Rencana

Mahasiswa dan Politik – Bah. I Oleh : Lim Kit Siang

Ucapan oleh Setiausaha Pemyelaras DAP, Lim Kit Siang di forum “Mahasiswa dan Politik” di Program Latihan Kepimpinan Mahasiswa Tahun Kedua, anjuran University Malaya Students Union di Universiti Malaya, 2 April 1968, jam 8 malam.

Tajuk pada malam ini, “Mahasiswa dan Politik” telah menjadi seperti tajuk wajib bagi forum-forum tahunan di kampus dan telah dibincangkan oleh pemimpin-pemimpin pelajar, ahli-ahli politik dan ahli-ahli akademik sekurang-kurangnya sejak tiga tahun yang lalu.

Ini petanda yang sihat, justeru ia menunjukkan bahawa pelajar-pelajar telah dan sedang menyedari bahawa ada hubungan di antara pelajar dan politik. Namun, ia juga menunjukkan bahawa para pelajar masih belum pasti apakah bentuk hubungan yang sepatutnya, (selain menunjukkan) bahawa belum terbit kesepakatan umum di kalangan masyarakat pelajar tentang sifat perhubungan ini.

Jika forum ini dapat menyumbang kepada kemunculan kesepakatan berkenaan, maka saya akan merasa bahawa perbincangan malam ini akan lebih berguna daripada kebiasaannya. Ini kerana setelah itu pelajar-pelajar boleh berjuang untuk memberi isi dan bentuk kepada peranan mereka dalam politik, bukannya terperangkap dalam debat berpanjangan tentang sama ada mereka patut (memegang peranan), dan jika ia, peranan apa dalam politik.

Perbahasan adalah wajar dan baik. Malah, ia penting. Tetapi ia jangan pernah sampai memutuskan saraf tindakan.

Di malam ini, yang kita mampu lakukan hanyalah menyampaikan gagasan-gagasan dan saranan kita. Akhirnya yang perlu mengambil keputusan dalam soal ini dan menerapkannya ialah para mahasiswa di kampus. Dengan itu, jika dalam penggal akademik akan datang debat seluruh kampus tentang tajuk ini dapat diadakan untuk menghasilkan kesepakatan pelajar, maka saya harus menjadi antara orang yang mengalu-alukannya.

Apakah mahasiswa perlu memainkan peranannya dalam politik?

Sebelum kita mempertimbangkan peranan apa yang harus dimainkan oleh mahasiswa dalam politik, kita wajib terlebih dahulu memutuskan sama ada pelajar harus memainkan peranan dalam politik.

“Politik” boleh memberi dua maksud. Pertama, politik kepartian, melibatkan penyertaan dan kegiatan dalam kerangka dan organisasi salah sebuah parti politik yang ada dalam negara. Kedua, politik kenegaraan non-partisan.

Politik Kenegaraan

Saya akan memperkatakan kategori kedua terlebih dahulu. Saya akan mengatakan “Ya” yang tegas kepada pertanyaan sama ada pelajar patut memainkan peranan dalam politik kenegaraan. Politik dalam kehidupan moden telah menjadi serba merangkumi, mempengaruhi setiap sisi kegiatan manusia. Sama ada menerusi penglibatan atau penyingkiran, politik telah menjadi daya utama yang membentuk hal-ehwal kenegaraan.

Politik memutuskan sama ada sesebuah Negara itu akan menghasilkan kemajuan, kebekuan, atau kemunduran ekonomi. Politik memutuskan sama ada korupsi, nepotisme, kemalasan dan keruntuhan (moral dan budaya) telah tersebar dalam kehidupan umum.

Politik memutuskan sama ada manusia terus-terusan dieksploitasi oleh manusia; bahawa sebahagian besar manusia terus terpaksa menjalani kehidupan sengsara sedangkan sekumpulan kecil bergelumang dalam keistimewaan, kejenuhan dan kemakmuran.

Politik memutuskan sama ada setiap anak memiliki peluang untuk mendidik dan memajukan dirinya, atau ia terkutuk untuk menjalani kehidupanya tanpa peluang, dalam kejahilan, kemiskinan dan kejerihan. Politik memutuskan sama ada sesebuah Negara itu membina sistem pertahanan yang berkesan, atau menjadi sasaran mudah bagi calon-calon pencabul menerusi perpecahan dan ketidakserasian dalaman. Dan politik jugalah yang memutuskan sama ada kita membina sebuah Negara bagi bangsa Malaysia atau meleraikan suatu eksperimen pelbagai kaum.

Maka bagaimana mungkin sesiapa saja yang serius boleh mengatakan bahawa warga tidak patut peduli tentang isu-isu yang penting bagi negeri ini? Padahal mahasiswa-mahasiswa university juga adalah warga, dengan banyak di kalangan mereka telah mencecah usia layak mengundi. Mereka seperti juga warga lain berkewajiban memberi sumbangan ke arah kemajuan negara.

Kuasa mahasiswa telah membantu menjatuhkan rejim Sukarno yang bobrok, rendah darjat, dan membencanakan di Indonesia.

