Berita

Najib takut, tak mahu nasibnya sama macam Tun Abdullah

INANAM, 14 NOVEMBER: Perdana Menteri Najib Razak tidak mahu nasibnya menjadi seperti bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang diguling UMNO sendiri kerana gagal mempertahankan majoriti dua per tiga BN di Parlimen.

Sebab itu, Najib kelihatan terlalu “menderita” untuk menentukan tarikh pilihan raya umum ke-13 yang dinantikan selama dua tahun oleh rakyat Malaysia dengan cuba mempopularkan dirinya dengan pelbagai pemberian “hadiah” kepada rakyat seperti BR1M, vaucer buku dan sebagainya.

“Najib perlu lebih baik daripada Abdullah dengan memenangi lebih daripada 140 kerusi Parlimen dan bagi memperoleh majoriti dua pertiga, bermakna BN perlu menang sekurang-kurangnya 149 kerusi Parlimen,”

Demikian kata Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang ketika berucap pada satu majlis UBAH di sini.

Paling ironi ujar Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur, Najib sendiri tidak mempunyai jawapan memandangkan dalam dua tahun ini beliau sendiri begitu menderita memikirkan masa sesuai untuk Pilihan Raya Umum ke-13.

“Ia bukan kerana pertimbangan besar berkenaan negara atau atas sebab negara. Tetapi disebabkan pendirian mementingkan diri sendiri dan survival hidup matinya politik beliau,

“Tidak kira di mana-mana seluruh Malaysia, baik di Sabah, Sarawak atau Semenajung, sama ada ketika ceramah, dialog atau lawatan, soalan paling kerap ditanya adalah: “Bilakah pilihan raya umum akan diadakan?” katanya.

Tambah Kit Siang, buat pertama kali dalam sejarah negara ini, pengundi di Sabah dan Malaysia menjadi tidak sabar menanti pilihan raya umum memandangkan mereka sudah  menanti lebih daripada dua tahun untuk Parlimen dibubarkan Najib.

“Dalam erti kata lain, hasil PRU-13 adalah ibarat melambung syiling, boleh jadi BN kembali menguasai Persekutuan atau Pakatan Rakyat menggantikan BN untuk memusnahkan hagemoni UMNO untuk menguasai Putrajaya.” ujar beliau.- Roketkini