24 November 1968 jam 10 pagi. Ucapan ini dipetik daripada buku tulisan Ooi Kee Beng, yang diterjemah oleh Al-Mustaqeem Mahmod Radhi; ‘Hak Untuk Berbeza Pendapat’ – Lim Kit Siang, Sebuah Lakaran Biografi.

Demokrasi Kebudayaan VS Kediktatoran Kebudayaan

Saya telah sebutkan bahawa dua dasar kebudayaan untuk rakyat Malaysia. dasar yang didukung oleh Dr. Naguib Alatas adalah dasar kediktatoran kebudayaan-ia menolak bentuk-bentuk kebudayaan lain untuk menghasilkan dominasi hanya satu kebudayaan.

Dasar ini bukan hanya dasar Dr.Syed Naguib malah ia juga dasar UMNO serta semua mereka yang ingin membentuk Malaysia yang komunal.

Dasar kebudayaan lain ialah dasar yang didukung oleh DAP, iaitu dasar yang membenarkan budaya-budaya yang pelbagai berinteraksikan dan saling bersentuhan secara bebas, membawa kepada pertumbuhan sebuah kebudayaan Malaysia bersama – dasar yang kami sebut sebagai demokrasi kebudayaan.

Natijah daripada persaingan di antara kedua-dua dasar kebudayaan ini akan menentukan sama ada Malaysia akan berhasil sebagai sebuah negara-bangsa. Ini kerana dasar kebudayaan dalam sesebuah negara berbilang kaum adalah cerminan bagi dasar pembangunan negara. Dasar kebudayaan tidak dapat dirumuskan atau dibincangkan dalam sebuah ruang romping.

Kalangan yang mendukung dasar kediktatoran satu kebudayaan tidak menerima bahawa Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Mereka menolak tiga asas kenegaraan Malaysia yang berikut:

·         Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum dan ia bukan milik yang telah menjadikan negeri ini tanahair mereka. Lantaran itu, tidak ada kaum patut menganggap dirinya sebagai satu-satunya yang melambangkan Malaysia, suatu norma yang wajib dipatuhi oleh semua kaum lain. Malah semua kaum, sama ada Melayu, Cina, India,Ceylon, atau Serani, harus secara sedar melakukan pelarasan mental untuk merasa, bertindak dan berfikir sebagai bangsa Malaysia.

·         Kebudayaan Malaysia bukan kebudayaan Melayu, kebudayaan Cina atau kebudayaan India, sebaliknya ia adalah adunan unsur-unsur terbaik hasil daripada persentuhan dan interaksi bebas kebudayaan-kebudayaan di Malaysia.

·         Semua bahasa yang dituturkan oleh warga Malaysia yang berlainan asal-usul keturunan adalah bahasa Malaysia. Menyifatkan atau menanggapi bahasa Cina atau Tamil sebagai bahasa asing samalah seperti menggangap atau melayan Cina dan India Malaysia sebagai orang asing.

Sejak merdeka pihak-pihak yang ingin membentuk Malaysia yang komunal, iaitu pihak yang mendukung kediktatoran kebudayaan, lebih berkuasa daripada pihak yang menginginkan

Malaysia untuk bangsa Malaysia, iaitu pihak yang mendukung demokrasi kebudayaan, kerana pendukung-pendukung terkuat kediktatoran kebudayaan berada dalam Parti Perikatan, manakala orang-orang seperti Syed Naguib membekalkan justifikasi intelektual yang palsu buat doktrin itu.

Mari kita bertanya kepada diri sendiri apakah sejak 11 tahun terakhir sejak merdeka dasar kediktatoran kebudayaan telah berhasil mengimpal kaum-kaum yang pelbagai menjadi satu bangsa serta menyemai jatidiri kebangsaan serta kesedaran bersama untuk menggantikan daya tarik perkauman.

