Berita

Sekolah berusia 80 tahun belum diwarta, MIC ditempelak gagal bela komuniti India

BATU GAJAH 2 NOVEMBER: Bukan setakat tapak sekolah belum diwartakan sehingga kini, malah sebuah sekolah Tamil di Daerah Batu Gajah yang berusia 80 tahun ini juga tidak mempunyai kemudahan gelanggang dan padang sukan.

Ini jelas menunjukkan, perjuangan MIC yang kononnya mahu membela nasib komuniti India hanya dusta kerana gagal mengotakan janji untuk menyelesaikan masalah SJKT Changkat biarpun sudah dibangkitkan beberapa kali.

“Mengapa masalah ini gagal diselesaikan? Saya rasa sudah tentu BN-MIC berniat jahat. MIC adalah penyokong kuat di sebalik segala penipuan dan muslihat kerajaan BN terhadap komuniti India.” kata Ahli Parlimen DAP Tronoh, V.Sivakumar dalam satu kenyataan.

Katanya, SJKT Changkat yang mempunyai seramai 373 murid terpaksa bergantung kepada podium Majlis Daerah Batu Gajah bagi menjalankan aktiviti sukan tahunan mereka.

Pada Sidang DUN Perak November 2011 lalu, Siva mengemukakan soalan samada kerajaan berhasrat memberi tanah yang dipohon pihak pentadbiran SJKT Changkat Batu Gajah untuk padang permainan dan sukan yang terletak di belakang sekolah itu.

Beliau terkejut dan kecewa apabila jawapan bertulis yang diterimanya memaklumkan bahawa tanah berkenaan tidak akan diberi kerana kerajan bercadang untuk membangunkan sebuah taska PERMATA.

“Kandungan jawapan itu juga menyebut bahawa kerajaan memberi keutamaan kepada projek persekutuan dan membuktikan kerajaan negeri menganak-tirikan sekolah Tamil semata-mata untuk melaksanakan projek persekutuan.

Walhal tambah Siva banyak lagi kawasan lain di sekitar Batu Gajah, Siputeh, Tronoh dan Bemban untuk membina bangunan taska PERMATA.

“Saya telah ajukan masalah ini kepada Pengerusi MIC Perak Datuk Veerasingam pada Oktober tahun lalu dan Ogos tahun ini,

“Beliau membalas bahawa tindakan segera akan diambil tetapi sehingga kini tidak ada perubahan yang berlaku.”

Sehubungan itu, Siva mencabar Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menyelesaikan segera masalah itu sebelum PRU ke-13 jika beliau benar-benar prihatin terhadap masalah yang dihadapi komuniti India di negeri Perak.-roketkini.com