Berita

Rasuah: Kerajaan Malaysia pura-pura serius

KUALA LUMPUR, 18OKTOBER: Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang melihat usaha kerajaan memerangi rasuah sebagai usaha tidak serius apabila gejala rasuah di Malaysia bertambah buruk seperti yang dikesan oleh Indeks Persepsi Rasuah Transparency International dalam tempoh tiga tahun ini.

Kit Siang ketika berucap di Parlimen sewaktu perbahasan Belanjawan 2013, telah meminta Perdana Menteri agar mengemaskini kepada parlimen dan negara apakah tindakan yang telah diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) berhubung laporan terhadap ‘trio’ Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Musa Aman dan juga Peguam Negara Tan Sri Abdul Ghani Patail.

Soalan tersebut akhirnya semalam mendapat jawapan bertulis daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz, menyatakan bahawa dakwaan rasuah terhadap Peguam Negara seperti yang ditulis Zainal Abidin Ahmad dalam bukunya bertajuk ‘Tan Sri Abdul Ghani Patail Pemasu, Penipu, Penjenayah’ masih dalam siasatan pihak polis.

Dalam kenyataan mediannya, Ahli Parlimen Ipoh Timur ini juga menyebut bahawa beliau bersetuju dengan Tan Sri Robert Phang, bekas anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang menyatakan bahawa persidangan antarabangsa perangi rasuah yang diadakan di Kuala Lumpur baru-baru ini disifatkan sekadar membuang masa.

“Ia hanya acara untuk kerajaan Malaysia berpura-pura serius membanteras rasuah,” ujar beliau.

Jawapan bertulis Nazri Aziz menyebut bahawa beban pencapaian skor Corruption Perception Index (CPI) tidak boleh diletakkan di bahu kerajaan semata-mata. – Roketkini.com