Rencana

Ziarah kembali ucapan “Mahasiswa dan Politik” Kit Siang Oleh: Edry Faizal

Tahun 1971 boleh dianggap tahun petaka buat mahasiswa apabila sang pemerintah membenamkan lebih dalam kuku-kuku besinya ke jasad aktivisme mahasiswa. Semua itu dilakukan dengan memperkenalkan Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Lalu bermulalah titik perubahan daripada dekad sebelumnya yang seringkali dikisahkan sebagai zaman kegemilangan mahasiswa. Kejatuhan itu disempurnakan dengan dua dekad pembiusan pemikiran oleh seorang ‘agong tanpa tengkolok’.

Tiga tahun sebelum AUKU membelenggu universiti-universiti, Lim Kit Siang yang merupakan Setiausaha Penyelaras DAP ketika itu memberikan ucapan panjang lebar mengupas tajuk Mahasiswa dan Politik di dalam sebuah forum anjuran University Malaya Student’s Union. Sungguhpun 44 tahun telah berlalu, terdapat beberapa isi menarik yang dilihat molek untuk ditinjau kembali.

Perlu diketahui bahawa di penghujung tahun 60-an, perbincangan tentang politik dan idea-idea berkaitannya sedang rancak dan lazim di kalangan para cerdik pandai yang berkampung di menara-menara gading. Kit Siang turut menyebut di dalam ucapannya bahawa tajuk Mahasiswa dan Politik seakan telah menjadi topik wajib forum-forum tahunan di kampus-kampus. Selepas berdekad-dekad lamanya, adakah persoalan tentang peranan mahasiswa dalam dalam politik sudah selesai dijawab?

Tanggungjawab Politik

Kit Siang berhujah bahawa sebelum ditentukan apakah bentuk peranan mahasiswa dalam politik, harus terlebih dahulu menjawab adakah mahasiswa perlu memainkan peranan dalam politik. Melihat keadaan hari ini, hakikatnya ramai masih bergelut dengan persoalan tersebut. Pembiusan pemikiran yang memakan masa lebih dua dekad pula menambah parah.

Dahulu, hujah seperti “kewajipan pelajar ialah belajar dan menghadiri kuliah, bukan terlibat dengan politik” biasanya keluar dari mulut pemerintah. Hari ini terdengar di kalangan rakyat dan mahasiswa sendiri mengulang-ulang alasan yang sama.

Barangkali berpunca daripada faham tentang politik yang herot. Atau kejayaan indoktrinasi sehingga rakyat melihat diri seperti produk sebuah kilang. Sebagaimana produk sebuah kilang tidak boleh melangkaui proses-proses tertentu sebelum menjadi produk akhir.

Mahasiswa dilihat hanya boleh berperanan dalam politik selepas mereka siap menjadi ‘produk akhir’ menara gading.

Politik pada awalnya bermakna hal-hal berkaitan polis atau kota, dan seringkali juga disebut negara kota. Bermula daripada penggabungan tabi’i lelaki dan perempuan yang membentuk keluarga, penggabungan beberapa keluarga membentuk perkampungan dan seterusnya perkampungan-perkampungan itu membentuk polis demi mencapai kebaikan dan untuk kelansungan hidup. Kebersamaan manusia memerlukan pengaturan dan politik adalah fungsi pengaturan itu.

Melihat konteks semasa, Kit Siang pula membahagikan politik kepada politik kenegaraan non-partisan dan politik kepartian. Politik kenegaraan menurut Kit Siang adalah politik yang melibatkan hal ehwal kenegaraan. Jelas beliau:

“Politik memutuskan sama ada sesebuah negara itu akan menghasilkan kemajuan, kebekuan atau kemunduran ekonomi. Politik memutuskan sama ada korupsi, nepotisme, kemalasan dan keruntuhan [moral dan budaya] telah tersebar dalam kehidupan umum. Politik memutuskan sama ada manusia terus-terusan dieksploitasi oleh manusia; bahawa sebahagian besar manusia terus terpaksa menjalani kehidupan sengsara sedangkan sekumpulan kecil bergelumang dalam keistimewaan, kejenuhan dan kemakmuran.”

Dengan pengertian ini, adalah tidak waras jika warga-warga negara ini ditegah daripada mengambil peduli atau melibatkan diri dengan hal-hal berkaitan dengannya. Lebih-lebih lagi mahasiswa yang bukan sahaja warga, tetapi telah cukup baligh dan terdedah dengan budaya cerdik pandai. Sudut pandang dan perjuangan mereka lebih-lebih diperlukan, bukan diremukkan.

Menjawab isu apa yang sering digambarkan sebagai ‘pertembungan’ tanggungjawab antara menuntut ilmu dan penglibatan politik, Kit Siang memberikan peringatan yang bermakna:

“Tanggungjawab jangka pendek bagi mahasiswa universiti ialah mendapatkan kelayakkan dalam bidang yang mereka pilih, agar negara mendapat lebih banyak jurutera, doktor, ahli ekonomi, saintis dan ahli teknologi untuk memodenkan masyarakat. Tetapi tanggungjawab mahasiswa universiti yang lebih utama ialah untuk berkhidmat kepada negara, terutamanya kerana mereka telah diberi keistimewaan untuk menikmati peluang yang lebih besar.

…Apa gunanya, misalnya, seorang jurutera, doktor, ahli ekonomi atau saintis buat negara jika negara telah roboh?”

Daripada peringatan itu dapat dilihat Kit Siang membentangkan sasaran jangka pendek dan jangka panjang seorang mahasiswa. Manusia bukanlah mesin automatik yang cuma mampu melakukan satu tugas dalam satu masa mengikut apa yang diprogramkan. Ini kerana mesin tidak mempunyai sebarang matlamat jangka panjang dan dinamik sedangkan manusia tidak begitu. Matlamat pendidikan itu sendiri juga bukan begitu.

Di dalam sebuah ucapan pada tahun 1973 ketika membidas AUKU, Kit Siang menyebut:

“…matlamat sebenar pendidikan dan pembelajaran yang hakikatnya lebih daripada sekadar mempersiapkan mahasiswa untuk kerjaya. Matlamat sebenar pendidikan dan pembelajaran haruslah untuk mewujudkan individu yang bebas, perwatakan yang baik dan warga yang bertanggungjawab.”

Pengaburan Makna dan Penyempitan Erti

Erti politik yang disempitkan dan kekaburan makna pendidikan yang pada asalnya jala tebaran pemerintah untuk memerangkap, telah bertukar menjadi bubu yang mangsa sendiri bergerak masuk ke dalamnya. Mahasiswa yang celik politik mempunyai tanggungjawab lebih besar hari ini. Selain memantapkan peranan, pada masa yang sama bertanggungjawab membantu membebaskan teman-teman yang terjerat. Dan semakin bertambah bilangannya.

Erti politik harus dipulihkan dan makna pendidikan mesti dijernihkan. Bantu teman-teman memahami bahawa mahasiswa celik politik bukanlah penari digerakkan gendang sentimen. Tetapi pembina gagasan-gagasan segar.

Mahasiswa yang selama ini pasif pula sepatutnya mula sedar. Menara gading bukan sahaja tempat mengejar pesta, cinta dan ilmu. Tetapi juga medan menyahut seru tanggungjawab kepada negara sebagai sebahagian dari warga.-roketkini.com