Berita

Dakwaan ‘bacul’, Tony Pua hanya ketawa

KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER: Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Datuk Ismail Sabri diperlekehkan lawan politiknya hari ini apabila memilih untuk mengejek Setiausaha Publisiti DAP, Tony Pua sebagai seorang ‘bacul’ dikeranakan usul supaya gaji menteri tersebut dipotong sebanyak RM10 kerana salah guna kuasa.

Ismail Sabri dilaporkan Bernama sebagai berkata “Kalau dia berani dia akan datang berhadapan dengan saya tapi saya anggap dia seorang yang bacul dan tak faham apa yang dia cakap,” selepas menutup Simposium Gerakan Pengguna Malaysia 2012 di Institut Latihan Keselamatan Sosial KWSP (ESSET) di Kajang semalam.

Tony Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dalam kenyataannya kepada media awal pagi tadi menyifatkan ejekan Ismail Sabri itu sebagai sesuatu yang lucu dan menghiburkan.

Ismail Sabri telah menafikan bahawa beliau mengamalkan pendakwaan terpilih apabila beliau mengambil tindakan terhadap Suara Inisiatif Sdn Bhd atas beberapa tuduhan di bawah Akta Syarikat 1965.

Namun pada masa yang sama menurut Tony, Ismail juga membiarkan syarikat-syarikat terkait UMNO untuk mengingkari akta tersebut dengan tidak menghantar penyata akaun dan pulangan tahunan mereka, antaranya sejak tahun 2006.

Menurut beliau lagi, usulnya untuk memotong gaji Ismail sebanyak RM10 tidak harus dipersoalkan memandangkan laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini mendedahkan bahawa Suruhanjaya Syarikat telah gagal mendakwa pengarah-pengarah syarikat yang telah didenda berjuta-juta ringgit. Kadar pendakwaan hanyalah 1.5% iaitu RM8.59 juta, daripada jumlah besar RM554.94 juta denda yang belum dikutip di Kuala Lumpur sahaja.

Tony turut menyenaraikan syarikat-syarikat yang didakwanya tidak diambil tindakan oleh menteri tersebut; termasuk YGP Holdings Sdn Bhd yang lembaga pengarahnya dianggotai Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dan Ahli Parlimen Kota Belud, Datuk Abdul Rahman Dahlan; yang didakwa Tony telah gagal memfailkan akaunnya sejak 31 Disember 2006.

Dua lagi syarikat adalah National Aerospace and Defence Industries Sdn Bhd, serta National Feedlot Corporation Sdn Bhd, milik keluarga Ketua Wanita UMNO dan mantan Menteri Wanita, Datuk Seri Shahrizat Jalil, yang kedua-duanya tidak memfailkan akaun sejak tahun 2007 dan 2009.

“Tidak perlu bagi saya bertemu dengan Ismail Sabri, walaupun saya amat berbesar hati sekiranya beliau ingin juga berjumpa saya. Apa yang beliau perlu lakukan sebenarnya hanyalah mendakwa semua syarikat, termasuk yang terkait UMNO tanpa pilih kasih,” ujar Tony.

“Jika tidak, jelaslah Datuk Ismail Sabri telah menyalahguna kuasanya untuk mendakwa Suara Inisiatif Sdn Bhd (Suaram) demi agenda politik Barisan Nasional,” kata beliau. – Roketkini.com