Budaya

Memahami akar pemikiran Fawkes Oleh Izmil Amri

Menghampiri 5 November, saya kira baik untuk kita berbicara tentang Guy Fawkes, seorang Kristian Katolik yang baik. Sedikit ekstremis, mungkin. Tetapi masih baik. Atas aqidahnya yang kuat itu ia membuat keputusan untuk bergabung dengan beberapa orang teman demi menghantar Raja James Pertama ke neraka; dengan bantuan beberapa tong serbuk peledak yang disumbat di bawah kolong parlimen England pada 5 November 1605.

Semua itu berlaku kerana permusuhan di antara Katolik dan Protestan di England pada abad ke-17. Katolik yang sudah kehilangan kuasa menuduh regim Protestan menindas mereka dan tindak balas perlu dilakukan.

Fawkes bukanlah perancang utama konspirasi untuk meletupkan parlimen dan membunuh sang raja. Dia cuma diberi peranan untuk menguruskan peledak di kolong Parlimen kerana Fawkes punya pengalaman lebih sepuluh tahun sebagai tentera dan mahir dengan pengendalian peledak. Itu sahaja. Kita tidak pasti jika Fawkes punya idealisme tinggi.

Bukan sahaja konspirasi untuk membunuh monarki Protestan itu gagal, Fawkes juga gagal sebagai seorang Katolik yang baik. Ini kerana Fawkes mati bunuh diri, apabila beliau melompat dari pangkin tali gantung, mematahkan tengkuknya. Kita menjangkakan pejuang seperti Fawkes akan berdiri berani berdepan tali gantung dan berpidato panjang menentang tirani. Jangkaan kita meleset.

Apa yang tinggal hari ini adalah usaha-usaha kapitalis untuk menuai untung daripada gerakan-gerakan radikal revolusioner yang menjadikan Fawkes sebagai ikon pergerakan mereka. Topeng Fawkes menjadi kegilaan gerakan menggulingkan kerajaan di segenap tempat, dan menjadi avatar besar anarkisme seluruh dunia.

Ini menjadi satu paradoks sebenarnya. Kenapa kapitalis begitu beriya meraikan anarkisme dan menggalakkan budaya revolusioner? Kenapa kapitalis bikin filem V for Vendetta yang jelas telah membangkitkan semangat ramai anak muda untuk menterbalikkan kelaziman konvensional untuk menggeruni pemerintah, dan dengan tenang pula menunjukkan jari tengah kepada mereka, meski diancam belantan dan gas pemedih mata.

Memahami anarkisme

Pun begitu, anarkisme kekal menjadi sebahagian daripada proses peralihan masakini; dan kelihatan wujudnya ia di mana-mana sahaja peralihan dan perubahan terpaksa didesakkan. Wajah Fawkes yang tersenyum dan kelihatan menyindir menjadi wajah-wajah rasmi para penggerak revolusi yang terpaksa membuang jatidiri sendiri yang diacuankan pemerintah, dan mengambil watak Fawkes, sang anarkis yang kecundang.

Namun persoalan paling popular apabila menimbangkan perilaku Fawkes ialah sama ada perbuatannya itu betul atau salah. Malah pertanyaan yang mungkin berbunyi lebih pop ialah; ‘Adakah Fawkes seorang hero atau penjahat? Mengapa?’ Ini selalunya ditanya orang seusai tayangan filem V for Vendetta yang menaikkan nama dan ikonologi Fawkes sebagai penggerak dan pencetus perubahan radikal.

Sebelum mempertimbang baik buruk perbuatan Fawkes, pastinya adil untuk kita memahami anarkisme yang dimanifestasikan oleh harapan Fawkes untuk meletupkan parlimen.

Anarkisme, berbanding faham umum bukanlah sebuah pergerakan untuk menjahanamkan keteraturan. Ini nyata salah dan tidak wajar dijadikan permulaan hujah. Lebih tidak wajar untuk menghakimi anarkisme sebagai gerakan haluan kiri dan tidak bermoral kerana a) anarkisme wujud di kedua-dua bahagian paling ekstrim pada spektrum politik dan b) anarkisme bukan ertinya memancutkan kencing ke poster pemerintah sebaliknya gagasan meruntuhkan sistem yang sudah tidak berfungsi.

Ini takrifan saya terhadap apa yang saya fahami sebagai sebahagian daripada proses untuk ‘bangkit dari runtuhan.’ Konsep yang sama dipakai demikian banyak Islamis yang menyarankan bahawa agama akan tertegak daripada puing-puing kehancuran pihak lawannya. Falsafah besar yang terlihat juga dalam fiksyen-fiksyen kuno yang menceritakan bahawa burung phoenix itu bangkit dari abunya sendiri, setelah terbakar di hujung usia.