Kuasa mahasiswa telah menonjolkan kemiskinan, penderitaan  dan kesengsaraan rakyat terbanyak menerusi demostrasi-demostrasi menentang kebuluran dan kos bahan makanan asasi yang naik memuncak di India. Kuasa mahasiswa telah menyikirkan rejim korup Synman Rhee di Korea Selatan.

Kuasa mahasiswa telah mengorbankan kesedaran warga Amerika Syarikat tentang hak sivil dan perang Vietnam yang tidak popular. Jika mahasiswa hanya patut membataskan diri mereka kepada pengajian, maka telah silaplah mahasiswa-mahasiswa di Indonesia, India, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat.

Telah silapkah mereka? Tidak. Sebaliknya, negara mereka amat perlu berterima kasih kepada mereka, kerana mereka telah menerajui gerakan-gerakan berdaya-cipta dan membina ke arah pembaikan masyarakat dan kesejahteraan negara.

Mahasisiwa-mahasiswa, di setiap negara, mempunyai peranan untuk dimainkan dalam politik kenegaraan. Bentuk peranan ini bergantung kepada keadaan dan masalah yang dihadapi di setiap negara. Sudah tentu ada kalangan yang tidak akan mengakui bahawa pelajar patut melakukan sesuatu selain menelaah…

Sikap Perikatan paling jelas dimisalkan menerusi Menteri Besar Perlis,Tan Sri Sheikh Ahmad, yang berkata pada November 1966;

“Lagipun, Universiti Malaya ialah sebuah institusi kerajaan. Mahasiswa-mahasiswa tidak harus menyalahgunakan keistimewaan yang mereka nikmati menerusi pengajian di dalamnya. Kewajipan mereka ialah menghadiri kuliah, menjalani latihan untuk bidang kerjaya yang pilih dan, pada masa yang sama, belajar untuk menjadi warga yang baik.”

Dalam ertikata lain, para Sheikh Ahmad dalam UMNO dan parti pemerintahan mahu semua mahasiswa unuversiti meneggelamkan diri dalam buku-buku, nota-nota kuliah, sesi-sesi tutorial, dan mengurung diri mereka dariapda dunia luar sehingga setelah mendapat ijazah. Jika ada mahasiswa berani mengalih perhatian daripada pengajian dan meniup walau sepatah kata untuk membantah cara kerajaan kendalikan, atau hala tuju yang ambil negara, maka mahasiswa itu bersalah, seperti yang digambarkan oleh Tan Sri Sheikh Ahmad, menyalahguna keistimewaan yang dinikmatinya di Universiti.

Jika pemimpin-pemimpin UMNO berjaya (mengawal para mahasiswa), maka Universiti Malaya akan menghasilkan jurutera, saintis, doktor, ahli akonomi, dan guru-guru yang tidak berpemikiran dan tidak berperasaan, kerbau-kerbau dicucuk hidung, manusia-manusia robot.

Itulah natijah yang pasti terhasil daripada suatu dasar yang menuntut mahasiwa-mahasiswa universiti mengekang idealisme mereka tentang keadilan dan menekan gerak rasa mereka untuk bertindak, sedangkan di usia itulah mereka paling mudah untuk dilentur.

Kita akan menghasilkan gradua-graduan universiti yang “ada mata tetapi tidak dapat melihat, ada telinga tetapi tidak dapat mendengar, ada hati tetapi tidak merasa.” Semua mereka akan tertanggal kesedaran dan idealisme sosial mereka. Manusia-manusia sebegini lebih mungkin akan menyertai dan mempertahankan Establishment.

Inilah yang dikehendaki oleh Establishment Perikatan. Banyak masalah yang dihadapi Malaysia sekarang boleh dijejaki puncanya kepada kegagalan inteligensia untuk mengambil pendirian tentang isu-isu kenegaraan. Mahasiswa akan menjadi lebih mudah dipengaruhi dan dikawal di usia dewasa.

Tiada sesiapa yang akan membantah hujah yang menyebut bahawa di dalam sebuah negara belum membangun, pendidikan universiti adalah satu keistimewaan yang diiringi dengan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu.

Tanggungjawab jangka pendek bagi mahasiswa universiti ialah mendapatkan kelayakan dalam bidang yang mereka pilih, agar negara mendapat lebih banyak jurutera, doktor, ahli ekonomi, saintis, dan ahli teknologi untuk memodenkan rakyat.

Saya tidak dapat menerima hujah bahawa mahasiswa hanya perlu mengambil tahu tentang masalah negara  sahaja setelah mereka mendapat ijazah. Apa gunanya, misalnya, seseorang jurutera, doktor, ahli ekonomi, atau saintis, buat negara jika negara telah roboh?

Maka cabaran buat mahasiswa universiti ialah: Mereka wajib mendapatkan kelayakan dalam bidang apa saja yang telah mereka ambil, tetapi pada masa yang sama memainkan peranan berguna dalam hal ehwal kenegaraan.-roketkini.com

Akan bersambung bahagian akhir.