Rencana

Sebuah lagi projek sakit di Sarawak

Projek Membina Jalan Tebedu/Darul Iman/Darul Insan Jaya/Temong/Darul
Fa’lah/Darul Huda, Tepoi di Tebedu, Samarahan

Mengikut Laporan Penilaian Tender terhadap Projek Membina Jalan Tebedu/Darul Iman/Darul Insan Jaya/Temong/Darul Fa’lah/Darul Huda, Tepoi di Tebedu, Samarahan, penender NDC Dredging & Construction Sdn. Bhd. telah lulus ketiga-tiga peringkat penilaian tender dan dicadangkan untuk diperakui oleh Jawatankuasa Penilaian Tender sebagai kontraktor untuk projek tersebut.

Semakan Audit terhadap prestasi kontraktor berdasarkan laporan JKR mendapati kemajuan kerja sebenar kontraktor untuk projek Jalan Biawak pada 30 November 2009 hanyalah 1.82% berbanding dengan 2.85% yang dijadualkan iaitu 1.03% lewat. Bagaimanapun, Lembaga Perolehan Persekutuan Sarawak masih bersetuju menawarkan tender tersebut kepada NDC Dredging & Construction Sdn. Bhd pada harga kontrak RM10.35 juta.

Sehingga lawatan Audit pada 21 Disember 2011 projek ini belum siap dan dikategorikan sebagai projek sakit. Mesyuarat Pemantauan Rapi telah diadakan oleh JKR dan konsultan setiap 2 minggu bermula 10 Mac 2011 dan 8 surat amaran telah dikeluarkan kepada kontraktor supaya mempercepatkan kemajuan kerja di tapak. Sijil Tidak Siap telah dikeluarkan pada bulan Mei 2011 dan ganti rugi yang tertentu dan ditetapkan sejumlah RM491,751 telah dikenakan terhadap kontraktor berkenaan.

Notis Penamatan Kontrak telah dikeluarkan pada 22 Februari 2012 dengan kemajuan fizikal 44.5% dan sejumlah RM6.43 juta telah dibayar kepada kontraktor berkenaan. Keadaan Jalan Tebedu/Darul Iman/Darul Insan Jaya/Temong/Darul Fa’lah/Darul Huda, Tepoi, Tebedu, Samarahan yang tidak siap adalah seperti Gambar 4.7 dan Gambar 4.8.

Menurut maklum balas daripada Perbendaharaan Malaysia Sarawak bertarikh 28 Februari 2012, LPPS yang bersidang pada 10 Ogos 2009 telah bersetuju untuk menawarkan tender projek menaiktaraf Jalan Biawak, Lundu, Kuching kepada NDC Dredging & Construction Sdn. Bhd. kerana penender tersebut telah lulus penilaian peringkat satu.

Pada keseluruhannya, penender ini adalah ketiga tertinggi. Oleh kerana tawaran penender ini kurang dari RM30 juta, maka keputusan adalah di peringkat LPPS bagi memudahkan pelaksanaan projek. Bagi projek membina Jalan Tebedu/Darul Iman/Darul Insan Jaya/ Temong/ Darul Fa’lah/Darul Huda, Tepoi di Tebedu, Samarahan pula, Perbendaharaan Malaysia Sarawak memaklumkan LPPS yang bersidang pada 28 Januari 2010 telah bersetuju menawarkan tender tersebut kepada NDC Dredging & Construction Sdn. Bhd. pada harga tawaran RM10.35 juta kerana penender ini telah lulus kesemua peringkat penilaian dan memenuhi syarat kelayakan penender yang disyorkan oleh JKR. – Roketkini.com