Berita

DAP kekal komited dengan Perlembagaan sejak 46 tahun lalu

BINTULU, 19 NOVEMBER: Rakyat Malaysia dan pendokong Pakatan Rakyat (PR) diingatkan agar terus bersatu dan tidak terperangkap dalam jerat “pecah dan perintah” UMNO-BN yang sering memainkan sentimen kaum dan agama bagi meraih sokongan pada PRU ke 13 nanti.

Dengan terus berdiri di atas dasar bersama Pakatan Rakyat yang berlandaskan Perlembagaan Persekutuan, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang menyeru semua penyokong dan jentera PR memberi usaha terbaik menangkis dakyah jahat UMNO-BN yang dipropagandakan melalui media mereka.

Mengulangi pendirian DAP, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, parti itu komited dengan dasar yang dipersetujui bersama pimpinan PR pada 2008.

“Dasar PR adalah berpaksikan kepada perkara yang dipersetujui dan disepakati semua pemimpin PKR, DAP dan PAS,

“Antaranya ialah membina negara ini atas landasan keadilan, membuka peluang semua rakyat menikmati kemakmuran negara dengan memberi keutamaan kepada mereka yang miskin dan terpinggir,” katanya.

Ujar beliau, dasar itu juga menjelaskan bahawa perjuangan PR bukanlah medan untuk memperjuang ideologi persendirian atau parti masing-masing.

“Walaupun ada pihak yang memberi pandangan berbeza daripada yang dipersetujui pemimpin utama PR, pandangan itu adalah pandangan peribadi yang tidak mewakili mana-mana parti dalam PR,

“Tidak ada parti yang menjadi tunjang PR. Bahkan tunjang kekuatan PR berpaksikan prinsip sama taraf dan berasaskan semangat pemuafakatan berteraskan mandat yang diberi rakyat pada PRU ke-12 lalu,” katanya

Beliau juga menjelaskan bahawa propaganda BN yang mendakwa kononnya DAP bersetuju terhadap pelaksanaan hudud sekiranya PR menawan Putrajaya pada PRU-13 adalah tidak benar dan tidak berasas.

Kit Siang menegaskan hudud tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia kerana bercanggah dengan Perlembagaan dan ia adalah pendirian DAP yang terbuka, berterusan dan konsisten sejak 46 tahun parti ditubuhkan.
Tambahnya, komitmen dan persetujuan PR untuk melaksanakan sebuah agenda bagi membangunkan negara dan mewujudkan masyarakat yang makmur adalah berdasarkan keadilan, kebebasan, demokrasi dan tadbir urus yang baik, merentasi  kaum, agama dan budaya.- Roketkini.com