Berita

Belanjawan PR tingkat pendapatan boleh guna rakyat dan pendapatan kerajaan-Tony Pua

KUALA LUMPUR, 11 OKTOBER: Perkara terpenting dalam memperbaiki taraf hidup rakyat adalah dengan mempertingkatkan pendapatan boleh guna dengan mengurangkan kos perbelanjaan bagi beberapa perkara asas sekaligus menempelak dakwaan BN bahawa Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang dibentangkan tidak realistik.

Pendapatan boleh guna yang sangat kurang dikalangan rakyat jelas Setiausaha Publisiti DAP Tony Pua akan mewujudkan tekanan kewangan yang besar kepada mereka.

Beliau berkata demikian ketika menjadi salah seorang panel dalam Wacana Bajet 2013 Anjuran Sinar Harian di Auditorium Kompleks Karangkraff semalam.

“Ramai antara mereka hanya mempunyai purata pendapatan RM1500 hingga RM2500 sebulan. Selepas tolak EPF, SOCSO, perbelanjaan paling besar selepas itu bagi dikalangan sebahagaian ramai mereka adalah bayaran ansuran kereta.

“Contohnya untuk sebuah MyV sahaja mereka perlu bayar RM600 hingga RM700 sebulan kepada bank. Jadi pendapatan boleh guna mereka amat kurang.

Menjelaskan lebih lanjut, beliau yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata harga kereta yang terlalu tinggi ini disebabkan kadar cukai yang dikenakan kerajaan.

“Kita lihat contohnya kereta Wolkswagen Polo, harganya RM108,000. Memang tinggi. Tetapi harga dari CIF yang ada dalam akta kerajaan hanya RM35,000 sahaja.

“Jika kita kurangkan cukai eksais maka jumlah pendapatan boleh guna akan bertambah.” tambah beliau.

Hapuskan monopoli, harga akan rendah

Selain penurunan harga kereta ujar Tony, pendapatan boleh guna rakyat boleh ditingkatkan dengan mmperbanyakkan lagi rumah mampu milik dengan kos yang lebih rendah dan beliau turut menyarankan agar syarikat-syarikat GLC mahupun agensi-agensi kerajaan  tidak bersaing dengan syarikat-syarikat swasta kerana itu bukan peranan sebenar mereka.

Menarik perhatian hadirin,Tony mengaitkan bagaimana kos pembinaan rumah mampu dikurangkan dengan beberapa mekanisma tertentu antaranya adalah dengan menghapuskan monopoli syarikat-syarikat tertentu dalam pembekalan bahan binaan seperti simen dan besi tetulang.

“Simen dan besi tetulang ini kebanyakannya dimonopoli oleh syarikat-syarikat tertentu sahaja. Jadi kita kena buka pasaran ini lebih meluas agar syarikat-syarikat ini dapat bersaing bahan-bahan tersebut boleh didapati dengan harga yang lebih murah.

Tambahnya, “Ia termasuk menghapuskan monopoli bagi pasaran beras, pasaran gula, minyak dan lain-lain agar rakyat dapat merendahkan kos sara hidup seterusnya mengurangkan beban perbelanjaan rakyat seluruh negara.”

Justeru, jelasnya ia akan dapat mempertingkatkan daya persaingan antara syarikat-syarikat dalam Malaysia dan memberikan ruang yang lebih kepada peniaga.

“Ini dapat mempertingkatkan pendapatan kerajaan.”

Selain beliau, wacana ini turut menggandingkan Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Abdul Rahman Dahlan, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) dan Dr.Maszlee Malik, Pensyarah dariUIA sebagai moderator. -roketkini.com