Berita

AES bebankan rakyat, untungkan syarikat konsesi – Guan Eng

KUALA LUMPUR, 15 OKTOBER: Pelaksanaan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) oleh Kementerian Pengangkutan dilihat akan membebankan rakyat dengan saman yang dikeluarkan malah telah merekodkan 63,558 kesalahan trafik sejak dikuatkuasakan pada 23 September lepas.

Berucap dalam Konvensyen DAP Wilayah Persekutuan, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata isu ini telahpun dibangkitkan dalam sesi perbahasan di Dewan Rakyat minggu lalu.

“Penyokong kerajaan dan pembangkang juga sama-sama menyuarakan bantahan terhadap pelaksanaan AES.

Menurutnya pemasangan sebanyak 831 buah kamera di seluruh negara oleh syarikat konsesi berkenaan, ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd akan memberi keuntungan dan mereka akan mendapat semula pulangan modal melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar sehingga RM700 juta.

Tambah beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, daripada skim pembayaran yang diberi kepada pemegang konsesi tersebut, ia menunjukkan tiga peringkat kaedah pembayaran.

“Jika sebanyak RM5 bilion dikutip setiap tahun oleh kedua-dua pemegang konsesi, mereka akan beroleh keuntungan RM80 juta untuk peringkat pertama, RM270 juta pada peringkat kedua dan RM350 juta pada peringkat ketiga”.

“Jumlahnya RM700 juta. Ia adalah jumlah yang lumayan sebanyak untuk kerja setahun,” kata beliau.

Justeru Guan Eng menjelaskan, rakyat yang berpendapatan rendah perlu membayar lebih dari apa yang diterima melalui skim Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) jika dikenakan saman melalui sistem AES ini.

“Apa yang bagusnya kalau kerajaan beri RM500 kepada anda? Dengan dua saman, sama seperti mereka ambil semuanya balik dengan untung yang lebih mereka dapat,” ujarnya.

Keraguan kos pemasangan

Persoalan lain yang ditimbulkan Guan Eng yang ialah mengenai kos pemasangan yang besar untuk pemasangan 831 kamera oleh kedua-dua pemegang konsesi yang didakwa bernilai RM600 hingga RM800 juta.

“Ia bersamaan dengan RM722 000 hingga RM962 000 bagi setiap kamera. Adakah ia dilakukan melalui tender terbuka?” soalnya. – Roketkini.com