Budaya

Meraikan cahaya di dalam gelap – Oleh Izmil Amri

CAHAYA tetap cahaya, meski lahirnya daripada sumber berbeza. Lampu tetap dipanggil lampu, walaupun bentuk dan wahananya berlainan rupa. Ini faham saya daripada syair Rumi, yang saya kutip daripada perbualan dengan teman-teman ketika langit malam di Jalan Telawi meletup-letup dengan percikan bunga api berbagai warna. Walaupun bentuk dan warna serta ragamnya berbeza, cahaya tetap cahaya.

Yang terang dan yang gelap itu sudah jelas dan pasti. Sama halnya dengan kebenaran. Wahana kebenaran boleh datang daripada pelbagai bentuk, namun kebenaran tetap kebenaran. Tidak ada versi berbeza. Kalau hitam, hitamlah. Tak akan putih.

Ada sesetengah pihak yang secara berseloroh barangkali, mencadangkan di ruang awam bahawa perayaan meraikan cahaya dan pencerahan itu adalah agenda halus puak Majusi penyembah api yang mahu merosakkan akidah umat.

Tidak kurang juga yang menghadirkan teori Illuminati tentang perayaan yang meraikan cahaya. Disebabkan nama persatuan rahsia itu sendiri hadir daripada istilah ‘illuminate’ yang bermaksud ‘menerangi’. Pergerakan itu pula lahir daripada golongan saintis yang bangkit di tengah-tengah hegemoni Gereja yang menolak dalil-dalil sains yang bercanggah dengan kitab suci mereka.

Hatta para saintis ini menggelarkan diri mereka golongan yang ‘enlightened’ atau ‘berpencerahan’ dalam mazhab Melayunya.

Tahun ini, Deepavali dan Awal Muharram berkongsi bingkai apabila diraikan dalam minggu yang sama. Walaupun keduanya tidak ada kena mengena antara satu sama lain, keduanya berkongsi nilai universal atas dasar kemenangan kebenaran ke atas kepalsuan; gelap kalah kepada terang. Mungkin tak berapa nampak, lantaran kekaburan yang dipropagandakan pihak pemerintah yang lebih senang mentadbir rakyat yang kabur mata hatinya.

Pesta Cahaya

Secara harfiah, Deepavali membawa maksud ‘barisan cahaya’ (yang pasti tak ada kena mengena dengan Barisan Nasional) menandakan kemenangan terang atas kegelapan. Di daerah Tamil Nadu, masyarakatnya meraikan Deepavali demi merayakan kemenangan Krishna mengalahkan Narakasura, anaknya dewi Bhumi dan Vishnu.

Narakasura, meski lahir daripada penyatuan Bhumi dan Vishnu tergolong daripada kalangan asura, puak yang satu lagi yang berseteru dengan para dewa dan punya ketamakan melampau terhadap kekuasaan. Hatta berlari Indra sang dewa kayangan dari kursinya di Swargaloka apabila kerajaan itu juga mahu dikuasai sang Naraka, setelah habis semua kerajaan di bumi ditakluknya.

Indra yang kian terdesak bersama para dewa lain kemudiannya menghadap Vishu, sang dewa pemulihara, memohon supaya anaknya yang satu ini tiada lagi menyusahkan hidup mereka. Dan Vishnu perkenan, serta berjanji untuk bertindak sejurus sahaja beliau menjelma kembali di muka bumi sebagai Krishna, anak muda baik budi yang berkulit gelap kebiru-biruan. Krishna, sambil menunggang Garuda akhirnya memenggal kepala Narakasura di akhir pertarungan yang amat hebat, demi membebaskan tahanan politik sang penguasa zalim.

Kemenangan Krishna ke atas Narakasura adalah kemenangan besar melawan kekuasaan melampau. Dan kejayaan itu diraikan sekalian umat manusia yang punya keimanan terhadap kisah itu sehingga ke hari ini.

Deepavali mengajar supaya menolak ketamakan dan kezaliman. Supaya bergabung dengan pihak yang membawa kebenaran dan keadilan. Yang baik budi dan tidak korup serta mabuk dengan kekuasaan.

