Budaya

Pesan buat Shuhaimi Baba Oleh: Hafiz Zainuddin

Siapa tahu sosok manusia penuh bakat dan aura ini menempuh jalan duka pada akhir hayatnya. Saya hampir menitiskan air mata ketika menonton dokumentari arahan Datuk Paduka Shuhaimi Baba mengenai riwayat hidup P.Ramlee dalam History Channel, Astro dua tahun lalu. Saya percaya, bukan hanya saya seorang yang terkesan dengan dokumentari itu.

Usaha gigih Shuhaimi menelaah, menyelidik dan menemubual teman dan sahabat handai Allahyarham bukanlah satu kerja mudah. Maka tidak salah kalau saya anggap Shuhaimi sebagai   antara seorang daripada pengarah dokumentari Malaysia yang perlu disanjung.

Bertitik tolak daripada dokumentari riwayat hidup P.Ramlee, sanjungan dan kepercayaan saya terhadap Shuhaimi tidak terhenti di situ, filem terbitan beliau Anu Dalam Botol arahan Raja Azmi menggerakkan kaki saya untuk beratur buat kelima kalinya menonton filem Melayu di pawagam selepas Jogho, Sepet, Muallaf, Mantra dan Bunohan.

Biarpun Shuhaimi bukan pertama kali mengarah filem, tidaklah pula ia menjadikan saya bernafsu untuk menonton filem beliau sebelum ini memandangkan wujud persepsi menyampah saya yang agak kritikal terhadap kebanyakan tema filem Melayu berbanding filem Indonesia yang lebih jamak dan matang.

Saya bukanlah mahu membuat ulasan filem di sini. Apa yang ingin disampaikan, nama Shuhaimi Baba sekali lagi menarik perhatian seluruh negara. Beliau sekali lagi berjaya mengangkat nama filemnya Tanda Putera tanpa perlu melalui proses pengiklanan melampau seperti filem Dua Alam terbitan dR. Rozmey Movie Production.

Tanda Putera propaganda jahat dan mengelirukan?

Biarpun negara dalam gelisah politik masyarakatnya yang masih dicengkam ketakutan akibat hegemoni kaum dan agama acuan Mahatirisme yang disemai lebih dua dekad lalu, Shuhaimi mengambil jalan mudah….

Dengan proses pemisahan kelompok kaum secara strategik dalam banyak sektor seperti politik, pendidikan, pekerjaan, penempatan sehingga menimbulkan ketidakadilan sosial bertopengkan kaum dan agama, apa yang Shuhaimi jangkakan daripada Tanda Putera? Mungkin ia bakal menyemai dan menyebarkan lagi benih rasa benci di kalangan rakyat pelbagai kaum di Malaysia.

Kalaupun benar Shuhaimi mahu mendidik rakyat dan masyarakat, beliau sewajarnya duduk dan berbincang terlebih dahulu dengan semua pihak dan sejarawan negara dengan kesedaran bahawa negara ini masih dibelenggu ‘hantu’ kaum dan agama.
Apapun natijahnya, keterbukaan beliau untuk sedia berbincang berkenaan filem kontroversi Tanda Putera itu secara tidak langsung mencerminkan pola pemikiran masyarakat Malaysia yang semakin matang dan demokratik.

Bersedia untuk melatah lagi….

Memetik kepada laporan sebuah portal berita, saya tertarik dengan kenyataan yang dilontarkan beliau kepada persoalan mengenai “kesediaan” dan penerimaan rakyat Malaysia terhadap Tanda Putera.

Kata Shuhaimi, adakah persoalan kesediaan itu wujud ketika kita menonton filem samada dari Hollywood, Singapura atau Indonesia yang banyak mengeluarkan filem genre politik.

Jelas beliau, filem sejarah dari Hollywood yang banyak memaparkan berkenaan filem sejarah kontroversi seperti pembunuhan John F Kennedy, Martin Luther King atau filem Holocaust serta perang Cina-Jepun tidak membuatkan penonton beremosi untuk bertindak sedemikian.

Walaupun begitu, Shuhaimi harus sedar bahawa Amerika sudah mengalami proses pendemokrasian yang panjang dan kini orang berkulit hitam sudah menjadi Presiden manakala negara China yang dikatakan berfahaman komunis itu sudah berubah dan seronok dengan amalan kapitalisme.

Kenyataan Shuhaimi itu mencerminkan kegagalan beliau memahami bentuk kerangka politik dan mentaliti masyarakat yang masih dibelenggu acuan hantu kaum dan agama. Malah, kerajaan yang dikepalai UMNO-BN sendiri gagal memupuk perpaduan dan gagasan negara bangsa yang bersatu.

Apapun, saya tetap menghormati pandangan beliau, kebebasan bersuara, kritik dan memberi pendapat adalah sebuah daripada ciri dalam demokrasi.

“Creative license” untuk apa?

Biarpun Shuhaimi meletakkan asas  alasan seolah-olah kritikan masyarakat dan ahli sejarah terhadap Tanda Putera sebagai tidak memahami ‘creative license’ dalam sesebuah filem, Shuhaimi juga mungkin tidak nampak peranan ‘creative licenne’ yang boleh memporak-perandakan lagi perpaduan masyarakat Malaysia.

Adakah Shuhaimi dengan sengaja membutakan mata terhadap isu perkauman dan agama yang sengaja disemarakkan pihak tertentu, apalagi BN selesa dengan dasar pecah dan perintah mereka bertopengkan wajah 1Malaysia?

Kritikan terhadap filem Nasi Lemak 2.0 sebagai tidak sesuai dan sebagainya sudah mencerminkan mentaliti kita. Dan pada 2007 sebelum ini, filem Dukun arahan Dain Said yang diadaptasi daripada kes pembunuhan membabitkan ahli politik UMNO Pahang, Allahyarham Datuk Mazlan Idris oleh Mona Fandey tidak fasal-fasal diharamkan kerana ia dikata menimbulkan aib dan kontroversi.

Bagaimana pula dengan filem Tanda Putra yang mungkin boleh menimbulkan rasa tidak puas hati ramai orang? Atau, adakah ia merupakan satu lagi projek memperbodoh dan menakutkan masyarakat Malaysia dengan hantu-hantu kaum yang mempunyai efek seram melampau daripada filem Pontianak Harum Sundal Malam?

Alangkah elok kalau Shuhaimi sendiri keluar daripada bayang-bayang ‘hantu’ yang selama ini pernah menjadi tema filem beliau, mungkin kepada tema yang lebih besar seperti filem Jamila dan Sang Presiden arahan Ratna Sarumpaet atau seperti filem Kentut arahan Deddy Mizwar?

Kalaulah tema 13 Mei 1969 menjadi cita-cita terbesar Shuhaimi selama ini untuk menyedar dan membangunkan masyarakat Malaysia, ayuh kita gerakkan wacana umum, mulakan perbincangan dan bahaskan secara ilmiah agar rakyat tahu siapa benar dan siapa yang salah.-roketkini.com