Berita

Kerajaan, syarikat telekomunikasi berkemungkinan langgar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010

KUALA LUMPUR 22 OKTOBER:  Penghantaran SMS sebanyak 5,782,000 bagi menghadiri sambutan Merdeka anjuran Kerajaan BN pada Ogos tahun ini berkemungkinan telah melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010.

Dalam jawapan Parlimen oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, selain lebih 5 juta SMS dihantar melalui perkhidmatan Celcom, Maxis, DiGi dan U-mobile, ia telah melibatkan kos perbelanjaan sebanyak RM332,599.

Menyifatkannya sebagai  satu bentuk salah guna kuasa oleh kerajaan, Ahli Parlimen Serdang Teo Nie Ching berkata, walaupun kos tersebut ditanggung oleh syarikat telekomunikasi berkenaan, maklumat peribadi yang diberikan kepada syarikat telekomunikasi tersebut tidak harus digunakan untuk tujuan lain tanpa persetujuan pelanggan.

“Penghantaran SMS ini masih boleh dipersoalkan kerana ia melibatkan persoalan sama ada pembekal perkhidmatan telekomunikasi telah melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 yang dikuatkuasakan pada Jun tahun ini,” ujarnya.

Jelas Nie Ching, SMS yang tidak diminta boleh dihantar hanya dengan persetujuan terlebih dahulu daripada penerima.

“Sekiranya gagal berbuat demikian, ia jelas melanggar Akta Perlindungan Data Peribadi 2010, dan boleh dihukum denda tidak melebihi RM300,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 5 (2),

“Rakyat Malaysia mempunyai hak untuk tidak dispam oleh sesiapa termasuk syarikat telekomunikasi maupun kerajaan. Kerajaan harus diingatkan agar tidak bertindak sewenang-wenang melangkaui undang-undang yang ada.” ujar beliau.-roketkini.com