Anarkisme adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Tanpa digalakkan pun anarkisme akan berkembang biak, dan mencorak perlawanan-perlawanan politik sehingga tertegaknya sebuah sistem yang selesa dipakai menurut keadaan setempat.

Dilema moral

Contohnya ketika Mesir mengalami revolusi tahun lalu, kita lihat anarkisme berfungsi untuk berbulan lamanya. Mendesak mantan presidennya untuk menarik diri dan membuka jalan untuk pilihanraya memilih presiden dan sistem yang baru. Di Mesir kita melihat bahawa anarkisme tidak peduli moral. Kerana moral atau nilai sepakat pada waktu itu ialah untuk membenci Hosni Mubarak.

Sama keadaannya dengan pemikiran Fawkes. Moral, dari sudut pandang Fawkes sebagai Katolik yang patut, mendesak supaya Sang Raja dilingsirkan dengan apa cara sekalipun, kerana beliau seorang Protestan; hatta walau perlu dibunuh.

Persoalan keadilan menjadi tema seterusnya setelah moraliti dikeluarkan daripada persamaan di atas. Adakah pula perbuatan Fawkes dan rakan-rakan yang cuba menimbulkan kekacauan itu sesuatu yang adil buat semua? Mungkin ya, mungkin tidak. Ini susah untuk kita ukur memandangkan England pada tahun 1605 bukan England hari ini. Populasinya juga jauh berbeza dan kesedaran politiknya juga bahkan tidak sama.

Untuk itu kita uji soalan ini dengan keadaan fiksyen dystopian seperti yang dikarang Alan Moore. Adakah tindakan sang protagonis bernama ‘V’ meletupkan Parlimen boleh dikira sebagai sesuatu yang adil dan bermoral bagi masyarakat dan iklim ekoposial (ekonomi politik sosial) dalam cerita tersebut?

Filem V for Vendetta telah saya tonton lebih dua puluh kali (tak tipu) hatta bait-bait dialognya telah saya hafal. Dan saya tidak perlu apologetik apabila berpegang teguh kepada pendirian bahawa apa yang beliau lakukan adalah tidak lain menegakkan keadilan di tengah-tengah batil pembohongan.

Adakah saya mengiyakan tindakannya meletupkan parlimen? Pastilah ya. Adakah tindakannya tepat? Juga pasti, tanpa kompromi. Kerana parlimen dalam filem itu melambangkan kuasa menggubal undang-undang zalim di bawah regim fasis dan kuku besi yang menindas secara kejam serta menipu rakyat melalui penguasaan media dan propaganda.

Membina pembaharuan

Kerana membina membina pembaharuan daripada kertehancuran itu adalah sebagai daripada proses untuk manusia melahirkan tamadun dan keberadabannya dengan nilai-nilai terbaik yang mampu ia sepakati. Filem V for Vendetta memperlihatkan kepada kita betapa nilai-nilai (tidak kira jenis apa pun) tidak boleh dipaksakan kepada mereka yang tidak mahu percaya kepada nilai tersebut. Malah pemaksaan daripada pihak-pihak tertentu akan mengakibatkan penyokongnya sendiri meletup dan menentang kebijakan yang dahulunya  mungkin diterima.

Ini semua sebahagian daripada kitaran yang tidak akan pernah selesai selagimana manusia berkembang pesat dengan kebudayaan dan falsafah yang baru. Moraliti akan sentiasa berbentuk anjal dan cair, untuk membentuk apa saja yang disepakati umum.

Malaysia sebagai contohnya hari ini melihat UMNO sebagai barah yang telah sekian lama dibiarkan hidup menghirup zat hasil kekayaan negara tanpa ditahan-tahan, meski oleh rasa malu atau tanggungjawab kepada rakyat sekaliannya.

Mana mungkin rakyat negara ini akan terus tunduk patuh sujud kepada ketuanan UMNO yang menjadikan rasuah dan pengumpulan kekayaan sebagai amalan harian. Mana mungkin kuasa yang menangkap, menahan dan menindas rakyat secara sembrono selama lebih separuh abad dibiarkan begitu sahaja.

Pastilah nanti akan ada kehancuran di pihak yang berada di tampuk kuasa yang sudah tidak pedulika rakyat. Dan dari puing-puing kehancuran itu, kita bina kembali Putrajaya yang bersih dari noda korupsi. – Roketkini.com