Jawapan yang objektif semestinya dalam kata ‘Tidak’ yang tegas. Sekiranya kita sedang berhasil, tahun demi tahun, membentuk lebih banyak orang Malaysia menjadi lebih mementingkan Malaysia dan berfikir sebagai bangsa Malaysia, adakah perlu, 10 tahun setelah Merdeka, kita meluluskan undang-undang untuk memaksa orang menghormati lagu kebangsaan, atau memasang papan-papan iklan gergasi di lebuhraya-lebuhraya di seluruh negeri yang menggesa rakyat menghormati bendera dan lagu kebangsaan- langkah merendahkan simbol-simbol kebangsaan kita ke status barang dagangan seperti kacang tanah, bir, rokok, coca-cola dan sebagainya?

Atau adakah perlu untuk Tun Tan Siew sin sewaktu-waktu menggesa MCA melancarkan kempen ‘kesetiaan’?

Atau adakah mungkin berlaku rusuhan kaum di Pulau Pinang dan negeri Utara Semenanjung tahun lalu pada skala dan keparahan  yang sama dengan kekacauan yang berlaku akibat kemerosotan nilai mata wang Malaya dulu?

Perdan Menteri Tunku Abdul Rahman menyebut sewatu pembukaan Bangunan UMNO yang berharga $70,000 di Banting Sabtu lalu bahawa terdapat rancangan komunis untuk merekrut murid-murid sekolah Cina bagi memberontak menentang kerajaan. Kata beliau, murid-murid berkenaan diajar tentang ‘keagungan China dan Mao Zedong yang mencapai taraf kultus serta pencapaian-pencapaiannya.”

Kata Tunku lagi: “Ini sesuatu yang malang kerana kita menghadapi kesulitan untuk mematahkan propaganda mereka. China sememangnya sebuah negara yang hebat dan memiliki bom atom. Bagaimana mungkin kita membandingkan diri kita dengan China? Kita hanya mampu meletupkan mercun.”

Mengapa setelah 11 tahun Merdeka lebih ramai orang semakin kurang merasa diri sebagai bangsa Malaysia?

Pada asasnya masalah ialah mereka tidak merasa menjadi sebahagian daripada Malaysia. Orang Malaysia terbahagi kepada ‘bumiputera’ dan ‘bukan bumiputera’, semata-mata berasaskan kaum. Syed Jaafar Albar yang lahir di Sulawesi dan Syed Hussein Alatas yang lahir di Bogor adalah bumiputera. Manakala Chen Man Hin yang lahir di Seremban dan D. R. Seenavisagam yang lahir di Ipoh adalah bukan bumiputera.

Di sekolah-sekolah, satu genarasi baru warga Malaysia membesar sambil berasa kecewa dan menyampah dengan pembedaan ini yang tidak mereka fahami sepenuhnya tetapi mengetahui bahawa ia mengandungi makna ketidaksetaraan dan ketidakadilan. Dasar ‘bumiputera’ yang membeza-bezakan para warga ini juga diterapkan dalam bidang kebudayaan di mana kita memiliki bahasa dan kebudayaan ‘bumiputera’ dan bahasa dan kebudayaan ‘bukan bumiputera’.

Apabila sekarang dituntut agar bahasa-bahasa ‘bukan bumiputera’ seperti bahasa Cina, India dan Inggeris dihapuskan-akibat dasar kebudayaan Syed Naguib-Syed Naguib, Musa Hitam-Musa Hitam, Rahman Ya’akob-Rahman Ya’akob- Malaysia  mampu meletupkan sebanyak mana sekali pun mercun atau bahkan sebiji bom atom, tetapi ramuan yang dapat melekapkan kaum-kaum yang pelbagai menjadi satu bangsa Malaysia tetap tidak wujud.

Biar saya tegaskan di sini bahawa DAP bukan anti-Melayu. Kami anti-cauvanisme Melayu, sama seperti kami anti-cauvanisme Cina atau anti-cauvanisme India. Kami akan menentang habis-habisan sebarang seruan yang ingin menjadikan kebudayaan Cina atau India sebagai asas kebudayaan Malaysia, atau tuntutan agar persuratan Malaysia hanya ditulis dalam  bahasa India atau Cina.-roketkini.com