Berita

Mati dalam tahanan polis, KPN digesa segera siasat

KUALA LUMPUR, 12 OKTOBER: Sebuah memorandum telah dihantar kepada Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar  untuk menuntut agar siasatan segera terhadap satu lagi kematian dalam tahanan melibatkan Chandran a/l Perumal dalam lokap Balai Polis Dang Wangi.

Dalam satu sidang media di Parlimen, Ahli Parlimen Kapar S. Manikawasagam menggesa pihak Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar untuk menubuhkan pasukan khas mempercepatkan siasatan kes tersebut.

Mangsa, Chandran a/l Perumal disahkan meninggal dunia 10 September 2012 yang lalu akibat tekanan darah yang tinggi semasa dalam tahanan. Namun menurut laporan polis oleh abang mangsa, terdapat kesan luka dan lebam pada tubuh mendiang.

“Kita menuntut kematian ini disiasat dengan kadar segera demi keadilan keluarga mendiang.”
ujar Ahli Parlimen DAP Klang Charles Santiago sambil menyebut bahawa kes kematian dalam lokap semakin meningkat dan seolah bermusim.

“Kita lihat lokap bukan sahaja sebagai tempat tahanan dan siasatan tetapi tempat pembunuhan.” kata beliau.

Selain itu, terdapat aduan yang bahawa pihak polis sering mengkasari tahanan khususnya melibatkan belia berketurunan India.

“Bukan sahaja belia-belia India, kita juga tidak mahu ia berlaku kepada semua orang.”

“Saya ingin menyeru kerajaan agar membentuk Suruhanjaya Siasatan Diraja untuk menyiasat mengapa ramai belia-belia berketurunan India menjadi sasaran dan mengapa ada kalangan mereka yang terbunuh dalam tahanan polis.”

Dalam pendedahan laporan Suruhanjaya Diraja Penambahbaikan Operasi dan Pengurusan Polis pada Mei 2005, sebanyak enam dari 80 kematian dalam tahanan polis untuk tempoh empat tahun proses keseluruhan inkues dikatakan perlahan, rumit, tidak cekap dan mengambil masasehingga beberapa tahun untuk diselesaikan.

Statistik antara tahun 2000 hingga Februari 2010 menunjukkan seramai 144 kes kematian dalam lokap dilaporkan melibatkan 64 orang Melayu, 30 orang Cina, 28 orang India, 8 bagi kaum-kaum lain dan 14 kes kematian bagi warga asing. – Roketkini.com