Berita

Musa Aman, Shafie Apdal ‘gelabah’ dengan Belanjawan Alternatif PR Sabah

KUDAT, 14 NOVEMBER: UMNO-BN Sabah mula menampakkan kerisauan mereka dan melancarkan perang mulut ke atas DAP dan PR gara-gara Belanjawan Alternatif PR 2013 Sabah yang lebih kompetitif.

Menurut Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, biarpun belum mendapat respon sewajarnya daripada Ketua Menteri, Datuk Seri Musa Aman dan BN Sabah, mereka sudah memberi reaksi tidak rasional mengenai perbezaan besar antara BN dan PR.

“Seorang pemimpin BN yang berhasrat menjadi Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal, turut memberi respon kepada Belanjawan Alternatif Pakatan Rakyat Sabah apabila meminta rakyat menolak janji PR untuk meningkatkan bayaran royalti minyak 20 peratus itu.

“Shafie memberi alasan paling mengarut bahawa kenaikan bayaran royalti minyak yang dijanjikan boleh menyebabkan perpecahan antara Sabah dan negeri lain,” jelanya

Menurut Kit Siang, PR bukan saja mahu menaikkan royalti minyak untuk Sabah malah semua negeri pengeluar petroleum termasuklah Sarawak, Terengganu, Kelantan dan tidak lama lagi, Pahang akan turut dinaikkan.

Janji tinggal janji

Kit Siang berkata, baru-baru ini sebuah akhbar Sabah memaparkan tajuk berita berkenaan kenyataan Presiden UPKO, Tan Sri Bernard Dompok: “Janji PR ‘hanya bagus di luar Sabah’”.

Kenyataan Dompok itu, bagi Kit Siang seolah-olah UMNO-BN mengakui mereka menghadapi laluan sukar.

“Kalaupun bukan kekalahan memenangi hati pengundi di Semenanjung Malaysia, kini hanya pengundi Sabah yang dhrapakan untuk menyelamatkan UMNO-BN pada pilihan raya umum nanti,”

Dalam siri jelajah UBAH di Sabah, Lim Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur itu turut membangkitkan mengenai isu jalan raya di Ulu Kukut, yang disifatkan sebagai jalan raya terburuk di Malaysia bernilai RM70 juta,

“Kerajaan BN negeri juga sebelum berjanji projek penambahbaikan jalan sepanjang tiga kilometer akan disempurnakan menjelang akhir September,

“Namun, apabila saya menuju ke Kampung Pinaurat di Matunggong dan Kudat pada Ahad lalu, detik seakan-akan terhenti tiga bulan lalu di Ulu Kukut kerana tidak ada sebarang penambahbaikan pada jalan yang teruk itu,” katanya.

Katanya, Najib sendiri tidak berani menyebut mengenai keadaan jalan di Ulu Kukut ketika lawatannya ke Kudat bulan lalu tetapi memilih untuk mengumumkan kajian yang dijalankan untuk lebuh raya pantai bernilai RM800 juta daripada Tuaran melalui Kota Belud ke Kota Marudu dan ke Kudat memintas Ulu Kukut sepenuhnya.

“Adakah Perdana Menteri juga sudah berputus asa untuk menyiapkan penambahbaikan jalan dan adakah Ulu Kukut akan menjadi bukti nyata kegagalan kerajaan BN Sabah pada PRU-13?” soal beliau. – Roketkini.com