Berita

Pulau Pinang tolak AES kerana bebankan rakyat

GEORGE TOWN 2 NOVEMBER: Kerajaan Pakatan Rakyat Pulau Pinang mengambil pendirian  tidak bersetuju dengan aplikasi Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang disifatkan hanya menguntungkan syarikat pemasangan dan kerajaan semata-mata.

Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Pengangutan sebelum ini mencadangkan penggunaan sistem itu untuk mengawal dan mengurangkan kemalangan pengguna jalan raya yang berfungsi merakam pemanduan melebihi had laju dan melanggar lampu isyarat merah.

Bagaimanapun, ia hanya dilihat sebagai  ‘mesin buat duit’ apabila pemasangan sebanyak 831 unit kamera di seluruh negara yang menguntungkan syarikat konsesi berkenaan, ATES Sdn Bhd dan Betap Tega Sdn Bhd dan masing-masing akan mendapat semula pulangan modal melalui pengagihan keuntungan daripada saman yang dibayar sehingga RM700 juta.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Lim Hock Seng, dalam Sidang DUN Pulau Pinang hari ini, permulaannya sebanyak 39 lokasi dikenal pasti untuk dipasang AES di Pulau Pinang.

“Sebanyak 18 lokasi lampu isyarat di negeri ini juga dikenal pasti untuk dipasang AES. Buat masa ini kerajaan Pulau  Pinang tidak bersetuju untuk memasangnya,” katanya menjawab pertanyaan Law Keng Ee (DAP-Pengkalan Kota) adakah AES akan membantu mengurangkan kesesakan trafik di Pulau Pinang ketika sesi soal jawab persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng berkata, empat kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau  Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor telah bersetuju menangguhkan pemasangan system AES itu.

Selasa lalu, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, empat kerajaan negeri yang ditadbir Pakatan Rakyat iaitu Pulau  Pinang, Kedah, Kelantan dan Selangor bersetuju menangguhkan pemasangan AES.

Selain itu, isu mengenai kos pemasangan 831 kamera oleh dua syarikat konsesi didakwa bernilai antara RM600 dan RM800 juta iaitu bersamaan dengan harga RM722,000 hingga RM962,000 bagi setiap kamera. – Roketkini.com