Rencana

Demokrasi bukan untuk ahli politik sahaja… Oleh Edry Faizal

Rakyat sering didendangkan bahawa sistem demokrasi Malaysia sihat. Sebagai bukti, jari dituding kepada amalan pilihan raya yang masih berlangsung. Sama ada lima tahun sekali atau apabila wakil rakyat mati.

Sebab itu pemerintah tiada masalah untuk merayu rakyat keluar membuang undi. Kemudian rakyat bolehlah pulang ke rumah dan sambung tidur kembali. Membiarkan negara dikemudi sekumpulan kecil manusia entah ke mana hala tujunya.

Bagi yang peduli akan politik juga tidak terlepas daripada menari mengikut rentak sama. Kiblat perjuangan demokrasinya hanyalah kotak undi kerana itu simbol kuasa. Ada pula kelompok yang berahikan kuasa melalui pilihan raya kerana mengimpikan satu sistem lain. Ini kerana demokrasi dilihat hanyalah sekadar jalan. Yang boleh dirobek-robek selepas berjalan di atasnya menuju destinasi kuasa.

Tidak kurang juga yang sudah mula letih dan mula meragui sistem sedia ada. Demokrasi dilihat tidak menyelesaikan sebarang masalah. Malah cuma menambah bilangan manusia yang menjadikan dewan perwakilan itu mirip sarkas. Akhirnya sebahagian mereka bukan sahaja tidak mahu mengundi, bahkan meragui terus demokrasi.

Dalam keadaan semakin ramai yang lelah, luka pada demokrasi ditambah apabila manfaat sistem tu dipertikaikan. Tahun lepas Dr. Mahathir Mohamad mencadangkan supaya India menjadi ‘kurang demokratik’ jika mahu membangun seperti China. Menurut beliau demokrasi tidak menjamin kestabilan dan kemakmuran. Lihat pada China yang ‘kurang demokratik’ tetapi ekonominya berkembang lebih pesat; serangan Dr. Mahathir bukan serangan baru.

Amartya Sen di dalam tulisannya bertajuk Democracy and Its Global Roots turut pernah menyebut hal itu. Jelasnya terdapat keraguan di kalangan orang ramai tentang apa yang demokrasi boleh berikan kepada negara miskin.

Apakah demokrasi tidak menghalang pembangunan serta mengalih tumpuan daripada keutamaan pembaharuan ekonomi dan sosial?  Amartya Sen menjelaskan, masalah pada keraguan-keraguan itu adalah kerana melihat demokrasi dengan cara sempit dan terbatas. Sempit dan terbatas apabila demokrasi dilihat sekadar pemilihan umum dan pungutan suara.

Nilai demokrasi pada demokrasi

Menilai demokrasi melalui bayangannya seperti pilihan raya, parlimen, pungutan suara dan lain-lain juga adalah cara pandang sempit. Tidak cukup melihat pada bayangan-bayangan semata jika hasrat sebenar mahu menilai susuk tubuhnya. Begitu juga dengan perbuatan melihat hanya pada kesan dan hasil daripada demokrasi. Ini kerana jelas di sesetengah tempat hasilnya baik dan di tempat lain hasilnya tidak menjadi.

Nilai sebenar demokrasi terletak pada demokrasi itu sendiri. Bukan melalui bayangan atau kesannya. Abraham Lincoln pernah menggambarkan demokrasi dalam sebuah ungkapan, “Pemerintahan dari rakyat, oleh rakyat dan untuk rakyat”. Apa yang boleh difahami daripada ungkapan itu adalah demokrasi merupakan pentadbiran sendiri. Sebagaimana diri individu mengawal hidupnya sendiri, masyarakat pula mengawal urusannya sendiri.

Bertitik tolak daripada itu, Carl Cohen dalam bukunya Democracy mengaitkan prinsip pentadbiran sendiri itu dengan prinsip autonomi yang dikembangkan dalam teori moral Immanuel Kant. Autos bermaksud sendiri; Nomous pula bermaksud hukum. Di sisi Kant, autonomi individu bermaksud sumber autoriti kepada prinsip-prinsip yang mengawal individu datang daripada diri individu itu sendiri. Seseorang itu dikatakan mempunyai autonomi apabila dirinya tertakluk kepada kehendaknya sendiri, bukannya kehendak orang lain.

Tiada jaminan bahawa hukum yang dipilih individu untuk dilaksanakan ke atas dirinya itu adalah hukum yang benar. Sama ada hukum yang dipilih itu benar atau salah, moral seseorang itu bergantung kepada autonominya. Perwatakan seseorang itu boleh dianggap baik apabila tindakan yang betul datang daripada kehendaknya sendiri, secara sukarela dan bukannya melalui paksaan luar. Dan individu itu bebas selama mana bukan kehendak luar yang mengawal dirinya.

Autonomi masyarakat pula seperti mana  autonomi individu, hanya dapat tercapai melalui jalan demokrasi. Hanya melalui demokrasi, anggota-anggota masyarakat membentuk hukum mereka sendiri dalam mentadbir urusan bersama. Hukum yang terhasil datang daripada kehendak warga masyarakat itu sendiri.

Sekiranya hukum yang dipaksakan ke atas warga masyarakat itu datang dari luar, ataupun dari kalangan anggota masyarakat itu sendiri tetapi secara kuku besi, maka hukum itu kehilangan legitimasi kuasa ke atas warga masyarakat itu. Tidak kira sama ada hukum itu baik untuk masyarakat tersebut atau tidak.

Cohen menyimpulkan autonomi bukanlah akibat daripada demokrasi, bukan juga wujud kerana demokrasi. Tetapi autonomi masyarakat itulah demokrasi!

Demokrasi dan kehormatan

Melalui prinsip autonomi, barulah prinsip-prinsip lain yang berhubungan dengannya dapat dilihat dengan lebih luas. Demokrasi bukan amalan lima tahun sekali, sebaliknya adalah sesuatu yang berterusan. Autonomi masyarakat atau demokrasi sepatutnya menzahirkan kehendak setiap anggota masyarakat.

Oleh itu, sekalipun tidak menjadi wakil dalam urusan pentadbiran, rakyat boleh memainkan peranan paling kurang dengan sentiasa memantau dan bersuara. Supaya perjalanan negara atau masyarakat bukan dari kehendak luar, sekelompok penguasa atau tanpa nakhoda langsung.

Sekiranya autonomi memerlukan hukum terbit dari kalangan masyarakat itu sendiri secara bersama. Maka dalam sistem demokrasi setiap warga adalah setara meskipun majmuk. Golongan yang diamanahkan kuasa mentadbir pula bukanlah lebih tinggi. Rakyat biasa pula bukanlah lebih rendah sehingga perlu sentiasa bersyukur kepada golongan yang tadi.

Apabila keputusan-keputusan buat masyarakat itu hanya datang daripada kehendak kelompok kecil manusia, terutamanya yang berkuasa, maka masyarakat itu hilang autonominya. Sebagaimana autonomi individu, masyarakat tersebut telah hilang kebebasannya.

Setiap manusia dilahirkan setara dengan kuasa untuk memilih tindakan yang mahu diambil (free will), tidak kira baik atau buruk. Sekurang-kurangnya kita tahu, demokrasi dengan nilai autonomi memberikan kehormatan selayaknya kepada setiap manusia.- Roketkini.com