Berita

Guan Eng cadang kerajaan jangan tiru sikap Soi Lek

KUALA LUMPUR, 19 OKTOBER: Tindakan MCA memperlekehkan Laporan Ketua Audit Negara, kononnya laporan tersebut tidak mempunyai impak terhadap sokongan rakyat terhadap kerajaan Barisan Nasional (BN) harus dibetulkan oleh Perdana Menteri, Najib Razak.

DAP menggesa supaya isu-isu besar yang diketengahkan laporan tersebut diberi perhatian oleh Perdana Menteri bagi membuktikan komitmen kerajaan BN kepada ketelusan dan akauntabiliti.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam kenyataan medianya hari ini menyelar tindakan Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang memperlekehkan laporan terbabit kononnya laporan itu tidak memberi sebarang impak terhadap sokongan rakyat kepada BN.

“Malah mantan presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat juga telah menyerang penggantinya itu,” ujar Guan Eng.

Soi Lek malah telah dilaporkan berkata bahawa jika Laporan Ketua Audit Negara tersebut mempunyai apa-apa kesan, kerajaan BN pasti akan tumbang pada setiap tahun laporan itu dibentangkan kepada parlimen.

Guan Eng turut menggesa pihak kerajaan supaya meneliti kelemahan-kelemahan yang telah dilaporkan, antaranya termasuk yang berkaitan kontrak besar kerajaan serta projek-projek yang dilakukan secara runding terus berbanding tender terbuka yang memberi kesan kepada kepercayaan terhadap kerajaan.

Beliau turut menegur tindakan kerajaan membatalkan hutang terhadap Perwaja Terengganu Sdn Bhd yang telah tidak dibayar sejak 14 ke 17 tahun lalu bernilai RM1.6 bilion seperti yang telah didedahkan laporan Ketua Audit Negara.

“Kenapa kroni boleh dibatalkan hutangnya, tetapi bukan rakyat biasa?” soal beliau.

Selain itu Guan Eng turut mempersoalkan tindakan kerajaan memberi pengecualian cukai lesen kepada Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) berjumlah RM1.37 bilion. Beliau meminta kerajaan menjelaskan kenapa syarikat terbabit diberikan pengecualian yang merugikan alam sekitar dan tanpa memberi sebarang faedah kepada rakyat.

“Jika tiga perkara ini tidak dipedulikan, jelaslah BN telah mencontohi sikap Chua Soi Lek dengan tidak mengendahkan laporan negatif Ketua Audit Negara, menyangkakan ia tidak memberi impak kepada sokongan rakyat,” jelas Ketua Menteri Pulau Pinang itu. – Roketkini.com