Hijrah demi perubahan

Umat Islam sering saja menyambut Awal Muharram dengan slogan hijrah yang besar-besar. Selalunya jabatan kerajaan juga bersemangat melukiskan slogan itu pada kain rentang buat dibawa berarak keliling kota sambil mengucapkan syukur dan memuji keagungan Tuhan.

Namun selalunya kita terlupa kepada pengorbanan Ali, yang meletakkan dirinya di perbaringan menggantikan Sang Nabi yang meninggalkan Makkah demi membuka lembaran baru dalam sejarah pengembangan Islam.

Ali hampir sahaja terkorban pada malam hijrah itu. Hampir sahaja para samseng kerahan Abu Jahal menikam timbunan selimut tanpa terlebih dulu menyelak timbunan dan bertemu wajah Ali yang masih awal remaja. Namun Tuhan juga merancang, dan umur Ali terus panjang hatta diangkat penganut aliran Syiah ke martabat yang hampir tidak masuk akal.

Hijrah Rasul yang dimungkinkan dengan pengorbanan Ali itu akhirnya membawa natijah besar terhadap dunia dan pengajaran besar terhadap umat seluruhnya. Di saat Makkah menyeksa penduduknya yang percaya kepada perjuangan Muhammad, mereka disuruh Tuhan supaya meninggalkan segala yang bobrok dan menyeksakan itu demi mencari cahaya kasih sayang di daerah lain.

Muharram mengajar erti perubahan dan menganjurkan beberapa strategi politik yang amat berkesan. Antaranya termasuklah untuk mengeluarkan diri dari kawasan musuh dan mengepungnya kembali dari luar setelah membina kekuatan yang mencukupi. Muharram mengajar supaya jangan mencari terang dalam gelap jahiliah, sebaliknya membawa cahaya kebenaran yang jauh lebih terang ke dalam kegelapan itu.

Hijrah menjanjikan cahaya terang di ufuk Yathrib di kala Muhammad membelakangi Makkah yang ketika itu begitu tegar menolak dan menafi apa saja hikmah dan tauladan yang cuba disampaikan demi mengeluarkan umat Quraisy itu daripada gelap kebodohan.

Inilah dia roh dan semangat hijrah yang disampaikan sang Nabi yang diutus sebagai pemurni dan penyempurna akhlak baik umat manusia. Moga manusia menjadi amanah dan tidak rasuah, moga adil dan bijaksana dan tidak zalim, serta memakmurkan bumi dengan kebaikan dan kebenaran, bukan pula dengan tipu daya dan kerakusan nafsu.

Hijrah demi perubahan adalah tuntutan lahiriah mana-mana manusia berakal waras. Hijrah dari buruk kepada baik, dari gelap kepada terang. Demikian itulah Muhammad disifatkan oleh al-Quran, sebagai kehadiran yang dinisbahkan kepada ‘cahaya atas cahaya’.

Pencerahan
Tiada manusia yang mahu kekal berada dalam kegelapan. Apatah lagi dalam gelap pembodohan yang dipaksakan. Justeru perubahan adalah hakikat yang tidak dapat dielakkan. Daripada gelap pembodohan kepada terang pencerahan.

Melawan UMNO adalah jihad melawan gelap pembodohan. Melawan kezaliman Narakasura. Menghadirkan cahaya kebenaran dalam zulmat kehancuran yang kian mampir. Ini semua terlihat jelas daripada petunjuk ekonomi serta rekod buruk Barisan Nasional yang sudah lebih setengah abad meratah kekayaan negara sambil membiarkan rakyat terkapai-kapai dalam timbunan hutang dan kos sara hidup yang semakin membelon.

Hijrah adalah kewajiban yang tidak dapat dielak lagi dalam keadaan begini. Perjuangan melawan ‘syaitan’ bernama UMNO ini tidak dapat dibendung lagi. Dengan suluhan mata hati yang kian celik dek segala bobrok yang telah mereka lakukan, seharusnya kebangkitan rakyat melawan dan menyumpah kegelapan sudah tidak lagi ditahan-tahan.

Cahaya pasti datang. Yang gelap pasti terang. Cahaya kebenaran yang pastinya malar sifatnya, meski bekasnya berbeza-beza. – Roketkini.com