Berita

AES versi Guan Eng: Agenda Ekonomi Saksama

KUALA LUMPUR, 23 OKTOBER: Merasmikan forum “Bagaimana Pakatan Rakyat akan membelanjakan wang rakyat” anjuran Roketkini malam tadi di KLSCAH, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng memperkenalkan AES versinya yang ditakrifkan sebagai Agenda Ekonomi Saksama.

“Apa yang kita mahu bukanlah AES – Automatic Enforcement System. Kita mahu Agenda Ekonomi Saksama. Itulah perbezaan antara AES BN dan Pakatan Rakyat,” ujar beliau kepada hadirin yang memenuhi auditorium semalam.

Menurut beliau belanjawan alternatif Pakatan Rakyat jelas memberi fokus khas kepada soal menghapuskan ketidakadilan ekonomi dengan memecahkan monopoli, menyasarkan kumpulan kritikal termasuk yang miskin, anak muda dan wanita, serta memerangi rasuah.

Sambil mempersoalkan peruntukan sejumlah hampir RM800 juta bagi pemasangan kamera Automated Enforcement System (AES) Guan Eng menempelak sistem terbabit yang disebutnya sebagai cara untuk Barisan Nasional mengambil kembali bantuan kewangan yang telah diberikan kepada rakyat dalam sekelip mata.

“Dan yang paling menghairankan, syarikat tersebut juga akan mendapat komisyen daripada hasil kutipan saman trafik,” ujar beliau.

Pemasangan kamera AES untuk 831 lokasi seluruh negara, menurut Ketua Menteri Pulau Pinang itu bukanlah satu penyelesaian kepada kemalangan jalan raya tetapi menunjukkan kerajaan mahu membuat keuntungan.

Menurutnya, jika berdasarkan simulasi unjuran bayaran yang akan dibuat kepada syarikat pemasangan tersebut, sejumlah RM769,610,160.00 akan diperolehi syarikat kroni sekiranya enam juta saman dikeluarkan setahun dengan anggaran 3.6 juta orang membayar RM300.

Menempelak bagaimana BN terus mengamalkan dasar menjaga kroni, Guan Eng turut menambah bahawa Kerajaan Persekutuan BN juga sehingga kini tidak menjawab  bagaimana hutang Perwaja sebanyak RM1.626 bilion telah dihapuskira.

“Kita tertanya-tanya kenapa ia boleh jadi begitu? Perwaja adalah syarikat dalam penyeranaian awam. Kenapa ia tak perlu bayar hutang? Kalau kita tak bayar pinjaman kereta, rumah kita akan dikenakan tindakan. Kenapa pula mereka boleh terlepas?

Kerajaan Pakatan Rakyat berkemampuan
Guan Eng turut menambah bahawa kerajaan-kerajaan Negeri Pakatan Rakyat mampu menjadi kerajaan yang baik berdasarkan rekod perbandingan cemerlang yang diperlihatkan dalam Laporan Ketua Audit Negara baru-baru ini.

“Jangan cakap PR tak ada kemampuan. Saya rasa PR telah buktikan kemampuan kita.Di Pulau Pinang kita telah tambah hasil kerajaan negeri sebanyak 47 peratus penambahan.  Itu membolehkan kita dapat keuntungan RM138 juta. Paling besar.

Menurut beliau lagi, jika sesebuah kerajaan (merujuk kepada Barisan Nasional) boleh membenarkan negara mengalami defisit selama 15 tahun, itu menunjukkan kerajaan tersebut tidak berhemah.

Beliau berkata jumlah tersebut belum lagi mengambilkira liabiliti tanggunggan dan liabiliti luarjangka sebanyak RM116 bilion yang jika dijumlahkan menjadikan hutang terkumpul Kerajaan Persekutuan sebenarnya sebanyak RM618 bilion.

“Sekiranya defisit dibenarkan, akhirnya kita akan pinjam wang bagi biayai defisit ini. Hutang Kerajaan Persekutuan pun sudah naik dan sekarang ia naik 80% berbanding tahun lalu sebanyak lebih RM500 bilion akhir 2012,

“Kalau kita lihat di Pulau Pinang pula, mengapa pula kita dapat lebihan? Hasil kerajaan meningkat 55 peratus. Kita dapat belanjakannya untuk rakyat. Ini berlaku kerana kita uruskan secara berhemah, kerana tidak ada rasuah di negeri-negeri PR. Inilah bukti paling kukuh,” ujar beliau dalam mengangkat Agenda Ekonomi Saksama yang bakal dibentangkan di sidang DUN Pulau Pinang bulan depan. – Roketkini.com
.